Friday 21 February 2014

salam dari Cape Town


Bergambar kenangan bersama wanita Melayu Cape Town di Homestay milik Shafiek dan Aishah di 24 Upperbloem, Cape Town. 

Assalamualaikum sahabat yang dikasihi semua.
Apa khabar? Hampir seminggu lebih saya tidak menulis di sini sebab terlalu sibuk dengan urusan kerja. Alhamdulillah...seperti biasa, tentu rindu juga nak menulis bila ada kelapangan. Tiga hari lepas saya menerima emel dari sahabat saya di Cape Town, Afrika Selatan, Shafiek dan isterinya Aishah. Pasangan suami isteri ini menjadi kenalan baik saya selepas kami bertemu di Cape Town lebih 8 tahun lalu ketika saya membuat tugasan tentang Melayu Cape Town. bersama jurugambar Nor Baini Masri.
Seperti selalu, Aishah dan Shafiek selalu mengirim emel bertanya khabar saya dan keluarga, bercerita tentang aktiviti Melayu di Cape Town dan percutian mereka.
Aishah dan Shafiek sudah mempunyai cucu...anak-anaknya seramai dua orang seorang lelaki dan perempuan meneruskan perniagaan keluarga. Mereka memiliki homestay yang sangat cantik diberi nama 24OnUpperbloeum terletak di pusat bandar Cape Town...rumah ini sangat cantik dan sangat sesuai untuk diduduki oleh mereka yang berkeluarga jika ke sana.
Khabar terkini yang disampaikan oleh Aishah dan Shafiek kepada saya ialah berita sedih tentang kematian seorang penyampai radio siaran Islam di sana Munadia Karran dua bulan lalu akibat kanser...saya memang tahu Munadia memang menghidap sakit kanser. Dia pernah datang ke Malaysia pada 2008 menghadiri satu persidangan tentang wanita mewakili  wanita Melayu Cape Town...kami selalu juga berhubung melalui emel.
Innalilalah...semoga rohnya dicucuri rahmat ditempatkan di kalangan orang beriman. Munadia seorang wanita yang hebat di Cape Town. Beliau memperjuangkan wanita Islam dan hak-hak wanita di negara itu sejak sekian lama. Jasa dan sumbangannya kepada masyarakat Islam Cape Town terutama wanita memang sangat disanjung tinggi.
Shafiek dan Aishah juga bercadang untuk datang bercuti ke Malaysia tahun ini.  Mereka ke sini pada 2010 bersama pasukan kriket Melayu Cape Town yang menyertai pertandingan kriket di sini. Saya sempat berjumpa mereka dalam kunjungan tersebut. Dan saya amat berharap dapat berjumnpa mereka lagi tahun ini, insya-Allah.
Kunjungan ke Cape Town memang sangat menyeronokkan terutama apabila berjumpa orang-orang melayu Cape Town yang menjadi sahabat saya hingga sekarang.  Teringat saya bagaimana mereka menjemput kami makan di rumah masing-masing secara bergilir-gilir. Masing-masing membawa masakan dari rumah bersama kuih muih tradisional mereka untuk di makan beramai-ramai.
Shafiek juga menjadi pemandu pelancung kami sepanjang 10 hari di sana dengan membawa kami  ke lokasi tugasan disamping tempat-tempat menarik seperti Cape Point, Table Mountai dan safari.....kalau diziinkan dan ada rezeki, saya memang teringin hendak ke sana lagi. Mudah-mudahan Allah makbulkan impian saya ini.
       Bersama krew Radio Islam Cape Town...(Arwah Munadia 3 dari kiri)....ini diambil semasa saya dan Baini melawat radio tersebut dan sempat ditemuramah untuk siaran di daerah tersebut selama sejam. 


Friday 14 February 2014

Salam Jumaat

Subhanallah......keajaiban bumi ciptaan Allah.

