Sunday 22 November 2015

Hang Tuah bertemu Cik Siti Wan Kembang

SELAMAT PENGANTIN BARU SYAHIR DAN SHAFIQAH


Pasangan pengantin, |Syahir dan Syafiqah, sama cantik sama padan.

Handal rupanya Laksamana Bentan
Silat dan seloka boleh belaka
Seorang di Melaka sorang di Kelantan
Kalau dah jodoh bersatu juga

Sederhana tetapi meriah, itulah tang dapat digambarkan di majlis perkahwinan anak saudara saya sebelah suami, MOHD. SYAHIR  dan cinta hatinya SHAFIQAH di Jalan Pokok Mangga, Melaka semalam, 21 November 2015.

Saya  namakan majlis ini Kisah perkahwinan HANG TUAH dan CIK SITI WAN KEMBANG (Melaka lawan Kelantan)  sebab pengantin lelakinya berasal dari Melaka dan pengantin perempuannya dari Kelantan.

Mohd syahir dan Shafiqah telah selamat diijabkabulkan pada 24 September lalu di Pasir Mas, Kelantan. Majlis sebelah pengantin perempuan juga di adakan pada hari yang sama.

Perkenalan semasa sama-sama menuntut mengeratkan hubungan kedua-dua mempelai ini sehingga timbul bibit bibit cinta yang kemudianya membawa mereka ke jenjang pelamin untuk hidup bersama sebagai suami isteri.

        Segak dan anggun pasangan pengantin dengan songket tradisional merah hati dan pengantin              perempuannya comel bersanggul lentang.

Majlis yang di adakan untuk meraikan pasangan mempelai dua sejoli ini turut menjadi medan pertemuan antara sahabat lama dan saudara mara yang telah lama tidak berjumpa kerana masing-masing sudah mempunyai kehidupan berkeluarga yang semakin bertambah

                  Saya dan suami turut merenjis dan merestui pasangan ini dan bergambar kenangan.


Ramai sanak saudara jauh dan dekat hadir pada majlis berkenaan. Meriah dengan gelak ketawa, meriah dengan usikan dan sesekali kelihatan ada yang mengesat air mata kerana sedih lama tidak
berjumpa.

Majlis ini juga menemukan semula suami saya dengan rakan-rakan sekampung yang sudah hampir 40 tahun tidak berjumpa. Gamat dengan gelak ketawa dan cerita zaman kanak-kanak membawa kepada remaja sehingga kini yang mana tentunya menjadi memori indah.

            Rakan rakan sekampung suami yang sama sama membesar dan lebih 40 tahun tidak berjumpa

Tahniah buat biras saya, Puan Zauyah Mahmood kerana menerima menantu. Juga kepada  Norasyrin dan suami, Dila, Anisa, dan Ameera kerana mendapat kakak ipar dan adik ipar.....

Istimewa buat Syahir dan Shafiqah, Selamat menempuh fasa baru dalam kehidupan. Fasa hidup yang mencabar dan perlukan pengoprbanan, kesabaran dan ketabahan.

        Anak saudara saya, Zeren dan suaminya Amir dan anak bongsu mereka turut hadir



      Ini lagi anak saudara saya, Zairul Affendi dan Ruzaimi Affendi... yang ketiga yang kami panggil bangcik telah kembali ke rahmatullah Mei lalu. Terasa sangat ketiadaannya. Alfatihah buat Ezri Effendi, semoga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman.
       Cucu saudara saya, Farhan dan Aliya........

               Bersama adik ipar saya Sharifah Roudziah dan anak-anaknya, Farisha, Faezah dan Fariza.


                                   Bersama adik ipar saya, Sharifah Roudziah....


                       Bahagia pengantin

Khas untuk kalian berdua, jadilah pasangan yang menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing, berusahalah membetulkan mana yang kurang dan berkongsi yang lebih untuk mencari keserasian dalam rumah tangga.

Rumah tangga ibarat kapal di tengah lautan, silap menakhodanya maka kapal akan hanyut dan juga mungkin karam. Oleh itu wahai anak-anakku, sepakat dan ketelusan dalam sebuah perhubungan itu sangat penting. jangan pentingkan diri sendiri tetapi fikirkan juga hati dan perasaan pasangan.

Semoga Allah merahmati kamu berdua, kurniakan kesihatan yang baik, zuriat yang soleh dan solehah dan pertahankan kasih sayang kamu hingga ke Jannah.

Sayang sayang buah kepayang
Dalam bakul di bawa bekal
Kalau sudah namanya sayang
Sampai mati tetapkan kekal

Mari memetik daun selasih
Lalu disimpan di dalam raga
Kalau di dunia berkongsi kasih
Hendaknya kekal setia sampai ke syurga
   
TAHNIAH SYAHIR & SHAFIQAH.








No comments:

Post a Comment