Monday 30 June 2014

Salam Ramadan


Hidup juga umpama setangkai bunga ros... sentiasa dipuja dan dicium ketika harum tetapi akan ditinggalkan setelah layu.....ibaratnya! 

Assalamualaikum dan selamat Petang. Salam Ramadan.
Agak lama saya tidak menyapa anda di ruangan ini, maklumlah kesibukan membataskan pergerakan untuk menyapa dan bertanya khabar. Apapun saya mengucapkan selamat berpuasa kepada anda semua, semoga Ramadan kali ini membawa seribu keinsafan dan keberkatan dalam hidup kita semua.
Sepert biasa, Ramadan bulan untuk meningkatkan amal ibadah, sedekah jariah dan menginsafkan diri terhadap semua yang berlaku dalam hidup kita.
Biar kaya, msikin, tua muda inilah bulan rahmat di mana Allah menjanjikan gajaran yang tinggi kepada kita semua jika patuh dengan arahan dan perintah DIA yang Esa... Ramadan bulan mengejar pahala...
Ini lah bulan kita membersihkan diri, mententeramkan jiwa dan memberi sepenuh perhatian terhadap melengkapkan diri dengan ketakwaan serta mendekatkan diri kepadaNYA.. insya-Allah mudah-mudahan apa yang kita lakukan akan mendapat nikmat dan ganjaran berganda dari Allah s.w.t.
Ramadan bulan mengawal nafsu, bukan bulan mengikut nafsu. Makanan, minuman dan membeli belah juga harus dikurangkan. Mana yang membazir elakkan dan berbelanj ikut kemampuan dan keperluan.
Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang yang insaf dan meletakkan agama sebagai asas dalam kehidupan yang serba mencabar.
Doa saya agar kita semua sentiasa dalam rahmat Allah dan berjaya melawan nafsu lapar dan dahaga serta memperbanyakkan ibadah sepanjang Ramadan  mulia ini...kepadaMU ya  Allah kami berserah!  Mohon dimurahkan rezeki di beri kesihatan yang baik  agar dapat kami terus beriman dan sujud kepadaMU dalam mencari keredhaan dan  menjadi hambaMU yang Engkau Kasihi . Amin
     Laut dan matahari, dua ciptaan Allah yang sangat sinonim dengan kehidupan manusia.

Friday 13 June 2014

Bapa Hero paling hebat


 BAPA - HERO PALING HEBAT

Di mana kita  tanpa dia
Jadi apa  agaknya kita tanpa usahanya
Tanpa perhatiannya
Keluarnya pagi, pulangnya petang
Ada tikanya membawa hingga ke malam
Rungutan dan penat tak pernah kedengaran

Siapa kita tanpa dia
Yang memerah keringat demi zuriatnya
Yang meredah masa dalam suka dan duka
Yang jarang bertanya tetapi merasa
Nangisnya tiada suara, walau sebaknya mencengkam dada

Sayangnya Dia kepada kita hanya Allah yang tahu
Sama juga seperti ibu
Tanggungjawab mereka sama,
Yang membeza,  ibu yang melahir
Dia? Menadah tangan bersyukur
Air matanya menitis dengan tangisan pertama zuriatnya
  
Dia, seorang bapa
Berkorban apa sahaja
Hatta nyawa galang gantinya
Walau ada yang tidak sempurna
Maafkanlah... Kerana  dia juga manusia

Dia membelai bonda
Melimpah ruah kasih dicurah
Demi keluarga dan maruah
Tiap saat, tiap ketika, tanpa jemu dan letih
Sejak langkahmu masih bertatih

Dia yang menanggung seksa
Makan minummu, sakit demammu
Dia yang tidak banyak kata, tidak bersuara
Tetapi memandang penuh makna
Hingga kita akur menurut perintah
Kerana pandangannya buat kita gundah dan lemah

