Sunday 31 July 2016

Cerita Datuk Mokhtar Baginda

BERTABAHLAN DATUK MOKHTAR
Habis jasa, habislah!
                                   Datuk Mokhtar Baginda

Melangkah masuk ke rumahnya di Jalan Gambang, Kuantan Pahang saya mula sebak. Teringat arwah bapa saya…tanpa disedari air mata saya menitis.
Saya tidak lama mengenalinya,  ketika saya masuk ke Utusan, beliau sudah kembali ke Kuantan…meneruskan tugasnya dengan 4 orang MB seperti ceritanya.

Ramai yang tidak kenal Datuk Mokhtar Baginda kecuali mereka yang terbabit dalam dunia kewartawanan era 60an-90an. Jasanya bukan setakat mewarnai dunia kewartawanan tetapi berjasa besar  kepada negara khasnya rakyat Malaysia.

Datuk Mokhtar Baginda yang saya jumpa ini adalah orang yang bertanggungjawab membubarkan Parti Komunis Malaya (PKM). Beliau perintis kepada rundingan sehingga tamatnya  perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).

Namun menjadi lumrah,  menabur bakti jangan harap dibalas, jika ada Alhamdulillah, jika tidak, jangan kecewa. Bersedialah untuk rasa terpinggir! Sebab habis jasa, habislah!

Apa yang dialami oleh Datuk Mokhtar adalah perkara biasa dalam kehidupan manusia.  Dilupakan ketika keuzoran melanda diri. Jasanya tetap sama dengan pahlawan pahlawan negara yang lain,  yang pernah berjasa tetapi mereka beruntung kerana mendapat habuan dan perhatian. Tetapi tidak bagi Datuk Mokhtar.

Beliau wira yang tidak didendang, juga wartawan yang dibiar sepi… 


Captions: Rombongan KVUM dan BSK diketuai Datuk Raja Ahmad Niza bertandang dan bertanya khabar Datyk Mokhtar Bagiinda pada 28 Julai lalu di kediamannya.
Kelihatan Haji Alang Ahmad, Mat Piah Teh Deris, Nik Rahimah, Tn Haji Ali. Duduk Azizah Yem, Norhayati Nawawi, Normala Hamzah dan isteri Datuk Mokhtar.  Raja Niza menyerahkan sumbangan kepada Datuk Mokhtar Baginda.  

“Saya tidak minta lebih, cukup untuk menampung perbelanjaan ubat ubatan dan rawatan susulan saya setiap bulan. Itu sudah memadai. Saya tidak ada tempat mengadu kecuali  rakan rakan yang datang bertandang, “ katanya sebak.

Kehadiran kami, rombongan, Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM)  dan Buletin Suara Keramat (BSK) menceriakan suasana… sesekali beliau tersenyum dan ketawa kala diusik teman teman yang  pernah sebumbung dengannya.

Bangga bercerita tentang pertemuannya dengan Rashid Maidin dan Cheng Peng, Datuk Mokhtar sesekali menyapu air matanya….mungkin terharu dan sebak dengan kunjungan rakan-rakan. Beliau ingin mengimbau iembali kenangan perjuangannya. Perjuangan yang tidak pernah didendang.

Saya turut menyampuk kerana pernah juga berjumpa Rashid Maidin di Kampung Malaysia,  lebihkurang 12 tahun lalu. Pertemuan sejarah yang kekal terpahat dalam minda saya sampai ke hari ini.

Pertemuan tidak dirancang itu berlaku kala kami, saya, Rosli Azmi dan jurugambar Mahathir dipelawa untuk ke rumah Rashid Maidin dalam perjalanan balik dari Phuket, Thailand setelah selesai tugasan berjumpa Aishah, generasi ketujuh Mahsuri.

Rashid Maidin ketika itu mengajar mengaji kepada anak-anak di sekitar perkampungan tersebut, keliling rumahnya penuh dengan pokok buah-buahan, rambutan, manggis, dukong dan durian.

