Sunday 22 November 2015

Hang Tuah bertemu Cik Siti Wan Kembang

SELAMAT PENGANTIN BARU SYAHIR DAN SHAFIQAH


Pasangan pengantin, |Syahir dan Syafiqah, sama cantik sama padan.

Handal rupanya Laksamana Bentan
Silat dan seloka boleh belaka
Seorang di Melaka sorang di Kelantan
Kalau dah jodoh bersatu juga

Sederhana tetapi meriah, itulah tang dapat digambarkan di majlis perkahwinan anak saudara saya sebelah suami, MOHD. SYAHIR  dan cinta hatinya SHAFIQAH di Jalan Pokok Mangga, Melaka semalam, 21 November 2015.

Saya  namakan majlis ini Kisah perkahwinan HANG TUAH dan CIK SITI WAN KEMBANG (Melaka lawan Kelantan)  sebab pengantin lelakinya berasal dari Melaka dan pengantin perempuannya dari Kelantan.

Mohd syahir dan Shafiqah telah selamat diijabkabulkan pada 24 September lalu di Pasir Mas, Kelantan. Majlis sebelah pengantin perempuan juga di adakan pada hari yang sama.

Perkenalan semasa sama-sama menuntut mengeratkan hubungan kedua-dua mempelai ini sehingga timbul bibit bibit cinta yang kemudianya membawa mereka ke jenjang pelamin untuk hidup bersama sebagai suami isteri.

        Segak dan anggun pasangan pengantin dengan songket tradisional merah hati dan pengantin              perempuannya comel bersanggul lentang.

Majlis yang di adakan untuk meraikan pasangan mempelai dua sejoli ini turut menjadi medan pertemuan antara sahabat lama dan saudara mara yang telah lama tidak berjumpa kerana masing-masing sudah mempunyai kehidupan berkeluarga yang semakin bertambah

                  Saya dan suami turut merenjis dan merestui pasangan ini dan bergambar kenangan.


Ramai sanak saudara jauh dan dekat hadir pada majlis berkenaan. Meriah dengan gelak ketawa, meriah dengan usikan dan sesekali kelihatan ada yang mengesat air mata kerana sedih lama tidak
berjumpa.

Majlis ini juga menemukan semula suami saya dengan rakan-rakan sekampung yang sudah hampir 40 tahun tidak berjumpa. Gamat dengan gelak ketawa dan cerita zaman kanak-kanak membawa kepada remaja sehingga kini yang mana tentunya menjadi memori indah.

            Rakan rakan sekampung suami yang sama sama membesar dan lebih 40 tahun tidak berjumpa

Tahniah buat biras saya, Puan Zauyah Mahmood kerana menerima menantu. Juga kepada  Norasyrin dan suami, Dila, Anisa, dan Ameera kerana mendapat kakak ipar dan adik ipar.....

Istimewa buat Syahir dan Shafiqah, Selamat menempuh fasa baru dalam kehidupan. Fasa hidup yang mencabar dan perlukan pengoprbanan, kesabaran dan ketabahan.

        Anak saudara saya, Zeren dan suaminya Amir dan anak bongsu mereka turut hadir



      Ini lagi anak saudara saya, Zairul Affendi dan Ruzaimi Affendi... yang ketiga yang kami panggil bangcik telah kembali ke rahmatullah Mei lalu. Terasa sangat ketiadaannya. Alfatihah buat Ezri Effendi, semoga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman.
       Cucu saudara saya, Farhan dan Aliya........

               Bersama adik ipar saya Sharifah Roudziah dan anak-anaknya, Farisha, Faezah dan Fariza.


                                   Bersama adik ipar saya, Sharifah Roudziah....


                       Bahagia pengantin

Khas untuk kalian berdua, jadilah pasangan yang menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing, berusahalah membetulkan mana yang kurang dan berkongsi yang lebih untuk mencari keserasian dalam rumah tangga.

Rumah tangga ibarat kapal di tengah lautan, silap menakhodanya maka kapal akan hanyut dan juga mungkin karam. Oleh itu wahai anak-anakku, sepakat dan ketelusan dalam sebuah perhubungan itu sangat penting. jangan pentingkan diri sendiri tetapi fikirkan juga hati dan perasaan pasangan.

Semoga Allah merahmati kamu berdua, kurniakan kesihatan yang baik, zuriat yang soleh dan solehah dan pertahankan kasih sayang kamu hingga ke Jannah.

Sayang sayang buah kepayang
Dalam bakul di bawa bekal
Kalau sudah namanya sayang
Sampai mati tetapkan kekal

Mari memetik daun selasih
Lalu disimpan di dalam raga
Kalau di dunia berkongsi kasih
Hendaknya kekal setia sampai ke syurga
   
TAHNIAH SYAHIR & SHAFIQAH.








Tuesday 3 November 2015

Mak nak dapat cucu menantu lagi

Kegembiraan..........

     Kenangan.....gambar beramai ramai selepas selesai majlis.


Inilah yang dapat digambarkan pada wajah mak dan semua ahi keluarga yang hadir beramai ramai pada majlis pertunangan  anak saudara saya, Mohd Khalis Mokhtar, dengan pilihan hatinya Hamita Efilda Sabtu lalu, 31 Oktober 2015 di Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur.

Inilah kegembiraan mak, juga  kami sekeluarga sebagai penutup tirai 2015.  Selain dari itu mak juga mendapat cicit yang ke 20 September lalu dan insya-Allah bila bila masa akan menerima cicit ke 21 .
Itulah anugerah Allah untuk mak dan kami semua. Kegembiraan jelas terbayang pada wajah mak kerana dapat bersama sama di hari yang bermakna dalam hidup cucunya.

Bersyukur kepada Allah kerana dalam usia 84 tahun mak masih sihat dan boleh  hadir menyaksikan majlis pertunangan anak kedua adik saya Mokhtar. Bukan di majlis ini sahaja, sebelum ini kami adik beradik akan berusaha memastikan mak akan turut hadir dalam mana-mana majlis berkaitan anak cucunya sama ada di adakan di Alor setar atau di Kuala Lumpur.

Kehadiran mak menjadi semangat kami adik beradik untuk saling bantu membantu dan mengekalkan kasih sayang sesama kami dalam apa juga keadaan. Dalam masa yang sama mak juga dapat menziarah adik adik dan iparnya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Nampak mak sangat gembira hari itu dikelilingi anak cucu cicitnya yang kini hampir mencapai 50 orang kesemuanya.... Kesemua adik beradik saya seramai tujuh orang hadir kecuali kakak kedua saya Hayati. Turut memeriahkan majlis keluarga sebelah adik ipar saya, Khairus.

