Thursday 4 December 2014

antara ilmu dan gaya hidup

Assalamualaikum ..
Apa khabar? Saya doakan anda semua dalam keadaan sihat dan gembira selalu. Tentu banyak yang hendak dilakukan sempena cuti sekolah ini. Ada yangpergi  makan angin ke luar negara dan tidak kurang yang melancung di dalam negara.
Ramai juga yang balik kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mara serta mengadakan majlis khatan anak. Semua ini menjadi warna dalam kehidupan masyarakat semasa musim cuti sekolah. Selain dapat melihat negara orang, mereka yang bercuti dalam negara juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama saudara mara dan handai taulan. Meriahkan, bila berjumpa setelah lama tidak bertemu.
Akhir November juga menjadi minggu yang paling sibuk untuk saya dan team Utusan Karya dan Kumpulan Utusan. Kami berkampung di PWTC untuk mempromosi majalah dan buku terbitan Kumpulan Utusan khasnya Utusan Karya Sdn Bhd.
Seperti biasa saya mempromosikan  buku PERMAISURI yang kini sedang laris dalam pasaran. Alhamdulillah, rezeki PERMAISURI tetap ada walau di mana sahaja. Kata orang kalau rajin berusaha, insya-Allah akan membuahkan kejayaan. Itulah tekad saya untuk PERMAISURI.
Hujung November juga menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO berlangsung dengan meriah dan penuh semangat.
Saya juga ingin berkongsi cerita dengan anda semua tentang gaya hidup masyarakat kita hari ini hasil pemantau dan pemerhatian saya sepanjang Perhimpunan Agung berlangsung dari 25-29 November lalu.

Pilihan utama.....gambar hiasan

Bukan mudah untuk mengajak masyarakat mencari ilmu apatah lagi jika mereka tidak berminat. Contohnya jelas dalam masa kami mempromosi buku-buku dan majalah terbitan Utusan di perhimpunan tersebut.
Bersaing dengan para peniaga kosmetik, produk kesihatan, butik-butik tudung, pakaian, kasut, beg tangan, songket dan batik serta pelbagai aksesori wanita tentunya sangat mencabar. Menjual buku-buku ilmiah tidak sama dengan menjual produk berkaitan gaya hidup.
Orang ramai khasnya wanita lebih mudah singgah di gerai-gerai menjual kain baju dan pakaian yang dilelong murah berbanding singgah di kaunter yang menjual buku-buku, kitab dan kase-kaset berkaitan ilmu.
Saya perhatikan, mereka ini sanggup membeli kain ela yang dilelong dengan jumlah ribuan ringgit berbanding membeli produk ilmu yang hanya bernilai puluhan dan ratusan ringgit tetapi mempunyai nilai yang sangat tinggi memenuhi ilmu di dada.
Pelawalah bagaimana sekalipun, pujuklah,  jawapan kebanyakan mereka yang tidak berminat tetap ada. Sekumpulan lelaki yang sempat saya berbual-bual mengatakan, mereka setiap tahun akan membawa pulang berpuluh pasang kain ela untuk isteri masing-masing sebagai buah tangan.
Saya cadangkan kenapa tidak kali ini beli buku-buku dan majalah untuk dihadiahkan kepada isteri, Tidak salah buat perubahan.
Nak tahu apa jawapan mereka? Lelaki A berkata, isterinya tidak minat membaca tetapi minat shopping, lelaki B berkata, isterinya suka kumpul alat mekap, lelaki C berkata isterinya suka melancung dan lelaki D memberitahu isterinya suka ke Gym....Bayangkan! Saya hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih sebelum mereka berlalu.
Apa lagi yang hendak dikata.. Dalam hati hanya Allah yang tahu. Betapa sedihnya orang kita yang tidak membaca.
Apapun saya terima jawapan mereka dengan positif, berbaik sangka dan berharap satu hari mereka dapat mendidik isteri masing-masing dan anak-anak untuk menanam sikap suka membaca.
Berbeza dengan kumpulan orang yang memang suka membaca dan menyimpan sesuatu yang eksklusif sebagai koleksi peribadi.
Seorang wanita datang jauh dari Klang untuk membeli PERMAISURI setelah melihat iklannya di akhbar. Apabila mendapat tahu kami berada di  PWTC untuk mempromosi buku tersebut dia datang untuk membelinya.
"Saya memang lama mengidamkan buku ini. setelah memba ceritanya di dalam akhbar. Baru hari ini ada kesempatan untuk datang membeli." itu jawapan wanita itu yang memang hobinya menyimpan buku-buku khas sebagai koleksi peribadi. Usianya sudah 60 tahun lebih.
Seorang   pembaca  bersama anak-anaknya juga singgah membeli PERMAISURI. Dia mendapatg khabar tentang buku ini menerusi iklan di akhbar. Anak-anaknya sejak kecil diasuh menjadi rakyat yang cintakan raja-raja. Buktinya jelas, apabila saya ditanya beberapa soalan, mereka dapat memberi jawapan yang tepat tentang nama raja-raja dan dari mana asal mereka. Satu contoh yang cukup baik dan perlu dicontohi oleh ibu bapa lain.
"Mereka sangat suka melihat raja-raja berpakaian. Dapat melihat gambarnya pun jadilah, itulah sebabnya saya datang ke sini membeli buku ini sebagai hadiah kepada anak-anak,'', kata ibu muda itu yang sangat teruja memiliki PERMAISURI.
Dua situasi di atas menunjukkan bagaimana msayarakat kita mempunyai dua minda yang berbeza. Mereka yang gemarkan gaya hidup dan mereka yang mencari ilmu untuk meneruskan kehidupan.

