Monday 13 June 2016

Mereka tidak minta lahir begini....


BAHAGIAKAN ANAK-ANAK SYURGA INI


“Tolong kami dapatkan rumah ini sebagai kediaman tetap kami sudah letih untuk berpindah randah,” demikian kata yang lahir dari mulut pengusaha dan Naib Presiden Rumah Amal Asnaf Al Barakh Tuan Haji Yusof Noor.
Penuh harapan dia bersuara dengan mata yang berpinar-pinar.  Saya tahu di hatinya sangat mengharap supaya permintaannya itu dimakbulkan Allah SWT.
Memandang keliling,  air mata saya bergenang, sebak dan terharu sangat. Sunyi kawasan keliling sebab anak-anak lain ke sekolah kecuali tiga orang anak kecil yang sedang bermain-main ketika kami sedang berbual. Aliya, Omar dan Ammar tidak tahu apa-apa.
Aliya tidak senyum, walau puas dipujuk. Renungan matanya menikam jantung saya. Sayu, hiba. Omar juga begitu malah Ammar asyik memanjat pintu pagar besar, seolah-olah mahu keluar mencari ketenangan di luar.
Apalah yang mereka tahu tentang hidup, keluarga dan kasih sayang. Kepada mereka, inilah orang yang menjadi tempat mereka menumpang kasih. Lapar disuap, menangis dipujuk, mengantuk didodoi sampai terlelap mata.
Inilah dunia mereka, anak-anak terbiar yang berteduh di Rumah Amal Asnaf Al Barakh yang diwujudkan melalui Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia.
Rumah ini menjadi kediaman 47 orang anak anak yatim dan tidak sah taraf. Mereka tidak ada dokumen sah, hanya pada nama sahaja. Ketiadaan tersebut menghadkan pergerakan mereka untuk ke sekolah seperti anak-anak lain.
Jangan ditanya siapa ibu bapa mereka kerana mereka  tidak tahu dan tidak akan tahu sampai bila-bila. Dari mana mereka berasal, tempat lahir mereka langsung tidak pernah tercatat di dalam mana-mana dokumen. Semuanya sedang diusahakan. Kehadiran mereka dan masa depan mereka yang akan datang akan terus menjadi rahsia Allah.
Namun Allah itu Maha Kaya diberinya nikmat kepada anak-anak ini untuk disayangi oleh orang orang seperti Tuan Haji Yusof dan Ibu Maryam selaku ketua warden.
Maka dapatlah mereka menumpang kasih dan ke sekolah seperti kanak-kanak lain walaupun di sekolah khas,  Sekolah Jalinan Kasih, milik kerajaan seratus peratus.
Di sinilah perjalanan hidup mereka untuk kehidupan seterusnya. Di sinilah mereka akan memulakan hidup mereka sebagai manusia. Belajar dan belajar dengan  ilmu agama menjadi teras utama. Tidak ada tolak ansur. Mengaji, solat menjadi asas kehidupan penghuni rumah ini. Semoga Allah permudahkan urusan hidup mereka..


Tuan Haji Yusof Noor.....biarlah ini kali akhir kami pindah.


TIDAK MEREKA MINTA LAHIR BEGINI

Ammar, Omar dan Aliya... wajah mereka meruntun hati saya....