                      Mak pun tumpang sarung cincin........


                       Adik ipar saya Khairus menyarung cincin ke jari manis bakal menantunya, Hamita

Jika segalanya beerjalan mengikut peranangan,  mereka akan disatukan pada bulan Februari ini di sebelah perempuan dan di sebelah lelaki iaitu keluarga saya pada bulan Mac 2016. Ini bermalkna kami sudah ada kenduri yang perlu diuruskan awal 2016 nanti.  

Kepada semua ahli keluiarga ROHA, jangan lupa isi borang cuti......kita ada kerja yang hendak diselesaikan! ini perkahwinan cucu mak yang ke 13.....

Tahniah buat adik saya Mokhtar dan isteri Khairus serta keluarga. Juga Tahniah buat Mohd Khalis dan Hamita....semoga Allah permudahkan urusan seterusnya. Amin.


    Mak pun tumpang bergambar ......buat kenangan


       Keluarga adik saya Mokhtar (dukung cucu pertama). Mohd Khalis berdiri dua dua dari kanan

                      Baru bergear ibu dan bapa......Tahniah Iqbal & Athna bersama anak sulung mereka
                      Adanna Haisha.

      Sebahagian hantaran.........













Wednesday 28 October 2015

Dia ibuku - Aku sayang dia kerana Allah - Rahsia Hidup Ibu Halimah & Ceritaku

Assalamualaikum

Kegembiraan jelas terbayang pada dua wajah ini....hasil pengorbana yang menyimpan sejuta rahsia dan cerita


Antara kandungan menarik yang perlu dibaca secara positif......

Minggu ini merupakan minggu yang paling gembira buat saya kerana buku yang telah hampir enam bulan saya usahakan sejak bersara sepenuh masa telah berada di pasaran sejak Isnin 26/10/15. Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Tuan Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali pemilik empayar Jamu Mak Dara (JMD) yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menulis buku ini khasnya mengenai pengalaman masa silam beliau dan ibu yang sungguh menginsafkan.

Kisah benar dari lubuk hati dua insan istimewa ini elok dijadikan motivasi kepada anak-anak dan wanita yang menghadapi kemelut rumah tangga, mangsa perceraian dan terabai dek kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Ia bukan sebarang buku tetapi buku motivasi dalam bentuk penceritaan dan kisah benar.

Tuan Syed Gadaffi atau lebih mesra disapa Abib telah melalui kehidupan yang susah sejak berusia 6 tahun di mana dia terpaksa  menjaja kuih ke serata kampung di tempat kelahirannya di Rengit, Johor. Menjual kuih di sekolah, pernah bekerja di gerai, kedai bata, jadi promoter, diupah VVIP yang buat maksiat, tidur atas lantai, menjadi penghuni bilik hitam (bengkel bas mini) dan pernah tidak makan dan minum berhari-hari kerana susah.

Semuanya dihimpunkan dalam sebuah buku yang mengandungi dua cerita,  RAHSIA HIDUP IBU HALIMAH & CERITAKU. Dihasilkan dua dalam satu, bahagian pertama luahan harti Ibu Halimah dan bahagian keduanya luahan hati Abib. Buku ini tebalnya 292 muka surat.

Siapa sangka budak kecil yang selalu naik basikal menjerit jual kuih di Rengit kini usahawan berjaya, malah boleh dikira jutawan jamu sekarang, semuanya kerana usaha, sabar dan doa yang tidak pernah putus dari bibirnya. Yang  paling penting Abib menjadikan ibunya sebagai semangat untuk bangkit dari kesusahan dan membina empayar Jamu Mak Dara.

Anda semua yang sayangkan keluarga patut memiliki buku ini kerana ia sarat dengan pengorbanan, kasih sayang, usaha, kerajinan dan tidak pernah mengaku kalah dan putus asa walaupun pelbagai ujian melanda.

Sepatah kata Abib tentang ibunya, Ibu Halimah, WANITA INI ADALAH PENAWAR HIDUPKU. DIALAH SEGALA-GALANYA. AKU HIDUP KERANA ALLAH DAN DIA DAN AKU SAYANG  DIA KERANA ALLAH. DIA IBUKU, HALIMAH SHUIB.

Jika sayangkan diri anda dan keluarga beli dan baca buku ini. Hubungi 03-21815745 (Man) atau datang terus ke JMD Publications Sdn Bhd, Lot 4.62, Tingkat 4, Wisma Central, Jalan Ampang Kuala Lumpur atau emel directorjmd@gmail.com. HARGA BUKU RM29.90 DAN POS RM6.00.

Atau hubungi saya di malahamzah56@gmail.com untuk tempahan dan pertanyaan.
Lagi pengalaman menyedihkan yang perlu dibaca di dalam buku Rahsia Hidup Ibu halimah dan Ceritaku Abib.

Monday 26 October 2015

Memori indah GGSAS74




SAHABAT SELAMANYA
Assalamualaikum
Dari kiri, saya, Rosnah Mad khir, Hasniah, Cik asiah, Zahanim, Fauziah aziz (Gee), shazrah, Wan Zakiah, naziah, Hasni, Kalsom, Faridah Saad, Faridah Musir,  Rabiah, Zuraina, Noriah, wan atiyyah, Sauyah, Rabiah, Sh Shahrizat, Siti Maimunah, Nafizah, Wan afrah, Fauziah Majid dan Zarina. , ,

Inilah wanita anggun Grup GGSS74,  grup paling gamat di era Sekeolah Menengah sultanah Asma pada 1974.
Nakal, aktif dan popular di kalangan pelajar dan gugu-guru yang mengajar. Mana tidaknya, Lima kata cikgu, 10 yang kami jawab.
Grup inilah  yang menceriakan suasana pertemuan semula kami di  A Famosa Resort Melaka selama tiga hari pada 9-11 Oktober lalu. Masa yang amat menggembirakan bagi seramai 27 orang  bekas pelajar  SAS dari Lembah Klang dan Alor setar yang  berhimpun untuk mengembalikan nostalgia masa silam zaman sekolah yang sangat menyeronokkan.
Pertemuan ini adalah yang ke lima diadakan tidak termasuk acara acara santai di rumah yang dijadikan sebagai majlis menyambung silaturrahim dan berkongsi idea di Kuala Lumpur dan Alor Setar. Pertemuan ini setiap masa, Kalau ramai yang berada di Alor Setar maka kami akan berhimpun di sana, begitulah sebaliknya..
Banyak perkara yang kami kongsi sejak zaman sekolah hingga masa kini. Kenakalan di sekolah serta aktiviti yang kami lakukan dahulu menjadi penyeri pertemuan ini.
Pertemuan dimulakan dengan majlis suai kenal sebelah petang dan diikuti dengan solat berjemaah dan bacaan Yasin untuk arwah ibu bapa dan sahabat rakan sekolah yang telah kembali kepada penciptaNya. Sedih dan sayu saat ini.
Esoknya bermula acara santai. Kami makan, sembang dan ada yang berendam di dalam kolam macam budak-budak.
Kegembiraan yang tidak terungkap dengan kata -kata....sengaja kami plan semua  aktiviti di villa ini kerana tidak mahu buang masa ke luar sebab yang penting dapat duduk bersembang dan bercerita zaman sekolah tanpa gangguan.
Juga diselitkan kisah masa kini, hal keluarga diri dan kerjaya. Menarik juga dapat tahu perkembangan diri .masing-masing setelah ham;ir 45 tahun tidak berjumpa.


