Thursday 4 December 2014

antara ilmu dan gaya hidup

Assalamualaikum ..
Apa khabar? Saya doakan anda semua dalam keadaan sihat dan gembira selalu. Tentu banyak yang hendak dilakukan sempena cuti sekolah ini. Ada yangpergi  makan angin ke luar negara dan tidak kurang yang melancung di dalam negara.
Ramai juga yang balik kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mara serta mengadakan majlis khatan anak. Semua ini menjadi warna dalam kehidupan masyarakat semasa musim cuti sekolah. Selain dapat melihat negara orang, mereka yang bercuti dalam negara juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama saudara mara dan handai taulan. Meriahkan, bila berjumpa setelah lama tidak bertemu.
Akhir November juga menjadi minggu yang paling sibuk untuk saya dan team Utusan Karya dan Kumpulan Utusan. Kami berkampung di PWTC untuk mempromosi majalah dan buku terbitan Kumpulan Utusan khasnya Utusan Karya Sdn Bhd.
Seperti biasa saya mempromosikan  buku PERMAISURI yang kini sedang laris dalam pasaran. Alhamdulillah, rezeki PERMAISURI tetap ada walau di mana sahaja. Kata orang kalau rajin berusaha, insya-Allah akan membuahkan kejayaan. Itulah tekad saya untuk PERMAISURI.
Hujung November juga menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO berlangsung dengan meriah dan penuh semangat.
Saya juga ingin berkongsi cerita dengan anda semua tentang gaya hidup masyarakat kita hari ini hasil pemantau dan pemerhatian saya sepanjang Perhimpunan Agung berlangsung dari 25-29 November lalu.

Pilihan utama.....gambar hiasan

Bukan mudah untuk mengajak masyarakat mencari ilmu apatah lagi jika mereka tidak berminat. Contohnya jelas dalam masa kami mempromosi buku-buku dan majalah terbitan Utusan di perhimpunan tersebut.
Bersaing dengan para peniaga kosmetik, produk kesihatan, butik-butik tudung, pakaian, kasut, beg tangan, songket dan batik serta pelbagai aksesori wanita tentunya sangat mencabar. Menjual buku-buku ilmiah tidak sama dengan menjual produk berkaitan gaya hidup.
Orang ramai khasnya wanita lebih mudah singgah di gerai-gerai menjual kain baju dan pakaian yang dilelong murah berbanding singgah di kaunter yang menjual buku-buku, kitab dan kase-kaset berkaitan ilmu.
Saya perhatikan, mereka ini sanggup membeli kain ela yang dilelong dengan jumlah ribuan ringgit berbanding membeli produk ilmu yang hanya bernilai puluhan dan ratusan ringgit tetapi mempunyai nilai yang sangat tinggi memenuhi ilmu di dada.
Pelawalah bagaimana sekalipun, pujuklah,  jawapan kebanyakan mereka yang tidak berminat tetap ada. Sekumpulan lelaki yang sempat saya berbual-bual mengatakan, mereka setiap tahun akan membawa pulang berpuluh pasang kain ela untuk isteri masing-masing sebagai buah tangan.
Saya cadangkan kenapa tidak kali ini beli buku-buku dan majalah untuk dihadiahkan kepada isteri, Tidak salah buat perubahan.
Nak tahu apa jawapan mereka? Lelaki A berkata, isterinya tidak minat membaca tetapi minat shopping, lelaki B berkata, isterinya suka kumpul alat mekap, lelaki C berkata isterinya suka melancung dan lelaki D memberitahu isterinya suka ke Gym....Bayangkan! Saya hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih sebelum mereka berlalu.
Apa lagi yang hendak dikata.. Dalam hati hanya Allah yang tahu. Betapa sedihnya orang kita yang tidak membaca.
Apapun saya terima jawapan mereka dengan positif, berbaik sangka dan berharap satu hari mereka dapat mendidik isteri masing-masing dan anak-anak untuk menanam sikap suka membaca.
Berbeza dengan kumpulan orang yang memang suka membaca dan menyimpan sesuatu yang eksklusif sebagai koleksi peribadi.
Seorang wanita datang jauh dari Klang untuk membeli PERMAISURI setelah melihat iklannya di akhbar. Apabila mendapat tahu kami berada di  PWTC untuk mempromosi buku tersebut dia datang untuk membelinya.
"Saya memang lama mengidamkan buku ini. setelah memba ceritanya di dalam akhbar. Baru hari ini ada kesempatan untuk datang membeli." itu jawapan wanita itu yang memang hobinya menyimpan buku-buku khas sebagai koleksi peribadi. Usianya sudah 60 tahun lebih.
Seorang   pembaca  bersama anak-anaknya juga singgah membeli PERMAISURI. Dia mendapatg khabar tentang buku ini menerusi iklan di akhbar. Anak-anaknya sejak kecil diasuh menjadi rakyat yang cintakan raja-raja. Buktinya jelas, apabila saya ditanya beberapa soalan, mereka dapat memberi jawapan yang tepat tentang nama raja-raja dan dari mana asal mereka. Satu contoh yang cukup baik dan perlu dicontohi oleh ibu bapa lain.
"Mereka sangat suka melihat raja-raja berpakaian. Dapat melihat gambarnya pun jadilah, itulah sebabnya saya datang ke sini membeli buku ini sebagai hadiah kepada anak-anak,'', kata ibu muda itu yang sangat teruja memiliki PERMAISURI.
Dua situasi di atas menunjukkan bagaimana msayarakat kita mempunyai dua minda yang berbeza. Mereka yang gemarkan gaya hidup dan mereka yang mencari ilmu untuk meneruskan kehidupan.