Datin Seri Saripah Zulkifli bergambar kenangan di Booth Kumpulan Utusan bersama saya, Salwa dan Rosman.

Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang singgah membeli... yang benar-benar menghargai PERMAISURI sebagai khazanah negara. Antara mereka yang membeli pensyarah, guru, profesional dan juga para penggumpul buku-buku berkaitan raja-raja Melayu. Terima kasih kepada mereka semua.
Berbual-bual tentang buku PERMIAISURI bersama Datin Seri Saripah  

Dalam sibuk mempromosi buku-buku dan majalah terbitan Utusan Karya dan Utusan saya dikejutkan dengan kehadiran  Datin Seri Diraja Saripah, isteri YAB Menteri Besar Perak. Datang seorang diri dengan gaya yang sangat santai kami berbual tentang banyak perkara. Begitulah selalunya kalau berjumpa, tak kering gusi dan tidak putus idea belia berbual tentang pelbagai program yang dirancang untuk memajukan wanita Perak .
Saya sangat terharu apabila DS Saripah membeli 10 naskhah PERMAISURI . Beliau sentiasa menyokong Kumpulan Utusan dan saya. Malah saya sangat berterima kasih kerana beliau sanggup keluar sekejap dari dewan untuk menjengah saya di booth. Terima kasih Datin Seri, jasamu tetap dikenang!
DS Saripah juga sempat beramah mesra dan bertanya khabar dengan team Kumpulan Utusan di booth tersebut sambil bergurau senda. Sejam tidak terasa... keramahannya menyerlah. Tiada siapa di situ kenal beliau kecuali saya tetapi setelah diperkenallkan team Utusan tersenyum simpol kerana sikap merendah diri dan kesederhanaan beliau.
Apa yang ingin saya huraikan tentang suasana di PWTC ini adalah  bagaimana gaya hidup lebih mempengaruhi manusia berbanding dengan mencari ilmu. Walaupu ilmu itu penting, masih ada segelintir masyarakat yang meletakkan ia sebagai perkara kedua.
Tawaran kain 4 pasang RM100 - 6 pasang RM100 serta beli satu dapat percuma satu belum dapat menandingi tawaran hadiah yang pelbagai untuk membeli buku dan majalah .....mengingatkan diri saya dan anda juga,  semoga masyarakat kita akan lebih positif dan memberi perhatian lebih terhadap mencari bahan ilmu berbanding keperluan lain.


 Team Utusan Karya, Rosman, Zuid dan Rosli...terima kasih semua! juga untuk Rosli Hanafi yang tak ada dalam gambar

Suasana di lobi PWTC...Semangat wanita, sanggup duduk di atas tikar demi perjuangan...... sambil membaca akhbar Utusan Malaysia.