Kegembiraan orang dewasa ..........perangai still macam zaman sekolah. ceria, aktif.  semoga pesahabatan kekal abadi.

Kami satu sekolah semasa di Sekolah Kebangsaan Derga sekarang di kenali sebagai sekolah Tunku Raudzah.(1963- 1968) kemudian besambung ke Sekolah Menengah Sultanah Asma sehingga 1974.

Bersama puan Kalsom yang kami panggil Tok Bomoh dan tukang karut, setiap ceritanya mesti buatkan kami gelak sampai keluar air mata....itulah istimewanya Som.

Dua banglo yang disewa selama 3 hari dua malam juga gamat dengan aksi kami berkaraoke beramai-ramai. Pelbagai telatah. lawak jenaka memeriahkan suasana terutama setiap kali lagu berkumandang, mainkan sahaja apa lagu semua GGSAS ini dapat menyanyikannya.
Kemuncak pertemuan adalah BBQ dinner yang diikuti dengan majlis pertukaran hadiah serta cabutan bertuah.....ringkas tetapi menarik. Sambil makan sambil bersembang dan bergurau.....hingga awal pagi masih belum selesai bercerita.
Makan  minum sepanjang di sni kami buat sendiri. Suasananya bagaikan satu keluarga. Ramai yang sukarela menjadi chef di dapur untuk menyediakan sarapan, makan tengah hari dan minum petang kawan-kawan. Cucur jagung, cucur ubi, sup tulang menjadi resepi dan sajian yang tidak dapat dilupakan. Juga garam belacan yang dibawa khas dari Kuala Lumpur (Norsiah) dan Alor setar. sentuhan (Zuriah) dimakan dengan mangga yang disponsor leh Faridah Saad.
Terima kasih kepada ahli Grup GGSAS74 yang sangat sporting. Terima kasih kepada semua yang besusah payah membawa makanan, minuman dan kudapan untuk pertemuan selama tiga hari ini. Tak dapat nak sebut nama sorang sorang. Jasa dan sumbangan anda semua sangat dihargai.
Semoga kegembiraan dan persahabatan ini kekal ke Jannah. Terima kasih atas segalanya, Maaf jika ada kekurangan.
Menunggu trip seterusnya pada 2016 dengan pelbagai program dan aktiviti kebajikan yang akan diatur.....mudah mudahan Allah makbulkan hajat kita dan permudahkan segala urusan harian ahli grup di dunia dan akhirat.
Salam sayang untuk semua.,

Penghuni villa 831 -grup S1



Cabutan bertuah........

Insyaallah ada gambar lagi saya akan masukkan. buat swementara ini sahaja....terima kasih grup semua.....semoga kita sentiasa di dalam perlindungan Allah dan dirahmatiNya di dunia akhirat.
Amin




Tuesday 20 October 2015

Menulis selagi daya

Assalamualaikum
Sudah hampir tujuh bulan saya tidak menyapa di halaman ini. Memang betul saya menyepi diri buat sementara setelah bersara sepenuhnya sejak Januari lalu. Tapi tidak bermakna saya tidak menulis. Banyak perkara yang harus saya selesaikan dalam tempoh itu termasuk menjenguk peluang untuk terus berkarya dan menulis.
Alhamdulillah, rezeki Allah itu ada di mana-mana selagi kita mahu berusaha. Insya-Allah saya akan terus menulis selagi diizinkan Allah. Doakan saya.
Cukup setakat ini, Insya-Allah saya akan menyapa lagi. Jaga kesihatan jaga diri, jaga hati!

Sunday 8 February 2015

Syukur......alhamdulillah....

Assalamualaikum  semua




Minggu pertama tanpa ke pejabat berlalu dengan tenang dan menggembirakan....
bermula dengan cuti Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari saya mula menjadi orang biasa...
Menjadi seorang wanita, isteri, ibu dan nenek.
Awal Februari 2015 Saya habiskan dengan berada di luar Kuala Lumpur....saya balik ke Tampin dan Melaka .....
Kemudian mengambil kesempatan berehat seketika di Tanjong Bidara ditemani suami dan anak  bongsu saya Nur Aqilaya Dayana dan anak saudara iili Najmiyah yang menetap dan berkerja di Melaka.
Sesungguhnya  saat indah ini mengembalikan kegembiraan anak bongsu saya yang sejak kecil terpaksa menerima hakikat maknya sentiasa tidak ada masa untuk berjalan jalan atas banyak alasan. dan tentunya salah satu sebabnya adalah masa......
Sementara cuti semesternya masih berbaki akan saya gunakan sebaik mungkin untuk bersamanya sebelum dia kembali ke kampus akhir bulan ini
Secara rasminya iuga saya bebas melakukan apa sahaja yang ingin saya buat selama ini....tidak terikat dengan komitmen dan tanggungjawab  di pejabat. Alhamdulillah....Allah mudahkan segalanya.
Saya tidak lagi kalut di dapur untuk memasak sebelum ke pejabat, tidak kalut meredah jem dan tersaangkut sangkut di Sungai Buloh, tol Duta dan jalan Istana Negara dan Sungai Besi....
Jika diingatkan memang saya rindu akan suasana dan kepenatan menekan brek setiap hari....
melihat kerenah pemandu yang pelbagai, reaksi orang keliling apabila terperangkap dalam jem berjam jam lamanya.
Tapi syukur, semua itu telah saya tinggalkan..dan kini ..saya dengan suasana baru ...suasana damai dan menyenangkan.....
Minggu yang sangat damai......mengemas dan memasak, tenguk tv puas puas....keluar ke kedai mencari apa yang patut untuk keperluan dapur....mencari goreng pisang, keledek untuk minum petang.
Berjalan- jalan dengan suami dan anak
 adalah rutin saya minggu ini....terima kasih Allah di atas nikmat ini.
Rasa nak panjat gunung dan menjerit......Yeayyyyyyy! saya sudah bebas!
Ya Allah, Ya Tuhanku,  Engkau kurniakan kesihatan yang baik kepadaku, murahkan rezekiku serta anugerahkan kebaikan kepada kami sekeluarga serta tunjukkan kami jalan ke syurgaMU......amin