Siapa pun dia, di mana pun dia
Sayangilah, hargailah
Jika masih ada peluklah
Jika sudah pergi sedekahkan alfatihah
Kerana dia juga syurga kita
Dia yang merealisasikan impian kita melihat dunia
Dia membuka jalan kita
Belajar tentang hidup
Bersandarkan kasih ibu,  menumpang kasih dia
Tanpanya ibu tidak ke mana, kita entah kan lagi

Dia, yang ku panggil  BAPA...
Kasihnya sepanjang masa.
Sayangnya bagai air lalu..
Ceritanya tidak pernah tamat
Kerana dia penyambung zuriat....
Tika sakit mahupun sihat
Pasti selamanya terpahat
Menjadi sejarah generasi berabad

Hari ini, engkau kami nobat
Sebagai HERO paling hebat
Pengorbanan dan jasa mendapat berkat
Sempurna hidupmu didunia dan ahirat

Terima kasih BAPA!

Normala Hamzah
Kompleks Sri Utusan
Bangi
13 Jun 2014. 

Assalamualaikum sahabat yang dikasihi.
Alhamdulillah.. semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah.....
Minggu ini adalah minggu sambutan Hari Bapa - insan teristimewa dalam hidup kita. Jasa dan pengorbananya amat besar... macam mana sayang kita kepada ibu, begitulah hendaknya sayang kita kepadanya.. sama rata, sama rasa tiada berbeza.
Kepada semua kaum Adam yang bergelar bapa, tahniah dan syabas kerana menjadi bapa yang baik dan sempurna di mata anak-anak....walau ada yang mungkin tidak menikmati bahagia hidup bersama bapa, anggaplah ia sebagai cabaran hidup.... kehidupan ini sebenarnya perlukan pengorbanan.  Kepada mereka yang sudah tidak punya bapa, sedekahkan Al-fatihah dan iringi doa semoga roh mereka aman di sana dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman...
Saya juga sudah tidak punya bapa... namun ingatan kepada arwah tetap kekal abadi, tidak pernah sesaat pun terlupa... dia yang mengajar saya tentang hidup, susah senang, suka duka dan erti kasih sayang sesama adik beradik... garang, tegas tetapi baik hati dan penyayang... arwah telah pergi tetapi membekalkan kami adik beradik dengan  ilmu dunia akhirat.  Insya-Allah akan kami ingat pesanan arwah dan akan kami teruskan ikatan kasih ini selagi hayat di kandung badan dalam rindu yang amat panjang! .al-fatihah buat Haji Hamzah...











Thursday 12 June 2014

PERMAISURI OH PERMAISURI....

Assalamualaikum para sahabat semua.
Ini antara gambar gambar menarik yang terkandung di dalam buku Biografi PERMAISURI ... gambar yang sebelum ini tidak pernah disiarkan di mana-mana .... ia sangat eksklusif dan perlu dilihat anda. Buku ini patut dimiliki oleh semua wanita sebagai koleksi peribadi - kenangan untuk generasi muda negara...
yang ingin menempah boleh hubungi saya  untuk makluman lanjut. Edisi terhad. tidak dijual di kedai biasa tetapi boleh mendapatkannya terus dari Utusan Karya dengan datang sendiri ke alamat Utusan Karya Sdn Bhd.. Kompleks Sri Utusan Bangi.... dapatkan cepat sebelum terlambat. Harga hanya RM250 sahaja.



Monday 9 June 2014

jurujual sibuk telefon

Telefon memang penting, tapi gunalah di tempat dan masa yang betul.....