Assalamualaikum para sahabat.
Seminggu tak menjenguk halaman ini, terasa rindu pula. Banyak yang perlu saya bereskan sepanjang minggu lalu. Harap semua dalam keadaan sihat dan ceria selalu. Nak Kongsi cerita tak banyak yang ada melainkan tentang kerja....kalau anda ada cerita nak dikongsi boleh saya emel  kepada saya. Mana tau mungkin cerita anda boleh dijadikan iktibar untuk orang lain. Kadang kadang tidak salah kita berkongsi cerita kita dengan orang lain sekurang-kurangnya  dapat meredakan kekusutan dalam hati kita. sekaligus memberi pengajaran kepada orang di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama.
Untuk minggu yang mendatang saya doakan agar anda semua sentiasa di dalam keadaan sihat, ceria dan diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan kehidupan yang pelbagai ini. Ujian? selalu datang dan pergi, ketabahan dan kesabaran menjadi benteng kita untuk terus bertahan.
Ingatlah satu perkara, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Ada ganjarannya, malah Allah menggandakan ganjaran itu kena caranya. Berdoa selalu, jangan putus asa, mohon Allah makbulkan doa kita itu kerana hanya Dia Yang Mendengar dan Mengetahui keinginan hambaNYA.
Sentiasa berlapang dada, senyum selalu dan berbaik sangka dengan semua orang..itu amalan terbaik dalam mencari kesejahteraan dalam sebuah ikatan persahabatan dan persaudaraan. Mudah-mudahan kita sentiasa menjadi manusia yang sedar kekurangan dan kelemahan diri serta berusaha menjadi yang terbaik daripada sebelumnya. Amin.

Tuesday 4 February 2014

Redah jem berjam-jam demi mak

 mak (duduk) gembira dengan kehadiran adik-adikdan bapa saudaranya...senyum meleret-leret 

Habis makan, sambung cerita lagi................

Assalamualaikum
Apa khabar anda minggu ini? Semoga sihat selalu hendaknya disamping keluarga  dan orang tersayang.
Minggu lalu tentu ramai yang meninggalkan Bandaraya Kuala Lumpur walaupun KL menyambut hari ulang tahunnya...
Menjadi kebiasaan sebahagian besar dari penduduk Kuala Lumpur khasnya di Lembah Klang untuk keluar dari Kuala Lumpur setiap kali Sambutan Tahun Baru China. Ada yang ke luar negara, ke tempat peranginan untuk bercuti dan ramai juga yang balik kampung berjumpa keluarga.
Saya juga tidak terkecuali - balik Alor Setar menjadi agenda wajib jika ada waktu terluang. Atas arahan mak, mesti balik, siapa pun tak berani  nak bantah, itulah mak! Perjalanan yang tidak dirancang ini berlaku kerana keluarga adik saya, Husni, mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat.
Kami memang selalu buat kenduri  sebagai salah satu sebab untuk menghimpukan adik beradik sambil mengeratkan silaturrahim sambil borak-borak dan bertemu kaum keluarga yang lama tidak berjumpa khasnya ibu saudara dan bapa saudara kedua-dua pihak, arwah bapa dan adik-adik  mak yang tidak pernah uzur untuk menghadirkan diri.
Kecik-kecik pun ramai juga tetamu hampir 200 orang. Di mulakan selepas solat Jumaat 31 Januari 2014, majlis dimulakan dengan tahlil dan doa selamat dihadiri hampir 70 kariah Masjid Derga yang dijemput  ke rumah, kebanyakannya sahabat arwah bapa saya Hj Hamzah.
Nasi daging, cicah air asam dan dalca menjadi menu  pilihan serta air oren dan sirap. Juga kuih muih moden dan tradisional... orang yang paling gembira adalah mak saya Hajah Ronah..bukan sahaja seronok sebab anak menantu, cucu dan cicit datang tetapi juga adik-adik, ipar duai, anak saudara sepupu sepapat semua turut hadir. Meriah juga macam buat kenduri kahwin.
Itulah impian mak, nak buat kenduri awal tahun....nak panjatkan rasa syukur dengan segala nikmat Allah berikan kepada kami sekeluarga sama ada dalam suka atau duka - yang penting kami semua bersatu ....demi Mak dan arwah Pak. Sebelah malam kami berhimpun lagi, solat jemaah Maghrib,  membaca Yassin dan diakhir dengan solat Jemaah Isyak dan bacaan doa. Semoga kami sekeluarga di beri kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan diberkati hidup di dunia dan akhirat.
Terima kasih kepada semua saudara mara yang hadir...terima kasih kepada Husni  dan keluarga . Semoga sentiasa di dalam rahmat Allah.
Kepada adik-adik, ipar duai, anak-anak sedara dan sepupu mak saudara yang membantu...terima kasih daun keladi, panjang umur kita buat kenduri lagi....    salam sayang untuk semua!


4 sepupu yang tak boleh jumpa....mesti gamat...dari kiri: Dr.Shahrum, cikgu Shamshul dan cikgu Noraini

Bacaan Yassin dan doa selamat dipimpin oleh adik lelaki kedua saya, Mokhtar. alhamdulillah!




Monday 3 February 2014

Berkongsi cerita buat renungan




‘Bodohnya saya terlalu percayakan kawan’

Benar kata pepatah, dunia ini sebenarnya berpusing, sekejap kita di atas, sekejap kita di bawah semuanya bergantung pada perjalanan hidup yang diatur oleh Allah swt.