Tuesday 3 February 2015

Cerita Dedaun Kering

DEDAUN KERING

satu masa, hijau warnamu
segar di mata, setia di ranting
lalu angin membelaimu
lembut penuh kasih
datang tangan menyentuhmu
mengusap manja
sampai satu hari
warnamu mulai pudar
ranting tidak lagi serasi
dan angin membisikkan khabar
kasih daun dan ranting
berakhir di sini....
sehelai daun lalu gugur dan menjadi kering
terdampar di atas pasir
menanti saat ombak menghempas pantai
dan membawa pergi daun kering itu
sedang ranting dan pokok
sekadar memerhati
tanpa lambaian
kerana ombak dan pantai
saling berkasih
sedangkan
daun kering
sekadar peneman setia ranting dan pokok
setelah gugur ke bumi
dia tidak lagi dikasihi
TASIK PUTERI
3 /2/15
@Hak Cipta Normala Hamzah








Saturday 31 January 2015

Terima kasih Team WANITA Anggun

Sudah jamu makan bawa Kak Mala shopping pula....alahai adik adik terima kasih. Terkejut jurujual bila kami posing bagai nak rak di dalam kedai ni...
Ais krim.....sedap sangat..

Assalmualaikum dan salam mesra untuk semua...

Doa saya mengiringi anda semua pengikut laman blog saya ini agar sentiasa di dalam rahmat Allah dan diberi kesihatan yang baik serta dimurahkan rezeki....

Alhamdulillah semakin tenang saya bila ada masa duduk di rumah...walau hanya tiggal anak sulung dan ana bongsu serta suami saya gembira.... rindu tempat kerja masih lagi ada dan akan kekal selamanya ada, tetapi saya percaya lambat laun akan boleh terima realiti.
Tapi saya yakin hidup perlu diteruskan... mengikut arus perjalanan yang telah disusun Allah...

Awal tahun 2015 yang membahagiakan walau mengundang air mata berganda... syukur alhamdulillah kepada DIA yang merancang segala.....

IMBAS kembali.... 26 Januari 2015 yang tak mungkin di lupa

Mereka sebahagian daripada semangat saya sepanjang April 2009 hingga  Mei 2013......Mereka sumber inspirasi saya sekembalinya saya untuk kali ke 4 ke majalah WANTA...majaah unggul dan majalah nombor satu untuk wanita Malaysia.

Mereka tenaga muda yang produktif, kreatif dan bekerja keras untuk kebangkitan WANITA.
Mereka di sisi saya ketika susah dan senang, ketika saya perlukan bahu untuk bersandar dan ketika saya perlukan tangan untuk disambut.... inilah mereka yang selalu ada.

Teringat saya Jumaat 23 Januari 2015 sebelum balik,  saya mendapat pesanan dari Iskandar supaya meluangkan masa waktu tengah hari Isnin 26 Januari 2015.. jangan cuti lagi naaa..... kata Iskandar sambil ketawa. Beberapa jam kemudian mesej diterima dari Siti Hajar mengingatkan perkara yang sama...

Saya boleh agak sebab apa mereka ingatkan saya tentang perkara. Sejak saya bersama mereka setiap tahun mereka akan meraikan hari kelahiran saya... sekali pun tak pernah lupa...Di mana sahaja sempat mereka akan lakukan sebiji kek akan dibawa ke meja saya...

Sambutan hari lahir saya pernah disambut di tepi laut di Pulau langkawi ketika kami bercuti di sana tiga tahun lalu...di tengah  malam pekat mereka muncul dengan kek bercahaya lilin ketika saya di suruh berehat di atas tembok di tepi laut berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai makanan ringan d sediakan dan makanlah kami beramai-ramai sambil bergelak ketawa hingga dini hari....

Teruskan perjuangan adik-adikku......



Buat kenangan....

Semua itu tidak akan saya lupa. Begitu juga dalam percutian kami ke Sabah, Sarawak dan Melaka... semuanya kekal dalam minda saya...umpama membawa anak-anak dan adik berjalan sebagai usaha membalas jasa mereka...

Setiap tahun saya berusaha menggembirakan mereka...inilah caa untuk membalas budi dan kerja keras mereka membantu saya melaksanakan tanggungjawab terhadap WANITA...Kenangan yang sukar untuk saya tafsirkan dengan kata-kata....hanya perasaan yang mampu bercerita,

Mereka tenaga muda yang merealisasikan bengkel Sayangi diri sayangi keluarga, Seminar Setiausaha dan Acara berprestij ANUGERAH WANTA IKON 2011-2012....Acara dan progam yang mendekatkan WANITA dengan masyarakat...Semua ini tidak akan berjaya tanpa  kesabaran dan kerjasama mereka yang tidak berbelah bagi... Terima kasih adik-adik!

Tarikh 26 Januari lalu itu berlangsung dalam suasana cukup sedih... mereka cuba ketawa tapi hanya sementara..Mereka buat lawak sebab tak mau saya menangis sebab kata mereka saya berjiwa halus, mudah sedih dan menangis. Hari ini mereka nak saya ketawa...tak mau ta mau nangis,, berulang kali Faizah berkata sedangan di wajahnya saya nampak ada kesedihan.

Persahabatan dan kash sayang antara kami di team Ex WANITA tidak siapa boleh memahami kecuali kami...saya dijamu makan makanan kegemaran saya di Black Canyon IOI Mall...tomyam udang nasi putih dan mushroom sup...epal jus tanpa ais dan kopi...

Saya bukan pemakan orangnnya tapi tempat makanan ini menjadi kegemaran saya setelah diperkenalkan dan dibawa oleh Iskandar, Azie dan Sherry....sejak itu saya sering makan  di situ jika kelapangan.....

Di majlis itu, saya tak mampu berucap tetapi saya titipkan pesanan buat mereka, di mana pun mereka berada selepas ini buatlah yang terbaik. Komited dengan kerja, positif, jaga disiplin dan sentiasa berbaik sangka dengan semua orang, jangan simpan dalam hati jika ada masalah, luahkan  dan yang penting doa dan solat.... insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka.