Mesra melayan kami, Rashid Maidin seorang yang sangat peramah dan bijak. Ketika itu dia sudah berubah dan hidup di satu kawasan antara sempadan Thailand dan Malaysia. Menariknya, kami dijamu dengan masakan isterinya Latifah, wanita China yang dinikahinya semasa berjuang di hutan.

Seperti juga Datuk Mokhtar, saya juga tentu bangga dengan pencapaian yang saya miliki, cumanya berlainan keadaan dan cara. Perjuangan ayahanda Mokhtar Baginda ini sangat hebat.

Jasanya juga bukan kepalang, Berapa kerat lagi wira wira seperti ini yang masih ada..boleh dikira dengan jari.

Memang betul, ketika zaman gemilang beliau di dalam dunia kewartawanan dan bekerja dengan 4 orang Menteri Besar, beliau tidak berjuang untuk dirinya sendiri.

Komitmennya untuk masyrakat rakyat dan negara diutamakan. Berbeza dengan sekarang, berjuang untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum untuk rakyat, masyarakat dan negara…

Sesetengah orang pada masa lalu, meletak tanggungjawab dan amanah kerja itu sebagai penanda aras untuk bekerja, bukan seperti sekarang, sambil menyelam sambil minum air….habuan cari juga, kerja tetap kerja.

Datuk Mokhtar mungkin terlalu ikhlas bekerja hingga lupa untuk mengumpul harta untuk diri sendiri walaupun ia sudah di depan mata ketika zaman kegemilangannya sekaligus menampakkan perjuangan wartawan dahulu dan sekarang juga ada bezanya. Apapun, masa telah berlalu.   

Captions: Ini gambar Rashid Maidin, kata Datuk Mokhtar bwecerita tentang rundingan menamatkan aktiviti Pengganas kominis di Malaya kepada kami.... 


DOA KAMI
Kepada Allah saya panjatkan doa, semoga Datuk Mokhtar redha menghadapi ujian hidup…bertabah dan kuatkan semangat. Semoga diberi kesembuhan dan sihat semula.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kunjungan KVUM dan BSK mengubat laranya.  Mengukir senyumnya yang sudah lama sepi… semoga ada lagi sahabat dan teman yang akan datang menjenguk, bertanya khabar.

Tidak ada siapa datang menjenguk saya dalam keadaan begini, sesekali ada kekawan datang, terubat juga hati ini, nak harapkan pihak berkenaan yang wajib ambil berat,  jauh sekali.”  Katanya sayu ketika kami bersalaman untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Kami tinggalkan Datuk Mokhtar dengan perasaan bercampur baur…suka, sedih dan sayu. Ditemani isteri dan anak perempuannya, suaranya terketar ketar kedengaran menyambut salam perpisahan kami dari luar rumah..sebak! apakan daya beliau tidak mampu berjalan untuk menguccapkan selamat tinggal  kepada kami kecuali memandang dengan wajah sayu…..Jauh di sudut hati saya berkata, ini hari dia, hari kita belum tentu…..

Begitulah hidup ini Datuk! Pasang surut, naik turut tidak dijangka. Semoga Allah buka pintu hati mereka yang berkaitan untuk membantu….paling tidak pun, menghargai jasa dan bakti yang telah disemai!

   Caption: Bila ada kawan kawang datang, terhibur juga hati saya.....kata Datuk Mokhtar...Paling hampir Mustakim dan Che Zam Abbas.

    Caption: Hamid Yahya berdiri.....Datuk Raja leka mendengarb cerita Datuk Mokhtar.

   Captions: Sempat juga bergambar dengan isteri Datuk Mokhtar yang mwesra dipanggil opah. Dari kiri, azizah, Norhayati, Opah, Normala dan Nik Rahimah.
   

Captions: Wartawan Utusan, Zamzurina Ahmad, menemuramah Datuk Mo0khtar. Terima kasih Zam, terima kasih Utusan.

Salam kasih sayang dari kami semua di KVUM dan BSK untuk Datuk dan sahabat yang sedang diuji Allah. Insya-Allah jika kelapangan dan diizinkan Allah, kami akan sampai untuk bertanya khabar.

Catatan mala
Ahad 31 julai 2016.