Apapun, kenangan di PWTC sangat menarik dan ia platform yang baik untuk penerbit buku mendapatkan pasaran. Kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya!
Terima kasih kepada yang membeli dan melanggan buku-buku Kumpulan Utusan, E-Paper khasnya PERMAISURI...terima kasih daun keladi, kalau boleh beli lagi.
Salam dan terima kasih. Jumpa lagi di catatan akan datang.

Adik angkat saya dari Pulau PinangAsma Ishak juga singgah bertanya khabar setelah bertahun-tahun tidak berjumpa..... Terima kasih Ema


Monday 17 November 2014

Candaria Cherating @UKSB 2014


Assalamualaikum semua yang dikasihi.

Apa khabar? semoga semua di dalam kandungan sihat walafiat dan ceria menjalani hidup seharian.
Cerita minggu ini? Oh banyak yang nak dikongsi. 
Minggu ini saya nak bercerita tentang trip Staf Day Utusan Karya (UKSB) yang berlangung hujung minggu  lalu.. Momen indah yang cukup menyeronokkan.
Satu perkara yang saya kagum dengan Utusan adalah semangat setiakawan dan kekeluargaan yang cukup tinggi.  Selama 35 tahun berkhidmat di Utusan, inilah saat yang paling saya suka dan akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila. Kalau boleh saya tidak mahu terlepas akan acara seperti ini.
Sakit demam, bersukaria dan berkongsi tenaga dalam apa yang dikerjakan adalah salah satu sikap murni yang telah disemai di kalangan kakitangan Utusan. Walaupun mungkin cara nya berbeza daripada dahulu tetapi sedikit sebanyak ia menjadi jambatan penghubung antara orang lama dan orang baru.
Nilai persahabatan dan kekeluargaan inilah yang saya lihat sebagai warisan dalam organisasi Utusan yang keramat. Bukan sahgaja di ibupejabat tetapi juga di kalangan anak syarikatnya termasuk juga Utusan Karya.
Utusan Karya adalah antara anak syarikat Utusan yang turut disemai dengan sikap murni ini. Dengan tenaga kerja orang lama dan baru semangat ini di lihat sebagai satu warisan yang perlu dipertahankan selagi nilai keluarga itu diambil kira sebagai penyambung kasih sayang dan semangat juang  antara kakitangan tidak kira siapa, pangkat dan kedudukan.
Inilah yang telah dibutikan dalam trip kami minggu lalu trip yang  dinamakan CANDARIA Cherating UKSB 2014 yang bermula dari 14-16 November 2014
Dua mak dara, Sofi dan intan sempat lagi posing sebelum menaiki bas

 Beratur menunggu giliran menaiki bas - Bagus, contoh yang baik.
  Ujang tenguk siapa tu?...Wardah tersenyum di belakang Deel Anjer...Sory Bunga tak nampak! 

Selepas membaca doa, kami melangkah menaiki bas....mohon perlindungan Allah agar dipermudahkan perjalanan ke destinasi yang ditujunya.
Dengan menaiki dua buah  bas, kami seramai lebih kurang 95 orang bergerak menghala ke Cherating tepat pukul 11. 00 pagi. Saya menaiki bas A... Pengurus Bas A adalah Nuar... memang boleh diharap. Begitu prihatin dengan keadaan kaki saya yang masih belum pulih sepenuhnya. Dalam bas suasana memang riuh rendah.....penglipur lara kami di dalam bas adalah Shikin URTV, Nuek dan gengnya.
Alhamdulillah kami sampai tiba di Cherating lebih kurang pukul 3 petang...
Selesai makan tengah hari dan chekc-in kami berehat selama dua jam sebelum berkumpul semula untuk acara petang itu... membina istana pasir di tepi pantai....
Inilah istana pasir yang dibina oleh para peserta mengikut kumpulan masing-masing

MEMBINA ISTANA PASIR
Ahli rombongan kemudian dibahagikan kepada 9 kumpulan. Mereka dikehendaki membina istana pasir menggunakan kreativiti masing-maisng.. Hasillnya sangat menarik, macma-macam idea yang ada..... lihatlah foto di atas. Cantikkan?
Selesai acara sempat juga kami bergambar sakan di tepi pantai..macam macam aksi ada.... maklumlah sekali sekala terlepas dari rumah, tentulah peluang untuk bergaya tidak dilepaskan tambahan pula dengan rakan-rakan sekerja  yang sebelum ini agak sukar untuk berkumpul beramai-ramai. Hasilnya, lihatlah gambar-gambar menarik ini buat tatapan anda. Kalau selalu dia orang inilah yang memerintah model untuk pose paling bergaya, di Cherating mereka pula yang hebat bergaya......
 