Datin Seri Saripah Zulkifli bergambar kenangan di Booth Kumpulan Utusan bersama saya, Salwa dan Rosman.

Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang singgah membeli... yang benar-benar menghargai PERMAISURI sebagai khazanah negara. Antara mereka yang membeli pensyarah, guru, profesional dan juga para penggumpul buku-buku berkaitan raja-raja Melayu. Terima kasih kepada mereka semua.
Berbual-bual tentang buku PERMIAISURI bersama Datin Seri Saripah  

Dalam sibuk mempromosi buku-buku dan majalah terbitan Utusan Karya dan Utusan saya dikejutkan dengan kehadiran  Datin Seri Diraja Saripah, isteri YAB Menteri Besar Perak. Datang seorang diri dengan gaya yang sangat santai kami berbual tentang banyak perkara. Begitulah selalunya kalau berjumpa, tak kering gusi dan tidak putus idea belia berbual tentang pelbagai program yang dirancang untuk memajukan wanita Perak .
Saya sangat terharu apabila DS Saripah membeli 10 naskhah PERMAISURI . Beliau sentiasa menyokong Kumpulan Utusan dan saya. Malah saya sangat berterima kasih kerana beliau sanggup keluar sekejap dari dewan untuk menjengah saya di booth. Terima kasih Datin Seri, jasamu tetap dikenang!
DS Saripah juga sempat beramah mesra dan bertanya khabar dengan team Kumpulan Utusan di booth tersebut sambil bergurau senda. Sejam tidak terasa... keramahannya menyerlah. Tiada siapa di situ kenal beliau kecuali saya tetapi setelah diperkenallkan team Utusan tersenyum simpol kerana sikap merendah diri dan kesederhanaan beliau.
Apa yang ingin saya huraikan tentang suasana di PWTC ini adalah  bagaimana gaya hidup lebih mempengaruhi manusia berbanding dengan mencari ilmu. Walaupu ilmu itu penting, masih ada segelintir masyarakat yang meletakkan ia sebagai perkara kedua.
Tawaran kain 4 pasang RM100 - 6 pasang RM100 serta beli satu dapat percuma satu belum dapat menandingi tawaran hadiah yang pelbagai untuk membeli buku dan majalah .....mengingatkan diri saya dan anda juga,  semoga masyarakat kita akan lebih positif dan memberi perhatian lebih terhadap mencari bahan ilmu berbanding keperluan lain.


 Team Utusan Karya, Rosman, Zuid dan Rosli...terima kasih semua! juga untuk Rosli Hanafi yang tak ada dalam gambar

Suasana di lobi PWTC...Semangat wanita, sanggup duduk di atas tikar demi perjuangan...... sambil membaca akhbar Utusan Malaysia.


Apapun, kenangan di PWTC sangat menarik dan ia platform yang baik untuk penerbit buku mendapatkan pasaran. Kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya!
Terima kasih kepada yang membeli dan melanggan buku-buku Kumpulan Utusan, E-Paper khasnya PERMAISURI...terima kasih daun keladi, kalau boleh beli lagi.
Salam dan terima kasih. Jumpa lagi di catatan akan datang.

Adik angkat saya dari Pulau PinangAsma Ishak juga singgah bertanya khabar setelah bertahun-tahun tidak berjumpa..... Terima kasih Ema