Tuesday 25 March 2014

MH 370 - PILUNYA SEBUAH CERITA


PILUNYA SEBUAH CERITA

Kau pergi dengan izin
Bersama doa dan harapan
terbang bebas laksana burung
Tibanya ke destinasi menjadi harapan

Dalam membelah awan
terhenti dikau di jalanan
di atas awan, di bawah lautan
di tengah tengah ada soalan.
ke mana destinasimu sebenarnya?

Mendengar khabar kami tersentak
sebak pilu tertanya tanya
apa yang terjadi
kenapa ia terhenti
tiada kesan, tiada kata, tanpa pesan

Kecoh dan kalut satu dunia
dengan pencarian bermula
lautan diredah
langit dan awan disergah
mencarimu MH370 bukannya mudah

Hari silih berganti
17 hari yang menyeksanakan
mengira kedukaan
menimba air mata yang tumpah
tanpa putus asa dengan doa tak pernah berhenti
bersama harapan yang dikau akan kembali

 24 Mac 2014 khabar tiba
Rahsiamu terungkai
dalam gelora dikau tersembunyi
dilambung dan dipukul badai
walau belum nyata, berita membawa lega

Terima kasih YA ALLAH!
menyingkap hijab lara
mereda gundah gulana
mengubat duka nestapa
mengakhiri sebuah cerita

Hilangmu MH370
mengundang kesedihan keluarga
diratap seluruh negara
walau penantian mungkin berakhir
namun rindu tidak akan ada penghujungnya!

Wahai Tuhan kami
Jika takdir menentukan mereka ada di situ
Engkau tunjukkanlah!
Engkau permudahkan segalanya
Agar mereka boleh dibawa pulang
Atau ditatap buat terakhir kali
Bantulah kami Ya Allah
Tolonglah kami Ya Allah.
Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah
Perbaiki kelemahan dan kekurangan kami Ya Allah

Mohon rahmatMu Ya Allah
Sempurnakan mereka sebaik mungkin Ya Allah
Seperti mana janjiMU
Yang tidak pernah terlewat atau tercepat walau sesaat.
Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Akan doa dan permintaan kami.

Buat keluarga penumpang dan kru MH370
Tiada kata mampu disuara
dalam detik sukar dan hiba ini
Simpati sudah tidak bermakna
Kerana kesedihan kita sama merasa
yang berbeza hanya ceritanya
Sedih kita sama, tetapi tak serupa

Untuk kalian
Bersama doa ku iringkan kata
Salam takziah
Semoga  tabah dan redha dengan ujian Allah.
Di mana pun kita, di darat, di laut atau di awan tinggi
Ketentuan Allah jadi penentu
Sampai masa kita tetap akan berlalu pergi.
Alfatihah!

NORMALA HAMZAH
Kompleks Sri Utusan, Bangi
25 Mac  2014
















No comments:

Post a Comment