 Bercanda di tepian pantai........ 

Ha! hebat kan aksi mereka ini... kalau selalu dia orang suruh model posing, kali ini saya pula yang suruh dia orang posing....

Penat bersantai di tepi pantai kami balik ke bilik untuk persediaan acara malam, persembahan Pentarama staf baru... Inilah acara tahunan yang selalu diadakan. Acara ini sangat popular di kalangan staf Utusan Karya kerana mahu tidak mahu semua staf baru dimestikan mengambil bahagian.
Apa lagi, berpeluhlah mereka ini berlatih berminggu-minggu sebelum hari ke Cherating. Kekangan masa kerja menyulitkan lagi keadaan tetapi semangat tetap membara untuk melakukan yang terbaik. Mari kita lihat siapa yang kena!

PERSEMBAHAN PENTARAMA
Malam yang dinanti akhirnya tiba...di Pavillion Ballroom Holiday Villa persembahan bermula. Ada 4 grup semuanya. Hebat-hebat belaka dengan prop yang hebat juga. Ada cerita budak-budak tadika, ada cerita Bawang Putih Bawang Merah Versi moden, dan juga cerita budak nakal di sekolah. Tak kering gusi kami dibuatnya.
Antara pentarama yang dipersembahkan ....


Cabutan bertuah antara yang ditunggu-tunggu......lumayan hadiah-hadiahnya! MC Nuek dan Shikin...

HADIAH UTAMA TV40"
Untung siapa yang menang cabutran bertuah.. hadiahnya sangat lumayan.....Hadiah utama TV 40'' dan tiket penerbangan ke luar negara serta telefon bimbit..... juga macam-macam lagi yang ,menarik..Kepada yang berjaya tahniah dan kepada yang tidak, jangan putus asa, ada lagi tahun depan.

POLO AIR & SUKANEKA
Hari kedua, 14 Noivember 2014, selesai minum pagi, semua berhimpun di kolam renang untuk pertandingan polo air... gamar seketika kawasan kolam dengan aksi dan sorakan penyokong dan peserta.....
Menunggu giliran untuk bertarung


Pertarungan bermula......

Selesai polo air kami berehat dan kemudian berkumpul semula pada waktu petang untuk acara sukaneka....  cuaca mendung tetapi permainan diteruskan Gamat juga acara ini dengan gelagat peserta yang pelbagai......  
 Acara pijak belon di kaki lawan.....
Hati-hati bawa sudu tu jangan jatuh!....

Sebaik selesai acara sukaneka, hujan turun dengan selebat-lebatnya... Tapi semua peserta puas dan gembira... menang dan kalah adat pertandingan, yang penting semua gembira dan ceria.

 PEPERTANDINGAN KARAOKE DANCARIAN KING & QUEEN OF THE NIGHT
Hujan berterusan hingga ke waktu senja..... pergerakan terbatas tetapi masa ini digunakan oleh peserta untuk embuat persediaan acara kemuncak malam terakhir kami di Cherating iaitu Majlis Makan Malam  yang akan di isi dengan petandingan Karaoke dan mencari King & Queen Of the Night berkonsepkan Retro... makanannya pula BBQ......
Sekali lagi Pavillion Ballroom menjadi tempat kami berhimpun, macam-macam gaya dan aksi..... terasa kami kembali ke era 50-an dan 70-an..... 

Saya tak retro tapi sempat bergambar dengan Rosli Hanafi, Penolong Pengurus Operasi yang retro habis.......


 Kami juga tak mahu kalah

Grup yang sederhana penampilannya  - Anggun bergaya gitu....