Ingatkan lepas makan semuanya selesai, rupanya dia orang ada kejutan untuk saya.... di bawa pula untuk bershopping...alahai adik-adik, banyak sangat budi baik anda semua untuk akak.... makan, shopping lagi... macam-macam....

Sepanjang tiga jam itu saya di layan macam Permaisuri ....Ya Allah terharunya!...terima kasih semua, terima kasih banyak-banyak... Hilang kata-kata.

Iskandar, Azimah,  Hajar, Azie, Faizah, Nik Hazirah, Kuchai, Noridahwati, Mastura,,   terima kasih banyak-banyak kerana bersusah payah mengadakan majlis yang ama besar maknanya ini dalam hidup kak Mala.... amat berharga sekali.. Juga terima kasih kepada Serry dan Nafsiah yang tak dapat menyertai kami...ralat tapi kak Mala faham.

Tak lupa juga kepada Siti Aishah Bani, Norashikin Md. Noor dan Norhashimah yang pernah singgah menjadi semangat dan adik-adik saya di WANITA. Walau seketika jasa anda semua tetap kak Mala ingat.

Juga kepada Ex team WANITA  yang pernah bersama-sama saya, Hazani, Aishah, Aida Osman, Meran Abu Bakar, Rahana Dahari, Faizah Din, Haizan, Siti Ainiza. Tak lupa buat grafik artis yang pernah bersama saya....

Juga khas dan istimewa untuk semua adik-adik di Unit Majalah Keluarga, staf WANITA, Harmoni, Saji, I-Sihat, Ibu Dan Anak dan Hijab Fesyen, terima kasih banyak- banyak. Walau kita tidak berurusan secara terus Kak Mala sentiasa doakan yang terbaik untuk anda semua...Buat Asmah, Azmah, Hajar, Johar, Hamidah, Rahaiza, teruskan perjuangan...

Besar atau kecil, lama atau seketika, jasa dan sumbangan anda semua sangat besar ertinya di penghujung kerjaya kak Mala. Mudah-mudahan Allah balas jasa kamu semua. Maafkan salah silap kak Mala, tutur kata, salah laku yang mungkin kak Mala tak sedar sepanjang kita berurusan kerja.

Terima kasih kerana menghargai kak Mala sedemikian rupa..terima kasih atas kasih sayang ini.....semoga silaturrahim dan kasih sayang ini berterusan hingga ke akhir hayat. Kak Mala doakan adik-adik semua akan tabah menghadapi cabaran mendatang.....Kuatkan semangat dan tabah selalu,

Terima kasih Iskandar untuk segala galanya........


Terima kasih Mastura, Azie dan Faizah.......

Kuchai (tengah)...menantu kesayangan saya di pejabat...seorang yang sabar dan tenang....terima kasih 

Sangat manis hadiah ini....gambar gambar percutian Ex WANITA ....terima kasih adik adikku!

Manja selalu....Noridawati, sudah beranak dua tetapi sangat manja dengan saya...Al the best Nor...jaga diri n keluarga
Jangan lupa Kak Mala...ingat pesan kak mala

Kesudahannya, ar mata saya gugur juga.........Terima kasih Allah atas kasih sayang dan persahabatan ini. Aminn!


Kasih bukan nilainya berlian
Cinta tidak  bebelah bahagi
Kenangan daku dalam doa kalian
Ada masa ketemu lagi

Salam sayang yang bagaikan lautan tidak bertepi untuk anda semua......Team WANITA Anggun 2009-2012 ....anda semua hebat!




Tuesday 27 January 2015

Izinkan saya pergi


Terima kasih semua mendoakan saya. Amin!

CUKUP SAMPAI DI SINI, IZINKAN SAYA PERGI

Saya memulakan kerjaya sebagai wartawan dalam usia 18 tahun sebelum keputusan peperiksaan MCE diumumkan. Selepas peperiksaan MCE saya sempat belajar menaip. Bolehlah menaip dengan cepat walaupun hanya 3 bulan belajar. Selepas itu saya duduk di rumah. Kata mak, belajar masak. Dah jadi anak dara.

Satu hari saya terbaca satu iklan dalam surat khabar Utusan Malaysia. Utusan Melayu Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya, Percetakan Warta Negara akan menerbitkan sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu diberi nama Bintang Timur.  Dan tentunya yang dicari adalah wartawan.

Saya gatal tangan menulis surat memohon kerja sebagai wartawan seperti diiklankan kerana saya boleh menulis dan mengarang pusi, cerpen dan menjadi Pengarang majalah sekolah, Sekolah Menengah Sultanah Asma di Alor Setar.

Tidak sampai dua hari saya menerima telefon dari pihak Utusan memanggil saya untuk ditemu duga. Saya khabarkan kepada bapa dan mak saya. Mereka tidak melarang sebab tahu saya ada bakat menulis. Temu duga berlangsung di bangunan akhbar Strait Echo, sebuah tabloid bahasa Inggeris yang juga menempatkan  pejabat Bintang Timur  di Jalan Penang.

Yang menemu duga saya arwah Osman Abadi yang kami panggil Pak Osman,  A.R Kamaluddin dan beberapa pegawai bahagian pengambilan kakitangan. Alhamdulillah, mungkin rezeki, saya diterima bekerja pada hari itu juga dengan gaji RM230.00 tanpa ada elaun transport. Tapi saya datang esoknya sebab hari itu saya hanya datang sehelai sepinggang.

Pada 18 Disember 1974 saya mula bekerja sebagai wartawan.  Bintang Timur telah memberi saya cahaya untuk digilap agar impian saya untuk menjadi wartawan terus bercahaya. Alhamdulillah, saya mula membina nama. Mencari pengalaman dengan bantuan sepasukan petugas senior dari Jabatan Pengarang  Kuala Lumpur yang dihantar khas ke Pulau Pinang untuk membantu kami, wartawan muda menerbitkan Bintang Timur.

 Saya semakin seronok dengan kerja wartawan. Kenal ramai orang, masuk majlis orang kenamaan dan juga berbuat kerja amal. Pada 1979, jodoh saya sampai. Tapi dengan orang jauh nun di Melaka bandar raya bersejarah tetapi bekerja di Kuala Lumpur.  

Saya terima jodoh itu dengan lapang dada walaupun saya di Pulau Pinang dan dia di Kuala Lumpur. Setahun kami hidup sendiri. Jumpa sekali sahaja sebulan. Maklumlah ketika itu segala-galanya amat sulit. Tapi saya nekad, jika selepas setahun saya tidak dapat tukar atau dapat kerja lain di Kuala Lumpur saya akan berhenti untuk bersama suami.

