Friday 13 June 2014

Bapa Hero paling hebat


 BAPA - HERO PALING HEBAT

Di mana kita  tanpa dia
Jadi apa  agaknya kita tanpa usahanya
Tanpa perhatiannya
Keluarnya pagi, pulangnya petang
Ada tikanya membawa hingga ke malam
Rungutan dan penat tak pernah kedengaran

Siapa kita tanpa dia
Yang memerah keringat demi zuriatnya
Yang meredah masa dalam suka dan duka
Yang jarang bertanya tetapi merasa
Nangisnya tiada suara, walau sebaknya mencengkam dada

Sayangnya Dia kepada kita hanya Allah yang tahu
Sama juga seperti ibu
Tanggungjawab mereka sama,
Yang membeza,  ibu yang melahir
Dia? Menadah tangan bersyukur
Air matanya menitis dengan tangisan pertama zuriatnya
  
Dia, seorang bapa
Berkorban apa sahaja
Hatta nyawa galang gantinya
Walau ada yang tidak sempurna
Maafkanlah... Kerana  dia juga manusia

Dia membelai bonda
Melimpah ruah kasih dicurah
Demi keluarga dan maruah
Tiap saat, tiap ketika, tanpa jemu dan letih
Sejak langkahmu masih bertatih

Dia yang menanggung seksa
Makan minummu, sakit demammu
Dia yang tidak banyak kata, tidak bersuara
Tetapi memandang penuh makna
Hingga kita akur menurut perintah
Kerana pandangannya buat kita gundah dan lemah

Siapa pun dia, di mana pun dia
Sayangilah, hargailah
Jika masih ada peluklah
Jika sudah pergi sedekahkan alfatihah
Kerana dia juga syurga kita
Dia yang merealisasikan impian kita melihat dunia
Dia membuka jalan kita
Belajar tentang hidup
Bersandarkan kasih ibu,  menumpang kasih dia
Tanpanya ibu tidak ke mana, kita entah kan lagi

Dia, yang ku panggil  BAPA...
Kasihnya sepanjang masa.
Sayangnya bagai air lalu..
Ceritanya tidak pernah tamat
Kerana dia penyambung zuriat....
Tika sakit mahupun sihat
Pasti selamanya terpahat
Menjadi sejarah generasi berabad

Hari ini, engkau kami nobat
Sebagai HERO paling hebat
Pengorbanan dan jasa mendapat berkat
Sempurna hidupmu didunia dan ahirat

Terima kasih BAPA!

Normala Hamzah
Kompleks Sri Utusan
Bangi
13 Jun 2014. 

Assalamualaikum sahabat yang dikasihi.
Alhamdulillah.. semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah.....
Minggu ini adalah minggu sambutan Hari Bapa - insan teristimewa dalam hidup kita. Jasa dan pengorbananya amat besar... macam mana sayang kita kepada ibu, begitulah hendaknya sayang kita kepadanya.. sama rata, sama rasa tiada berbeza.
Kepada semua kaum Adam yang bergelar bapa, tahniah dan syabas kerana menjadi bapa yang baik dan sempurna di mata anak-anak....walau ada yang mungkin tidak menikmati bahagia hidup bersama bapa, anggaplah ia sebagai cabaran hidup.... kehidupan ini sebenarnya perlukan pengorbanan.  Kepada mereka yang sudah tidak punya bapa, sedekahkan Al-fatihah dan iringi doa semoga roh mereka aman di sana dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman...
Saya juga sudah tidak punya bapa... namun ingatan kepada arwah tetap kekal abadi, tidak pernah sesaat pun terlupa... dia yang mengajar saya tentang hidup, susah senang, suka duka dan erti kasih sayang sesama adik beradik... garang, tegas tetapi baik hati dan penyayang... arwah telah pergi tetapi membekalkan kami adik beradik dengan  ilmu dunia akhirat.  Insya-Allah akan kami ingat pesanan arwah dan akan kami teruskan ikatan kasih ini selagi hayat di kandung badan dalam rindu yang amat panjang! .al-fatihah buat Haji Hamzah...











No comments:

Post a Comment