Malam terakhir berlalu dengan begitu manis sekali... Juara Karaoke di pegang oleh Karami dan Nadia sementara King Of The Night di sandang oleh Fahrol dan Queen of The Night milik Nisa....

 Joha (tengah) diapit oleh Queen Of The Night Nisa dan Fahrol, King Of The Night
Deel Anjer Atau nama manjanya Bunga (kiri) bersama Rosli Manah dan Fahrol.....

Majlis makan malam trip Candaria Cherating UKSB 2014 berakhir dengan penyampaian hadiah oleh Pengarah Ekjsekutif /Ketua Pengarang Majalah, Encik Badrul Azhar Rahman dan juga Ketua Pegawai Operasi Encik Azlan Naim....
 Sebahagian daripada mereka yang bertuah memenangi pelbagai cabutan bertuah....TAHNIAH...

Terima kasih kepada AJK yag diketuai oleh saudara Joha  yang bertungkus lumus menguruskan percutian bermakna ini. Terima kasih  atas segalanya.,Terima kasih Aishah tumpangkan kak mala dari rumah ke bangi.... Terima kasih kepada teman sebilik saya Noni, ibu mengandung yang sangat prihatin dan mereka yang menjaga saya sepanjang di Cherating.... yang tolong angkat beg, yang tolong amik makanan dan minuman dan yang tolong temankan saya berjalan di tepi pantai..tak dapat nak saya sebutkan satu persatu sebab anda semua sangat baik hati dan penyayang.... saya amat terharu dan mengucapkan terima kasih sangat-sangat...... 
Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, percutian ini sangat besar ertinya untuk kita semua. Persahabatan dan kekeluargaan kita dinilai dalam pertemuan ini, pertemuan yang menyimpan pelbagai cerita yang akan kita rakamkan dalam minda kita sampai bila-bila.
Di pejabat kita berjuang untuk majalah kesayangan kita, berjuang dengan kerja dan tarikh mati. Di luar pejabat kita berjuang untuk menjalin satu ukhwah dan silaturrahim yang akan kekal sampai hingga ke penghujung usia.
Kekurangan dan kelemahan itu adat dalam setiap pertemuan..... semoga momen indah ini akan terpahat dalam hati kita..... atas nama keluarga UTUSAN KARYA....


Saya terjumpa bunga kembang china di depan chalet tempat tinggal saya di Holiday Villa Cherating
Saya suka pantai dan laut...........ada rezeki nak datang lagi .

Malam hari pasang pelita
Pelita di pasang di balik papan
Candaria Cherating himpunkan kita
Semoga bercanda lagi di tahun depan

Salam sayang untuk semua.






Thursday 13 November 2014

35 tahun yang mewangi

Kenangan di rumah pusaka arwah mentua saya di Kampung Tampin Tengah, Tampin Negeri Sembilan 


35 tahun yang mewangi
Ku kenal dia, tanpa diduga
Jodoh Allah aku terima
Kerana aku tahu
Dia lelaki terbaik untuk ku
Dia seadanya, tidak pernah tinggi suara
Senyum selalu, penawar hatiku
Melihat wajahnya aku terkedu
Bila tak jumpa terasa rindu
Dalam kesempurnaan hidup berdua
Bersalut kasih, bersulam cinta
Susah bersama, senang bersama
Dalam ketawa dan air mata
Tak pernah sekali lupa
Mengucap syukur kepada yang Esa
Di kurnia empat cahaya mata
Yang kini sudah dewasa
Dihadiahkan menantu dan cucunda tercinta
Penambah seri keluarga
Bahagianya dia, bahagialah aku
Sakitnya dia sakitlah aku
Anak menantu dan cucu penawar rindu
Diulit bahagia seperti ku mahu
Syukurlah adanya mereka
Pelengkap hidup ibu dan bapa
Dalam melangkah penuh bahagia
Sesaat pun tak pernah ku lupa
Dia pelindung dia penjaga
Pujaan hatiku setiap ketika
Apa pun keadaan hanya dia
Peneman, pembimbing menuju syurga
Ya Allah, kau kekalkan bahagia ini
Kau rahmati hidup kami
Kau lindungi kasih sayang kami
Kau kukuhkan kebahagiaan kami
Agar kekal setia hingga abadi
Kepada mu yang ku panggil suami
Terima kasih atas segala
Atas kesedihan dan kegembiraan
Atas kasih sayang dan perhatian
Atas tersimpul matinya ikatan
Yang tertulis sebagai pernikahan
Kamu suamiku, adalah jiwaku
Yang tidak akan terpisah dari hati
Sampai bila-bila hingga abadi
Sehingga Allah penuhi janji
Antara kita dijemput pergi
Semoga kita kekal nikmati
Bahagia hidup suami isteri
Ya Allah, kepadaMu aku pasrah
Kekalkan bahagia ini, kekalkan kasih ini
Kerana aku dan dia
Akan terus berjalan
Ke destinasi yang telah Engkau tuliskan
Dalam ikatan yang  bernama perkahwinan.
Untukmu lelaki pilihan
Ku ingin kau tahu
Ku cinta kamu, ku sayang kamu
Bukan kerana harta, bukan juga nama
Tapi ikhlas kerana Allah.
Tasik Puteri
13  November 2014  