Arwah A.R Kamaluddin yang saya anggap sebagai abang saya banyak membantu. Saya banyak belajar daripada arwah untuk menjadi wartawan dan menulis dengan baik. Dengan bantuan arwah juga saya dapat ditukarkan ke Ibu pejabat Utusan Melayu pada 1980 tetapi tugas saya selama lima tahun di Bintang Timur tidak dikira. Kerana suami, saya tidak kisah walaupun saya terpaksa bertukar jawatan sebagai kerani di pejabat Pengurus Besar Utusan Melayu ketika itu.

Gelisah juga saya bila disuruh buat kerja kerani. Dua bulan saya memendam rasa, sedih kerana terpaksa berhenti menulis. Allah mungkin mendengar kesedihan saya. Entah di mana silap, Bintang Timur akhirnya terpaksa ditutup...dan kesemua kakitangannya di tukarkan ke Kuala Lumpur dan diserapkan di dalam Utusan Melayu.

Secara automatik A.R Kamaluddin pun kembali ke Kuala Lumpur. Seingat saya, antara perkara  pertama yang dia buat adalah memperjuangkan agar saya ditempatkan di Jabatan Pengarang kerana dia tidak mahu bakat saya hilang begitu sahaja.

Seminggu selepas itu saya dipindahkan ke Meja Luar Negara.  Walaupun tidak suka saya gembira kerana sekurang-kurangnya saya sudah berpindah ke Jabatan Pengarang.

Saya telah bekerja di bawah lima orang Ketua Pengarang, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Johan Jaafar, Datuk Khalid Mohd sehingga sekarang  Datuk Aziz Ishak walau-pun sejak lima tahun kebelakangan ini sebagai kakitangan kontrak.

Dengan lima watak ketua pengarang yang berbeza  menjadikan saya belajar banyak perkara. Tentang kerajinan dan usaha. Tentang  pergaulan dan komitmen untuk menjadi wartawan yang baik dan dapat menyumbang kepada masyarakat dan memikul amanah yang telah saya ikat dengan Utusan Melayu apabila saya memilih untuk bekerja sebagai wartawan.

Pada zaman Tan Sri Mazlan peluang untuk kami wartawan muda yang dipindahkan dari Bintang Timur tidak banyak,  mungkin sebab ramai wartawan senior. Kami pula baru hendak belajar. Pada zaman Tan Sri Zainuddin Maidin saya diberi peluang bertugas di Mingguan Malaysia bersama ABI atau Ahmad Bin Idris, Ahmad Abdul Hamid, Puan Faridah Idris dan Puan Maimunah Yusof. Otai otai inilah yang membimbing dan menegur ajar saya sehingga menjadi saya yang seperti hari ini.

Tiga belas tahun saya di Mingguan Malaysia. Inilah tempoh yang memberi ruang kepada saya membina nama sepuas-puasnya. Saya mengendalikan ruangan sendiri,  Kak Nor dan masalah anda yang amat popular di kalangan pembaca remaja ketika itu, kisah-kisah kemanusiaan serta  ruangan pelancongan.

Saya didedahkan dengan pelbagai tugasan mencabar. Pengalaman masuk penjara, rumah kebajikan, pusat pemulihan, rumah pelacuran dan kawasan pendalaman dan mendekati suku kaum di Sabah dan Sarawak adalah keseronokan yang saya peroleh sebagai wartawan. Pulau Sipadan, Pulau Layang-Layang, Gunung Mulu adalah antara tempat yang saya pergi di awal penemuannya dulu bersama menteri Pelancongan ketika itu, Tan Sri Sabaruddin Chik sebab saya mengelolakan ruangan pelancongan di dalam Pancaindera.

Tambah manis apabila saya berpeluang  bertemu golongan di raja dan kenamaan yang memberi saya pendedahan amat berguna untuk diterjemahkan ke dalam tulisan tentang kehidupan golongan bangsawan tersebut yang ketika itu sukar untuk didekati.

Di Mingguan Malaysia juga saya telah diberi peluang menulis kisah pelayaran Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengelingi dunia dengan kapal layar Jugra sebanyak 36 siri. Siri pelayaran ini adalah antara pencapaian peribadi yang saya cipta dalam kerjaya wartawan ini. Kenangan berbual dan berkongsi pengalaman itu bersama Baginda setiap minggu sepanjang catatan itu berlangsung adalah kenangan terindah untuk diri saya. 

Di era Tan Sri Zam saya bergiat aktif dalam Badan Keluarga. Tiga belas tahun saya menjadi AJK BKUM.  Banyak kenangan manis saya dengan BKUM, majlis korban, bubur lambuk, meraikan anak yatim, program anak angkat dan gotong membuat kuih raya untuk rumah kebajikan dan anak yatim antara aktiviti yang dilakukan. Unit wanita BKUM yang saya namakan USAHANITA juga ditubuhkan untuk tujuan ini mendekatkan petugas wanita di Utusan Melayu dengan kerja-kerja amal dalam usaha merapatkan hubungan sesama kakitangan.

Juga  sambutan Jubli Emas Utusan Melayu ke 50 tahun,  penubuhan Koir Suara Keramat yang mana saya menjadi pengurusnya dan persembahan Malam Jalan Lima yang dipentaskan oleh lebih 60 kakitangan Utusan Melayu dari pelbagai jabatan. Tidak ada bayaran diadakan tetapi kami menerima RM5 sehari untuk latihan selama dua bulan selepas waktu kerja. Walaupun penat kami seronok kerana persembahan itu diiringi oleh  Band The Newsprint, milik BKUM yang kini sudah berkubur.

Kewujudan USAHANITA, untuk kakitangan dan ahli wanita Utusan Melayu juga meninggalkan kenangan buat saya. Dulu kami buat kuih muih sendiri untuk disumbangkan kepada rumah-rumah anak yatim dan kebajikan, tidak payah beli dan minta sumbangan.  Majlis Tadarus dan khatam Quran dan Bubur lambuk adalah penyeri sepanjang Ramadan.

Kejohanan Sepaktakraw Utusan, MAS dan RTM adalah antara acara yang segar dalam ingatan saya sampai ke hari ini.

Pada era Datuk Johan saya dilantik menjadi pengarang ruangan Keluarga. Secara automatik saya tidak lagi menjadi ahli NUJ walaupun saya pernah duduk dalam barisan EXCOnya selama dua penggal.  Alhamdulillah...jawatan yang saya tidak pernah impikan tetapi saya gembira kerana tugasan di meja tersebut  dekat di hati saya.