Dalam rumah tangga pun begitu juga, tidak ada yang sempurna dan setiap saat berdepan dengan pelbagai ujian yang harus ditempuh dengan tabah. Ini juga dikaitkan dengan persahabatan, terlalu baik juga tidak membawa erti apa-apa malah akan mengundang kecewaan sebelah pihak jika kawan yang dipercayai menikam dari belakang.

Inilah kisah yang dilalui oleh Hanim (bukan nama sebenar). Persahabatan dari zaman persekolahan membawa kekecewaan dalam diri Hanim apabila sahabat baiknya itu bertukar menjadi madunya.

Kita ikuti kisah Hanim dalam e-melnya kepada saya..

“Saya berusia lewat 40-an, mempunyai tiga orang anak berusia antara 12 hingga 20 tahun. Saya bekerja sebagai penjawat awam dan suami seorang ahli perniagaan. Hidup kami mewah dan saya mendapat kasih sayang penuh daripada suami, begitu juga anak-anak.

“Sejak sekolah saya mempunyai seorang kawan rapat bernama Wan (bukan nama sebenar). Dia bekerja dengan sebuah syarikat swasta. Kami menuntut di universiti yang sama tetapi memilih kerja yang berlainan.

“Saya bertemu jodoh agak awal selepas tamat pengajian tetapi Wan tidak. Setelah saya mendapat anak kedua, baru dia bernikah, sayang jodohnya tidak panjang. Dia berpisah dengan suaminya tanpa ada anak.

“Sejak itu, saya dan keluarga menjadi tempat Wan menumpang kasih. Anak-anak saya seperti anak-anak dia juga. Setiap waktu ada kelapangan Wan akan ke rumah saya untuk bermain dengan anak-anak dan sesekali kai pergi bercuti bersama.

“Saya tidak nampak ada udang di sebalik batu dalam hubungan Wan dengan keluarga saya. Memang sejak kami mula berkenalan saya percaya seratus kepadanya. Dia tempat saya berkongsi cerita tentang susah senang saya.

“Malah jika saya kerja luar daerah Wan akan membantu menguruskan anak-anak saya untuk ke kelas tuisyen dan juga sekolah agama tanpa sedikit pun rasa sangsi saya terhadap kejujurannya dalam perhubungan kami. Kami boleh saling membantu antara sama lain dalam semua perkara termasuk kewangan. Keluarganya juga menjadi keluarga saya.

“Tapi saya silap. Dalam diam-diam rupanya Wan dan suami saya menjalin hubungan sulit. Mereka jatuh cinta dan bermain kayu tiga di belakang saya. Semuanya terbongkar apabila anak bongsu saya terserempak dengan Wan dan suami sedang berdua-duan dalam bilik tidur saya semasa saya kerja luar.

“Setelah sedar rahsia mereka telah diketahui anak bongsu saya, kedua-duanya memberi pelbagai alasan kenapa mereka berada bersama dalam bilik tidur saya. Tapi budak sedang naik, mana dia percaya terutama apabila melihat kawan baik mamanya bermesra dengan ayahnya.

“Pada mulanya anak bongsu saya tidak berani hendak beritahu saya tetapi setelah saya pujuk dan tanya kenapa dia macam takut-takut apabila saya dan Wan bersama, lalu dia pun bercerita tentang apa yang dia nampak.

“Berderau darah saya mendengar ceritanya. Berkali- kali saya tanya, jawapannya tetap sama. Saya yakin dia tidak bohong sebab budak–budak tidak akan buat cerita melainkan apa yang dia nampak. Saya tidak gelojoh bertanya suami akan hal itu.

“Saya perasan sejak anak bongsu saya bercerita tentang perkara itu, Wan jarang datang ke rumah kami dan suami pula seperti mengelak apabila berada di ruang tamu dengan saya dan anak-anak.

“Bagi mengesahkan apa yang anak saya beritahu, saya juga membuat intipan dan pergerakan mereka. Saya periksa telefon bimbit suami, bil makan minumnya dan menjejak perjalanannya dari rumah ke pejabat menggunakan kereta adik saya.

“Maka terbukti yang mereka ada hubungan sulit yang melebihi daripada kawan. Saya juga pasti mereka sudah syak saya tahu hal sebenar dan cuba mengelak daripada bertemu dengan saya. Tuhan itu Maha kaya dan mendengar doa hambaNya.