Assalamualaikum dan salam Isnin  sahabat semua.
Apa khabar? masih dalam mood cuti tentunya anda semua. Bagi yang bercuti tentu gembira bersama keluarga bagi yang tidak  jangan susah hati,.,. duduk di rumah juga masih ada ruang untuk bersama keluarga. Bagi yang menerima menantu tahniah saya ucapkan . Kepada yang balik kampung melawat orang tua dan saudara mara atau menghadiri majlis kahwin saudara,  itu satu amalan yang baik. Mendekatkan silaturrahim memang digalakkan sesama kita...
Cuti sekolah juga musim untuk membel belah bagi yang ada duit lebih. Pusat membeli-belah juga mengadakan jualan potongan harga istimewa sempena cuti sekolah tambahan pula sudah hampir dengan bulan Ramadan yang tinggal dalam lebih kurang 2 minggu sahaja lagi.
Bercakap tentang membeli-belah ini, saya ingin menyentuh tentang sikap jurujual di pusat membeli-belah yang mana kebanyakan mereka adalah generasi muda yang hidup mereka bergantung kepada telefon bimbit... tanpa telefon macam tak boleh hidup. Jika tidak pun telefon di pegang ia mesti ada dalam poket seluar atau baju mereka tidak kira semasa bekerja atau berada di rumah.. Saya ingin berkongsi pengalaman mengunjungi sebuah pusat membeli-belah baru-baru ini. Melangkah masuk sahaja tidak seorang pun jurujaul yang menyambut, tanpa senyuman tanpa ucapan selamat datang. Takpa la, itu bukan soalnya,. Saya perhatikan tiga empat orang pekerjanya sedang berkumpul... masing-masing membelek telefon di tangan sambil bergelak ketawa.
Di kaunter, dua juruwang wanita yang agak berumur juga sedang membelek telefon... ramai juga pelanggan ketika itu kesemua mereka sedang memilih kain dan tidak ada jurujual yang melayan mereka. Saya juga tidak terkecuali... hampir 20 minit saya berada di situ keadaan tidak juga berubah. Grup jurujual yang berhimpun di satu sudut tadi masih di situ.  Saya  memanggil salah seorang daripada mereka untuk memotong kain yang saya hendak, masing-masing menolak antara satu sama lain... sambil ketawa. Macam kita nak bergurau pula dengan mereka.
Hampir 5 minit salah seorang darinya bangun dan berjalan ke arah saya dan bertanya, nak yang mana cik?
Saya tunjuk yang saya pilih... sambil melayan kawan-kawannya yang masih ketawakan dia, si remaja itu memegang gunting dan kayu pengukur.... berapa? acuh tak acuh... empat meter, jawab saya.
Dia ketawa lagi sambil melihat ke arah kawan-kawannya, apa yang lawak sangat pun saya tak tahu... tiba-tiba telefonnya berbunyi, dia terus menarik telefon dari poketnya. Saya tunggu dengan penuh sabar. Budak perempuan itu memberi isyarat sekejap kepada saya., maksudnya suruh tunggu. Agak2 5 minit saya mula hilang sabar,  geram... saya berjalan ke kaunter dan bertanya mana supervisor... kedua-dua juruwang di kaunter terkejut dengan pertanyaan saya sebab mereka juga sedang  leka bermain mesej...keluar makan jawab mereka serentak. Wajah mwereka nampak risau.  Jurujual perempuan yang melayan saya acuh tak acuh tadi datang mengikut saya ke kaunter... berapa meter tadi cik nak? dia bertanya lagi.  Jawab saya dengan nada suara yang agak tinggi, takpa terima kasih... saya tak jadi beli... kamu lebih pentingkan telefon dari pelanggan kan?... kenapa semua orang dalam kedai ini dok main telefon?. inikan masa kerja!. Temnguk semua pelanggan dalam kedai ni bawa diri masing-masing, kata saya. Mereka terpinga-pinga dengan kata-kata saya...seorang pelanggan wanita di sebelah saya menyampuk, "ya la, dah setengah jam saya masuk sini, sorang pun tak datang tanya saya nak apa? semua leka dok bersembang dan main telefon'..Saya memandang wajah perempuan itu dan mengangguk tanda setuju dengannya.
Saya tak marah tetapi geram dengan sikap mereka... masa kerja buat main-main... kita pula yang jadi tunggul dalam kedai itu... tanpa menunggu jawapan saya berlalu keluar. Sekurang-kurangnya saya telah melepaskan apa yang terpendam dalam hati saya...  ini bukan kali pertama saya mengalami situasi begini. Sudah banyak kali bukan sahaja di pusat membeli-belah tetapi juga di tempat lain yang mana pekerjanya lebih utamakan telefon dan hal peribadi mereka dari pelanggan..Bayangkan jika pelancung asing yang datang untuk membeli?
Saya harap keadaan ini dapat diperbetulkan. Majikan diminta memberi peraturan kepada pekerja, masa kerja tidak boleh guna telefon... layanan kepada pelanggan lebih utama. Dalam keadaan begini, kita yang sabar pun jadi tak sabar..... bukan sebab nak membeli sangat pun, semuanya kerana sikap manusia, tidak tahu menilai mana yang baik dan tidak baik....waktu bekerja dan waktu bersuka.. Semoga kita semua mendapat iktibar dari kejadian yang saya ceritakan... sekadar berkongsi cerita.... maaf jika ada yang terasa.
