Apabila  Datuk Khalid Mohd mengambil alih sebagai Ketua Pengarang,  saya masih di meja keluarga tetapi tidak lama, saya  di tukarkan ke majalah WANITA  pada 1997 sebagai pengarang. Banyak yang terpaksa saya lakukan dengan tanggungjawab baru ini walaupun sebelum ini saya sudah tiga kali di WANITA, 1984, 1988 dan 1991 dipinjamkan kerana wartawannya cuti bersalin.

Saat paling sedih dan sayu apabila Bahagian Majalah yang berada di Taman Shamelin ditukar menjadi anak syarikat, Utusan Karya Sdn Bhd dan saya dipanggil semula ke Ibu pejabat setelah enam tahun bersama WANITA.   Saya kembali ke tempat lama di meja Keluarga bergelut dengan isu-isu wanita, keluarga dan yang relevan dengannya untuk tatapan pembaca Utusan Malaysia.

Dua tahun sebelum usia menjejak 55 (2010)  saya ditukarkan ke meja Pemprosesan. Dalam fikiran saya, di sinilah tempat akhir saya sebelum meninggalkan Utusan. Apa pun saya reda walaupun waktu bekerja kadang kala menguji ketahanan mental dan fizikal saya.

Setahun di Pemprosesan ketika jiwa dan hati sedang menjalin keserasian dengan tugas yang baru,  keadaan berubah. Satu petang saya dipanggil oleh Datuk Aziz. Sambil tersenyum Datuk Aziz berkata khidmat saya diperlukan di Majalah WANITA.

Saya akur dengan arahan, walaupun inilah kali keempat saya kembali untuk bersama majalah WANITA.  Saya tidak melihat di mana saya ditempatkan tetapi saya bersyukur kerana dalam usia yang sebegini saya masih diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan khasnya Ketua Pengarang untuk terus membantu WANITA khasnya Utusan Karya.

Sesungguhnya saya amat terhutang budi dengan Utusan Melayu. Saya membina nama di sini. Memberi rezeki kepada ibu bapa dan keluarga serta pendidikan kepada anak-anak dengan rezeki dan gaji saya di Utusan Melayu.
Dan saya juga memperoleh ijazah kerana Utusan Melayu memberi saya biasiswa walaupun sekadar tuntutan untuk membeli buku-buku. Saya bersyukur sangat-sangat.

Saya berjaya menggenggam segulung ijazah setelah selesai menjalankan tanggungjawab memberi pendidikan kepada tiga  orang adik saya masuk universiti dengan gaji yang saya peroleh di Utusan Melayu.  Memberi makan 4 orang anak dan pada masa yang sama memikul amanah dan tanggungjawab membesarkan empat orang anak saudara sebelah suami yang yatim piatu.    

Saya bergelut dengan pelajaran ketika tanggungjawab menaikkan semula WANITA perlu diberi keutamaan.  Pagi masuk kerja, petang pergi kelas dan pada masa deadline, saya kembali ke pejabat untuk menghabiskan kerja sehingga ada kalanya menjelang subuh.

Empat tahun berulang alik ke Shah Alam, akhirnya impian saya tercapai. Allah makbulkan hajat orang tua saya untuk melihat salah seorang anak perempuannya memegang ijazah. Semuanya kerana Utusan Melayu. Malah Allah juga makbulkan doa saya dan suami untuk ke Mekah sebaik bersara pada 2010,  juga  kerana rezeki bekerja di  Utusan Melayu.  

Pada masa yang sama, saya gembira kerana WANITA berjaya mencipta sejarahnya tersendiri dengan edaran yang amat tinggi sekitar lewat 90-an hingga awal 2000. Penghias kulit Aishah Mahsuri dua kali mencecah 120,000 naskhah dan Cover perkahwinan Che Puan Julita Aishah dengan Raja Muda Pahang dicetak dua kali.

Saya bercerita bukan untuk bermegah tetapi untuk mengimbas kembali sejarah yang pada saya adalah satu pencapaian peribadi yang sukar hendak saya terjemahkan dengan kata-kata.

Cara bekerja dulu dengan wartawan sekarang juga berbeza. Kami tidak dilimpahkan dengan kemudahan canggih dan teknologi.  Contohnya ketika membuat liputan perkahwinan Cik Julita Aishah dan raja Muda Pahang, saya dan Noor Baini Masri tidak tinggal di hotel sebaliknya bermalam di masjid berdekatan Istana Abu Bakar, Pekan Pahang sebab kami tidak mahu terlepas acara dan adat istiadat yang kebanyakannya di adakan sehingga dini hari. Sekiranya tinggal di Kuantan, pasti kami akan terlepas banyak acara.

Masa berlalu dan keadaan juga berubah. Persaingan di luar sana amat sengit. Cabaran juga semakin hebat. Teknologi turut mengganggu.  Dan saya juga tidak selamanya akan menunggu di sini. Sampai masa saya akan pergi. Bak kata mak saya, masuk dengan senyum. Keluar juga biar dengan senyum. Pergilah ketika orang saynga dan sebelum orang benci.

Biarpun berada di Utusan karya di Bangi, saya tetap rindukan Jabatan Pengarang di Chan Sow Lin. Seminggu sekali jika ada masa, saya pasti akan singgah untuk minum di kedai Din (Warga kerja Utusan tahu gerai di tepi jalan depan pejabat lama Utusan) bersama rakan-rakan karib yang kekal menjadi sahabat walaupun saya sudah bersara dan tidak lagi sebumbung dengan mereka. Seperkara lagi saya tidak naik ke Jabatan Pengarang, sebab saya akan menjadi sebak dan terharu mengenangkan sebahagian  usia saya sebagai wartawan dihabiskan di situ.

Saya seorang yang mudah mengalirkan air mata tidak kira semasa suka atau sedih. Ini kelemahan saya. Ditambah pula dengan emosi dan kenangan, serta-merta  jiwa saya akan menjadi lebih parah dan tentunya saya akan menangis. Itu sebab utama saya tidak menjenguk Jabatan Pengarang, lagipun kawan-kawan seangkatan ramai yang sudah tiada. Rakan-rakan karib, Tajaiyah Ihsan, Fatimah Hassan, Azizah Ismail Muzlina Abu Bakar yang bagaikan saudara kandung juga telah bersara.
         