 Syawal 2014.....Di rumah ibu saya di Lorong Keriang, Alor Setar, kedah

 Cuti cuti keluarga 2013 - di Port Dickson.... anak sulung saya Darmizan Shah tidak ada dalam gambar 


Mak saya, hajah Rona Md Noor...... penasihat saya yang sejati
Antara gambar terakhir bersama arwah ibu mentua saya,  Hajah Safiah Haji Ali.......Alfatihah... semoga mak damai di sana...



Bersama anak ketiga saya, Nur Atteya Darmiila Osman 



Bersama anak bongsu saya. Nur Aqila Dayana Osman 


Di hari perkahwinan anak ketiga saya, Nur Atteya Darmila Osman pada 31 Mei 2014....Simpol The Garden of Love,


Bersama adik bongsu saya, Ahmad Zahir (kiri) dan Ahmad Sabri (kanan)
Menantu lelaki pertama saya, Mohd Syahin & Nur Atteya


Permata hati saya, Delisha Hafiya dan Harith Danish... alfatihah buat bidadari syurga kami, Dalila Hayfa.


Ada dia saya terhibur.....


Ya Allah, semoga bahagia kekal hingga ke Jannah. Amin.


Terima kasih Allah, jaga kami!


Inilah sebahagian daripada keluarga besar saya.. sebelah Kedah.... semoga Allah rahmati kami semua, dimurahkan rezeki diberi kesihatan yang baik dan diberkati hidup di dunia dan akhirat. Amin


Salam sahabat semua!
Inilah bingkisan saya untuk kali ini... bingkisan yang penuh erti buat diri saya dan suami... sesungguhnya kebahagiaan hidup bukan kerana harta benda tetapi dikelilingi oleh orang-orang yang kita sayang ......



Monday 3 November 2014

GGirls 74 - Memori indah di Pangkor

Di jeti Lumut menunggu bot ke Pulau Pangkor.....

Assalamualaikum dan salam ceria untuk semua.
Kali ini saya ingin bercerita tentang erti persahabatan dan nilainya dalam kehidupan kita. Selain saudara mara sahabat adalah mereka yang sangat rapat dengan kita dan sentiasa berada di sisi kita ketika susah atau senang.
Biarpun masa berlalu dan hari berganti, kiranya di hati tersemat rasa kasih dan sayang, nilai persahabatan tidak akan pudar malah akan terus mekar sampai bila-bila terutama apabila kita punya masa kenangan dan sejarah bersamanya.
Begitulah juga dengan grup SAS Golden Girls 74 saya. Kami masih berkawan rapat, saling bertanya khabar dan kunjung mengunjungi termasuk mengadakan pertemuan dan percutian apabila ada kelapanhgan.
Pertemuan ini menjadikan kami semakin rapat dan kasih sayang juga berpanjangan. Inilah nikmat perrsahabatan yang kami tanamkan. Dan November adalah bulan indah untuk hubungan ini apabila kami mengadakan percutian ke Pulau Pangkor pada awal November lalu.
Alhamdulillah, rancangan yang diatur sejak awal tahun berjaya disempurnakan hasil kata sepakat kami semua. Walaupun ramai rakan-rakan lain terutama di Alor Setar yang tidak dapat ikut sama tetapi rombongan sudah cukup meriah dengan kehadiran 13 orang ahli kumpulan malah keadaannya seperti ada 30 orang. Alhamdulillah. Semua ceria dan gembira sepanjang percutian.