Friday 6 June 2014

karya saya untuk negara - PERMAISURI

Muka depan buku  dan sarungnya .... cantik!




















Assalamualaikum para sahabat yang dikasihi semua. Lama saya tidak menyapa anda dalam blog ini. Harap semua dalam kandungan sihat selalu. Alhamdulillah majlis perkahwinan anak perempuan sulung saya telah berlalu  dengan selamat seperti dirancang. Syukur kepada Allah.,.. hajat dan doa saya dimakbulkan.
Mei dan Jun bulan rahmat untuk saya... Mei saya menerima menantu dan Jun adalah bulan permulaan yang baik untuk saya setelah buku, PERMAISURI  - biografi bergambar 14 orang Raja permaisuri Agong Malaysia berjaya diselesaikan dan akan masuk pasaran minggu depanl, insya-Allah.. syukur kepada Allah keana merealisasikan hajat dan usaha saya ini.
Buku ini adalah hasil usaha saya sejak setahun lalu.. buku yang telah lama saya idamkan. Setahun saya membuat kajian, mencari bahan dan gambar-gambar untuk dimuatkan dalam buku ini. Dalam tempoh itu pelbagai dugaan saya hadapi... alhamdulillah semuanya berjaya diatasi dengan berkat sokongan dan doa kawan-kawan dan majikan saya ..terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu... jasa anda tidak akan saya lupakan. Saya juga tidak dapat membalasnya melainkan dengan doa agar kita semua sentiasa dalam rahmat Allah.
Buku ini setebal 220 muka surat, dipenuhi dengan gambar-gambar eksklusif  14 orang Raja Permaisuri Agong Malaysia semasa mereka mengiringi Tuanku SPB Yang diPertuan Agong menaiki  takhta..gambar-gambar  dalam pelbagai aksi dan gaya, suka dan duka telah saya rakamkan untuk buku istimewa ini. Mudah mudahan ia dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai bahan rujukan dan koleksi peribadi yang berharga dalam hidup mereka.
Buku ini di jual dengan harga RM250 sebuah (d iluar Kuala Lumpur termasuk pos) - setebal 220 muka surat dan dalam bentuk coffee table... ia tidak di jual di kedai tetapi mereka yang bermninat boleh mendapatkan terus dengan datang sendiri ke UTUSAN KARYA Sdn Berhad di alamat Kompleks Sri Utusan, Lot 6, Jalan P/10, Kawasan Perusahaan Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi  atau telefon 03-8926299/8778/8393 (Normala /Rosli Hanafi)... atau boleh juga emel tempahan anda melalui blog ini atau normala.hamzah@utusan.com.my . atau malahamzah56@gmail.com. Sila sertakan maklumat lengkap diri anda, alamat dan nombor untuk dihubungi.... terima kasih kerana menyokong Utusan Karya dan menjadikan PERMAISURI sebagai koleksi berharga dalam hidup anda... 

Antara kandungan menarik yang perlu anda tatap....













 Daulat Tuanku!