Hari ini,  saya ingin merakamkan terima kasih kepada Utusan Melayu dan  Utusan Karya Sdn Bhd kerana masih menerima idea dan sumbangan saya. Saya akan pergi dengan tangisan di dalam hati kerana  di hati saya  Utusan Melayu amat istimewa.
Saya tidak mahu mengucapkan selamat tinggal kerana saya tidak merasakan yang saya meninggalkan Utusan Melayu. Setiap masa Utusan Melayu akan tetap berada dalam taman hati saya.

Ketika di Utusan dan di Utusan Karya banyak yang saya belajar tentang hidup. Tentang jati diri, belas ihsan, hormat-menghormati dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Konsep kerja berpasukan menjadi cara saya bekerja dan saya tidak meletakkan tembok antara staf dan bos dalam urusan kerja harian.

Bos-bos di Jabatan Pengarang, khasnya Dato Aziz, Datuk Othman, Datuk Zaini, Encik Hassan Md Noor  banyak memberi sokongan dan nasihat.  Juga kepada bekas boss, Ahmad Idris, Ahmad Abdul Hamid, adalah guru saya.
Tak lupa juga kepada  En Badrul Azhar, Ketua Pengarang Majalah  yang sentiasa menyokong dan berkongsi pandangan dengan saya dalam hal kerja.

Tak lupa kepada sahabat saya, Tuan Syed Agil.  Kami pernah berjalan kaki tiga kilometer  jauhnya untuk menahan teksi di Jalan Maran Kuantan Pahang setelah teksi yang kami naik dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu rosak di tengah jalan.

Ketika itu kami dalam perjalanan untuk membuat liputan majlis perkahwinan puteri sulung Sultan Terengganu. Bayangkan S Agil memikul tripod dan beg kameranya sementara saya mengheret beg pakaian kami berdua. Untuk menghilangkan rasa penat dan dahaga, kami berhenti minum air kelapa di sebuah gerai dan menunggu hampir sejam sebelum teksi lain tiba.

Di Kuala Terengganu kami tidak tinggal di hotel sebaliknya tidur di pejabat Utusan Melayu di Jalan Tok Lam. Ketua bironya ketika itu Haji Mohamad Jusuh yang tinggal di bahagian atas pejabat Utusan bersama keluarganya.

S Agil tidur di bahagian bawah pejabat pemasaran dan pengedaran dan saya bersama anak-anak Mat Jusuh di tingkat atas.  Siangnya kami menumpang Mat Jusoh ke Istana kerana dia ada kereta dan istana pula dekat dengan pejabat Utusan.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan yang mungkin tidak akan kembali lagi biar masa berpatah balik. Saya tetap akan mengingati saat-saat manis itu selagi hayat di kandung badan.

Terima kasih Utusan, UKSB kerana menerima saya.  Terima kasih kepada semua ketua-ketua pengarang sebelum ini Tan Sri Zam, Datuk Johan Jaafar, Datuk Khalid. Dato Aziz dan para pengarang kanan di Jabatan Pengarang yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Tidak lupa buat bos UKSB,  Encik Badrul Azhar Abdul Rahman Ketua Pengarang Majalah, Puan Zurzaliza Bajuri dan En Azlan Naim .

Dalam berurusan tentunya banyak yang saya terlepas pandang atau terlanjur kata, saya mohon maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.  
Kepada semua yang pernah bekerja dengan saya seperti bilik foto,  UMES, Printcorp, Pemasaran, Pengedaran saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf.

Kepada semua wartawan yang pernah bekerja dengan saya di meja Keluarga dan WANITA dulu dan sekarang,  terima kasih atas sumbangan dan sokongan anda semua.   Halalkan makan minum saya, gurau senda yang mungkin berbekas di hati tanpa saya sedari.

Saya gembira dan bersyukur kerana pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Utusan dan Utusan Karya.  Saya harap kehadiran saya selama 35 tahun ini di Utusan dan 5 tahun di Utusan Karya telah saya manfaatkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ketelusan hati sebagai seorang pekerja yang diingini oleh sebuah syarikat juga sebagai ibu dan kakak kepada adik-adiknya .

Pada kesempatan ini juga saya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama  kepada saya sepanjang di Utusan.  Terlalu banyak jika hendak disebut dan saya sangat terhutang budi atas segala kerjasama yang telah terjalin. Saya sangat-sangat hargai.    

Akhir kata, dari dasar hati yang sangat dalam,  dengan rasa seikhlas hati, saya mengucapkan selamat kepada semua warga kerja Kumpulan Utusan dan anak-anak syarikatnya, yang kenal saya atau tidak khasnya di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Mega, Kosmo.  Yang lama dan baru.  Terima kasih semuanya.

“Saya sayang Utusan Melayu dan saya sayang Utusan Karya. Inilah jiwa saya. Doa saya semoga Allah melindungi, merahmati dan memberi yang terbaik untuk kecemerlangan Utusan Melayu dan anak-anak syarikatnya pada masa mendatang.

Kepada adik-adik semua, pesanan saya, bersikap positif dalam semua perkara, berlapang dada, berbaik sangka sesama sendiri, rajin, jangan malu bertanya kreatif, jaga disiplin, menulislah dengan jiwa. Insya-Allah semuanya akan baik-baik belaka.

Sekali lagi saya akhiri dengan memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki atas keterlanjuran dan tingkah laku serta tutur kata yang mungkin menyinggung anda semua tanpa saya sedari. Saya insan tidak sempurna, serba kekurangan dan lemah. Saya harap saya telah menjadi yang terbaik di mata anda semua sebagai seorang pekerja, kakak dan ibu.  Maafkan saya.

 Sebak masa potong pulut kuning ini....terima kasih semua 

 Terima kasih Kat for your support.... 
Aya.... jaga diri, Semoga cepat cepat kahwin. 

Awan berarak cantik menawan
Mata memandang hati tertawan
Walau saya tak jadi jutawan
Syukur alhamdulillah jadi wartawan

Budi dan jasa  nampak terkesan
Gedung ilmu membina insan
Pengalaman dikutip amat berkesan
Terima kasih wahai Utusan!

Sayang sayang buah kepayang
Mari disimpan di dalam almari
Tinggal semua tinggallah sayang
Cukup sampai  di sini, izinkan saya mengundur diri

 Wabilahiltaufik, waalamualaikum wbrkth.

Bandar Baru Bangi
Selasa 27 Januari 2015.
Saat manis yang akan ditinggalkan

Terima kasih Bos Bad, Azhar dan warga kerja Utusan Karya... suka gambar ni...

Adik-adik ceria... Nadia, jaja dan Aina.... kerja rajin2 tau!