Anak anak ini tidak bersalah, ibu bapa mereka yang patut dipersalahkan. Hidup mereka terumbang ambing kerana sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab.
Malah ramai di antara mereka tidak tahu siapa ibu bapa mereka, asal dari mana.  
Yang mereka tahu mereka mahu hidup dan menikmati keseronokan dunia ini. Ada yang menjadi mangsa ibu bapa  bercerai dan ada yang ditinggalkan begitu sahaja oleh ibu mereka yang tidak bernikah.
Ada yang dihantar oleh nenek yang sudah tidak mampu memberi mereka makan dan minum serta pakaian setelah ibu bapa mereka menghilang diri.  Nak tunggu ibu dan ayah mereka tidak nampak batang hidung, janji sekejap, tetapi sudah makan tahun, janji hanya tinggal janji.
Ada juga yang dikutip dari lorong lorong gelap bagi menyelamatkan akidah dan masa depan mereka. Cerita mereka hanya Allah yang tahu. Inilah dunia!
Di rumah banglo sederhana inilah mereka hidup, bergelak ketawa, bergurau senda. Meraih kasih sayang  ibu ibu yang menjaga mereka seperti anak sendiri.
Tuan Haji Yusof dan Ibu Maryam serta empat lagi petugas mengambil  alih tanggungjawab menjaga mereka. Tanpa berkira wang ringgit, keringat dan masa…. Kasih mereka tidak berbelah bagi kepada anak-anak ini. Anak syurga yang Allah kirimkan untuk dijaga dan diberi kasih sayang.

KEWANGAN, PENGANGKUTAN  DAN MASA DEPAN

Setiap rumah kebajikan perlukan wang. Makanan minum, persekolahan, transport dan sakit demam mereka perlukan juga perlukan wang.
Perbelanjaan yang diperlukan untuk sebulan adalah sekitar RM29,000. Tetapi rezeki anak-anak ini tetap ada. Seratus peratus perbelanjaan datangnya dari  orang ramai.
Belum lagi mereka tidak makan kerana kekurangan duit…semuanya Allah susun elok. Cantik di mataNYA seperti mana cantiknya anak-anak ini di sisi Allah SWT.
Rumah yang didiami sekarang akan dijual dengan harga RM800,000 lebih kurang. Mereka sedang menjalankan usaha mengutip dana melalui wakaf bagi membolehkan mereka memiliki rumah ini.
“Kami sudah lebih berpindah randah. Kasihan anak-anak terpaksa bertukar sekolah setiap kali berpindah. Kalau boleh biarlah ini penempatan terakhir kami….” Pinta Haji Yusof penuh harapan.
Sebelum ini mereka menetap di Taman Sri Telok Dato Banting, kemudian di Gombak dan sekarang di Taman Sepakat, Keramat.
Dalam soal pengangkutan, rumah in memerlukan van untuk menjemput dan menghantar anak-anak ini dari sekolah. Dua buah van yang ada sudah uzor. Kalau boleh biarlah yang besar dan selesa untuk membawa anak anak yang ramai.
Alhamdulillah setakat ini perbelanjaan tidak pernah putus. Makanan mencukupi, pakaian juga sama. Urusan pergi balik sekolah juga dipermudahkan Allah. Alhamdulillah dan syukur dengan nikmatnya.
Sakit demam mereka mendapat perhatian sebuah kelinik berhampiran yang merawat msecara percuma. Terima kasih Klinik Iman. Semoga jariah Anda Allah gandakan.
Malah bantuan dari orang perseorangan tetap tidak pernah putus, bertali arus…..  

REZEKI ALLAH YANG TENTUKAN



“Apabila matinya anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara,SEDEKAH JARIAH, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.”

Di bulan yang baik ini, apa salahnya kita menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk rumah ini. Berkongsi rezeki kita dengan mereka seikhlas hati. Hulurkan bantuan sekadar mampu. Sedikit kita kongsi sedikit, banyak kita kongsi banyak… rezeki Allah bukan untuk kita sahaja tetapi ada bahagian orang lain juga….
Marilah bersama-sama kita gembirakan mereka. Melihat wajah Aliya, Omar dan Ammar, saya teredu. Ya Allah Engkau murahkan rezeki anak-anak ini. Anak-anak syurga yang suci dan bersih…..
Ringankan kesedihan mereka, kurangkan beban mereka, gembira dan bahagiakan mereka……
Hubungi Tuan Haji Yusof Noor  atau Ibu Maryam ( 016 6729401) atau 03-41429577 atau datang terus ke Lot 16, Jalan AU 3/10, Taman Sepakat, 54200, Kuala Lumpur. Atau masukkan terus sumbangan anda ke Bank Islam 12113010044327 (Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia).


  

No comments:

Post a Comment