“Saya berjaya mengesan suami berada di rumah Wan sehari suntuk sedangkan pada hari itu dia beritahu saya ada urusan kerja di selatan tanah air. Setelah mengumpul bahan bukti akhirnya saya memanggil Wan ke rumah dengan alasan untuk meraikan hari lahir si bongsu saya. Saya mahu selesaikan masalah kami dengan segera dan tidak mahu bermasam muka. Saya hanya mahukan penjelasan daripada mereka berdua, sama ada benar atau tidak apa yang anak saya ceritakan.

“Saya tidak menampakkan rasa susah hati dan ada masalah di hadapan keluarga tetapi buat ceria seperti biasa. Selesai makan, ketika kami semua berada di ruang tamu menonton televisyen, saya membuka mulut.

“Saya tanya suami, apa hubungan dia dengan Wan? Adakah sebagai suami kepada kawan saya atau selebihnya? Tergamam kedua-dua mereka. Wan saya nampak gelisah dan suami pula macam cacing kepanasan. Saya ceritakan apa yang anak bongsu saya nampak..mereka tidak dapat mengelak lagi. Nak buat apa menafikan perkara benar, anak saya juga ada di situ untuk menjadi saksi.

“Akhirnya dengan muka merah padam dan suara tersekat-sekat, suami mengaku mereka telah enam bulan bernikah. Mudah sahaja alasan mereka. Rupanya mereka memang sudah bercinta di luar pengetahuan saya sejak lama dahulu.

“Mereka ambil kesempatan dengan kebaikan dan kejujuran saya. Saya yang bodoh terlalu percaya mereka. Saya redha apa yang sudah berlaku dan bangkit meninggalkan ruang tamu dan masuk ke bilik. Di luar saya dengar bunyi kecoh suami dan Wan bertengkar.

“Saya tidak peduli lagi. Saya bagi tahu suami, saya tidak mahu lagi melihat mukanya di dalam rumah kami buat sementara, begitu juga dengan Wan. Saya minta mereka tinggalkan saya dan anak-anak. Saya mahu bersendiri. Melayan perasaan kecewa saya dengan tindakan dua orang yang saya sayang, suami dan sahabat baik saya. Tergamaknya mereka buat saya macam ini?

“Syukur alhamdulillah, Allah telah membuka rahsia ini dengan cepat. Mujur anak saya ternampak, jika tidak saya akan terus dipermainkan oleh mereka entah sampai bila. Betapa bodohnya saya, terlalu percaya kepada sahabat, akhirnya suami saya dikebas olehnya.

“Saya berharap Allah bagi saya kekuatan untuk menghadapi keadaan ini. Saya sayang rumah tangga kami dan tidak mahu ia musnah begitu sahaja.
Tetapi saya juga ada maruah. Kalau anda di tempat saya bagaimana? Saya bagi masa kepada suami dan Wan untuk mengembalikan keadaan. Sesungguhnya hati saya sudah tawar, sedih dan kecewa. 

“Kini saya sedang menyerah diri kepada Allah dan mohon diberi petunjuk agar saya boleh menyelesaikan masalah ini dengan baik. Anak-anak menjadi keutamaan saya dalam apa juga perkara. Saya berharap ada penyelesaiannya nanti. Doakan saya,’’ Begitu Hanim menamatkan ceritanya.

Aduh! Saya dapat merasakan kesakitan yang Hanim tanggung akibat daripada kejadian ini. Bayangkan sahabat karib merampas suami! Macam dalam drama pula tetapi inilah realiti hidup.

Saya berharap Hanim akan menghadapi masalah ini dengan tabah, kuatkan semangat dan tabahkan hati. InsyaAllah, akan ada jalan penyelesaiannya nanti. Saya kagum dengan kata Hanim yang meletakkan anak-anak sebagai keutamaan dalam apa juga keadaan.

Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumah tangga. Saya percaya Hanim seorang wanita yang cekal dan boleh menimbang mana yang terbaik untuk masa depannya.

Nasihat saya, dapatkan nasihat dan kaunseling  daripada pihak berkaitan untuk meredakan kerunsingan anda sambil jangan putus berdoa agar diberi petunjuk oleh Allah s.w.t  dalam setiap kali solat.

Menutup catatan, pesanan saya untuk renungan bersama.  Banyak perkara yang kita lalui membawa kebaikan tetapi dalam perjalanannya kita akan bertemu dengan pelbagai cabaran.
Salam.
Normala Hamzah
Sembangsembangkakmalablogspot.com

sebuah kehidupan...perjalanan ibarat berjalan di tepi laut, bersaksikan pantai, pasir, laut, ombak dan langit yang kelihatannya bercantum menjadi satu, hakikatnya tidak......