Pemandangan dari dalam bot - perkampungan nelayan di Sungai Pinang, Pulau Pangkor 

Dua hari di Pulau Pangkor cukup bermakna. Percutian diisi dengan pelbagai program termasuk malam gala (ala SAS Golden Girls) yang amat meriah. Kami berkereta dari Kuala Lumpur untuk perjalanan yang meriah ini.
Grup kami adalah para pelajar kelas SAS lepasan 1974. Sejak berhenti sekolah dan masing-masing membawa haluan sendiri, alhamdulillah kami dpertemukan semula pada lima  tahun lalu melalui fb dan juga pencarian dari mulut ke mulut sesama sendiri. Beberapa pertemuan diatur sejak itu di Alor Setar dan Kuala Lumpur, dua lokasi penting kebanyakan kami.
Sejak itu hubungan kembali akrab. Kami selalu berjumpa di majlis kahwin anak-anak sahabat serta menyambut hari lahir. Ada kala kami berkunjung rumah ke rumah untuk bertanya khabar.
Tahun lalu kami memulakan program bercuti di Port Dickson, alhamdulillah meriah dan menggembirakan. Jadi percutian ke Pulau Pangkor ini dibuat untuk menyambut silaturrahim dan ukhwah diantara kami agar terus kukuh selepas keseronokan yang dinikmati di Port Dickson tahun lalu.
Di Pulau Pangkor, beberapa program diatur, antaranya mengelingi pulau dan singgah melawat beberapa tempat menarik  yang sebelum ini tidak pernah dikunjungi. Jika ada pun hanya dua tiga orang di antara kami yang pernah ke sana termasuk saya yang ke Pangkor atas tugasan kerja.
Program hari pertama pada 1 November 2014 adalah melawat kilang membuat ikan kering. Pemandu pelancung kami yang dipanggil Sham membawa kami melawat ke dalam kilang. Kami sempat melihat bagaimana para pekerja sedang bekerja memasukkan ikan tenggir masin ke dalam botol untuk pasaran  sebelum dimasukkan ke dalam kotak.


Di kilang ikam kering - lawatan sambil belajar. Bawa Taska Golden Girls 74

Saya juga sempat membantu mereka melakukan kerja itu kerana inginkan pengalaman. Kemudian kami ke pelantar menjemur ikan masin dan ikan kering yang luasnya saujana mata memandang... Kami juga singgah di tempat membuat bot melihat bagaimana para pekerja kayu yang mahir mengukit dan membuat bot. Kreativiti manusia dan warisan bangsa yang cukup berharga.

Inilah warisan yang perlu dipertahankan...Kawasan membuat bot di Pulau Pangkor

Kemudian kami singgah pula di tempat sejarah warisan Belanda dikenali sebagai Kota Belanda.. di mana perjanjian Belanda telah dimenterai....dan sterusnya kami ke kawasan mini Tembok China. Bergambar di sini seakan-akan berada di negara China. Banyak juga cenderamata di jual di sini, pelbagai barang, key-chain, topi. t-shirt makanan dan minuman...
Walau penat kami puas kerana apa yang dipelajari di sekolah dalam mata pelajaran sejarah hampir 40 tahun lalu berjaya kami jejak kala usia sudah menghampiri lewat 50-an.....bila difikirkan balik kami semua tergelak sendiri!
Petang Sabtu kami berkumpul di pantai untuk bersantai. Yang nak mandi terus terjun ke laut sementara yang lain melepak di tepi pantai sambil makan goreng pisang panas. Balik hotel kami sambung menyicah garam belacan ....

Tiga ikan duyung tersesat di pantai.............

Di lobi hotel sambung menyicah garam belacan pulak......

