Thursday 13 March 2014

penantian yang menghibakan


Assalamualaikum semua....
Sudah lebih 2 minggu saya tidak menyapa ruangan ini. Kesibukan yang teramat menjadikan saya melupakan seketika hasrat berkongsi cerita dengan anda semua. Namun hari ini, di hari ke lima hilangnya pesawat MH370, hati saya melonjak ingin berkongsi rasa dengan anda semua. Biarpun hari ini baru saya bercerita tetapi kesedihan yang ada dalam hati dengan kejadian ini sudah dirasakan sejak berita kehilangan MH370 itu diketahui.
Saya tidak mahu bercerita tentang kerja-kerja menyelamat dan usaha yang sedang giat dijalankan kerana gerakan itu sedang ber terusan tanpa henti. Tetapi saya  ingin berkongsi rasa dengan mereka yang sedang dalam kesedihan, kebingungan  dan keliru dengan apa yang terjadi.
Tiada seorang manusia pun di dunia ini yang mahu ditimpa musibah, tidak sesiapa pun! namun takdir dan qada Allah mengatasi segala. Hidup ini satu percaturan. Ada turun naik, ada susah senang, ada gelak tangis dan ada suka dukanya... itu lumrah.
Namun ujian yang Allah berikan kepada kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat  MH370 diluar jangkaan kita semua. Seluruh negara merasa kesannya. Tidak siapa pun boleh menolaknya. Ia telah diatur oleh Allah...dan telah pun terjadi.
Kita bersedih, kita berduka tetapi kita tidak pernah berhenti berdoa dan mengharap agar ada keajaiban akan berlaku... Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah tidak akan memberi ujian besar ini tanpa sebab. Sebagai hambaNya yang taat dan percaya kepada kebesaran Allah, kita harus terima dengan redha...berdoa terus jangan berhenti. Saya berharap keluarga yang terbabit terus tabah dan redha serta diberi kekuatan dan keimanan oleh Allah SWT untuk melalui sat-saat sukar ini.
Seperti orang lain, saya turut sedih...3 hari pertama  saya tidak lena sampai ke pagi, menonton tv, memantau fb dan sesekali mendengar radio dengan harapan ada khabar gembira untuk didengar, sayangnya sehingga saat saya menulis ini, masih belum nampak tanda-tanda sesuatu yang positif akan diperoleh.
Melihat wajah-wajah keluarga dan saudara mara serta rakan-rakan yang terpampang di kaca Tv dan akhbar  setiap hari menjadikan hati semakin sebak...bayangkan jika kita berada di tempat mereka. Menangisi kematian ahli keluarga terdekat yang diketahui tanah kuburnya pun saya  masih mengalirkan air mata, inikan pula menunggu khabar tentang nasib mereka yang entah bagaimana....
Sesungguhnya hanya kesabaran, kekuatan dan iman mampu melegakan jiwa..Dalam apa juga keadaan kembalilah kepadaNYA. Hanya Dia yang Maha Mendengar dan Mengetahui. Usaha jangan berhenti, doa juga jangan berhenti dan teruskan berharap. Berdoalah  memohon petunjuk  dariNya Yang Esa.   Kesedihan keluarga pesawat dan anak kapal, kesedihan kita juga malah harus dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia...sesungguhnya manusia dijadikan untuk saling sayang menyayangi, saling hormat menghormati dan yang penting untuk berkongsi kesusahan dan kepayahan dalam apa juga keadaan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan kedudukan. Semoga ada keajaiban yang akan berlaku. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT dan  semoga semuanya akan terjawab dalam masa terdekat.kita hanya merancang, Allah jadi penentu. .kepadaMu kami pasrah! .amin


tangisan tidak lagi berlagu
air mata bukan lagi pencetus makna
segalanya pudar, hambar.
tawa semakin hilang
senyum mula beredar
langkah juga terhenti
kala khabar sampai ke telinga
tiada kata terluah
tanpa soalan berbalas
longlai tubuh menahan sebak
bumi dipijak seakan bergoyang

Engkau MH370 telah hilang
pergimu entah ke mana.
KepadaMu Ya Allah kami menadah
memohon petunjuk dan rahmat
agar ia dikembalikan segera
dalam apa jua keadaan
kami akur dan redha
jika itu perancangan terbaik dariMU.
Amin amin Ya Rabbal Alamin.











No comments:

Post a Comment