Bergambar di Kota Belanda... pernah belajar Sejarah dahulu.  Setelah 40 tahun berlalu meninggalkan sekolah,akhirnya kami sampai di sini  ...... 

Sebelah malam 1 November berlangsung malam kemuncak percutian kami., Sebuah restoran di tepi laut menjadi tempat kami menikmati BBQ selama sejam setengah. Macm-macam ada, sotong, udang, ikan dengan air asam cicah yang cukup lazat. Bersaksikan ombak yang membadai semua terdiam menikmati kelazatan makanan.
Tepat pukul 9 malam kami bergerak ke Pekan Pulau Pangkor untuk acara lebih menggemparkan... acara bertukar-tukar cerita, hadiah dan karaoke... sebuah bilik karaoke sederhana ditrempah  untuk tujuan tersebut. Letih siang tadi dilupakan. Kenyang makan BBQ juga tidak dihirau. Masa untuk enjoy katanyaa....


Menikmati BBQ dengan penuh semangat..... semangat makan yang menebal. Semua kunci mulut sebab melayan selera

Bermula dengan ucapan, doa  dan perbincangan ringkas. majlis disusuli dengan cabutan hadiah . Seronoknya masing-masing membawa pulang hadiah disamping yang bernasib baik mendapat hadiah cabutan bertuah!

Seronoknya depa, Asiah, Afrah dan Faridah dapat hadiah cabutan utama.......gelak sakan!


Selesai acara itu..... majlis gamat dengan suara dan gaya yang mengejutkan ikan di laut kalau di dengar. Karaoke bermula! .. tapi alhamdulillah, Grup Golden Girls 74 semua berbakat, kerana kami juga adalah puteri-puteri SAS 74 yang selalu menghiasai acara pentas dan sukan di sekolah dan di seluruh negeri Kedah pada era kami...Bakat dan kemampuan masih hebat.
Tidak cukup disitu, cerita lama di bangku sekolah disambung ke bilik tidur hingga jam 4 pagi.... semakin hampir waktu nak balik, semakin banyak cerita lama yang hendak dibualkan. Namun masa tidak mengizinkan kerana semakin pagi menjenguk, mata semakin layu.....
Kami berlepas balik pada pukul 11 pagi menaiki bot dari jeti Pulau Pangkor ke Lumut dan selamat tiba di Lumut 40 minit kemudian....berpelukan dan bermaaf maafan  sebelum memasuki kereta air mata bergenang. Sebak dan sedih memikirkan dua malam yang sungguh indah.
Masihkah ada lagi waktu untuk saat manis ini? Kepada Allah kami pasrah.
Terima kasih kepada pemandu pelancung kami Sham yang pening kepala melayan kerenah mak-mak orang, Kepada En Ibrahim, dan staf Mahsuri Travel yang mengaturkan perjalanan ini....
Sebagai penganjur dan penghulu rombongan (panggilan grup ini kepada saya) saya mohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan kelamahan (jika ada) serta juga tingkah laku semua kita semasa bersama.... Semoga Allah pelihara kita semua dan permudahkan urusan hidup kita.
Kepada kawan-kawan yang tidak boleh ikut sama ke Pangkor, harap luangkan masa untuk next projek. Januari akan datang....... ALOR SETAR, TUNGGU KAMI DATANG!  

Kenangan sebelum berlepas balik di lobi hotel..............



Sempat lagi pose walaupun tak tahu menunggang motosikal.......

ketam plastik pun dia orang nak makan.... sewaktu meninjau cenderamata 

Bergaya sakan.....

Berjalan kaki balik hotel .....testing kaki. Walau letih semua nampak ceria  


Santai-santai setelah selesai balut hadiah.....

Khas buat semua sahabat SAS Golden Girls 74 yang ke Pangkor, Faridah saad, Faridah Musir, Salha Jalal, Noriza Saad, W Afrah, Naziah Yusof, Alawiyah S Tawab, Che Asiah, Rusdina Ibrahim, Rabiah Osman, Hafizah dan Shazrah  & yang berada di mana sahaja, serangkap pantun dari saya: 


Melihat wajah hati teruja
Jatuh hati antara sedar
Jauh dekat sama sahaja
Kasih dan ingatan tak pernah pudar

Sayang kamu semua!