Saturday 25 January 2014

25 Januari - menyingkap cerita

 
bersama mak dan anak saudara saya, intan suhara
 hero hero pujaan saya, zulkamal, azfar, mt khalis dan nazmi
 Grup wanita dalam keluarga hj hamzah
 Semoga  Allah kekalkan kebahagiaan kami hingga ke Jannah. amin
                                                    keluarga saya......


Assaalamualaikum semua yang dikasihi.
Hari ini 25 Januari 2014 genap usia saya 58 tahun....Alhamdulillah, kepada Allah saya panjatkan rasa syukur dan rendah diri kerana masih lagi bernafas dan diberi peluang untuk terus menikmati alam indah ciptaan Allah Yang Esa ini bersama suami, anak-anak, menantu cucu dan  kaum keluarga khususnya masih lagi dapat bermanja dengan  mak dan mak mentua.
Terlalu cepat masa berlalu. Begitu juga pantasnya perjalanan hidup saya yang pelbagai rona, onak dan duri. Ada yang manis, ada yang pahit tidak terkecuali yang menginsafkan dan menyedarkan saya erti hidup ini sebenarnya.  Namun ia bukan penamat kepada perjalanan ini, sebuah kehidupan yang perlu saya teruskan dengan amanah dan tanggungjawab yang belum selesai.
Insya-Allah semoga Allah kurnia kepada saya  kesihatan yang baik, rezeki yang murah serta kekuatan semangat untuk terus menjalankan amanah ini kepada semua yang saya sayang,  mak, mentua, suami, anak-anak menantu, cucu serta keluarga dan sahabat handai yang sentiasa mendoakan saya dan berada di sisi saya ketika susah senang.
Tahun ini amat mencabar buat saya.. pelbagai ujian dan cabaran yang saya lalui – bukan sebagai masalah atau beban tetapi kematangan untuk lebih berbaik sangka dengan semua orang, mendoakan perkara yang baik-baik serta dibuka pintu hati untuk membaiki kelemahan dan kekurangan diri supaya menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
Alhamdulillah di atas segala nikmat dan rahmatMu Ya Allah. Insya-Allah, di sebalik ujian, ada khabar gembira yang menanti saya. Tahun ini saya dan keluarga akan menerima dua orang baru dalam hidup kami, bakal menantu dan seorang cucu. Saya menunggu saat indah itu dengan doa yang tidak pernah putus dan berharap segala perancangan dan harapan Allah permudahkan. Semoga Allah kekalkan kebahagiaan keluarga saya yang semakin besar.
Benar kata pepatah, jauh berjalan luas pengalaman, walaupun perjalanan kita hanya sekadar di atas sekeping kertas, bermain dengan kata-kata dan emosi, namun ia turut mematangkan minda dan mengajar kita menjadi manusia walaupun tidak hebat di mata orang, memadai sedap mata memandang di mata suami, anak-anak menantu, keluarga dan sahabat.
Dalam usia ini saya masih belajar, masih perlu bertanya jika tidak tahu, masih perlu mencari jika belum jumpa kerana pengalaman dan ilmu tidak akan berhenti selagi manusia itu terus berjalan untuk mencarinya.
Terima kasih kepada yang mendoa dan menyokong saya selama ini. Terima kasih kepada Haji Osman, teman hidup yang amat memahami rutin hidup dan kerjaya saya dari hari pertama kami di ijabkabul hingga ke saat ini. Tidak pernah merungut apatah lagi meninggi suara. Senyumannya menghilangkan segala kesedihan saya. Dialah anugerah terindah dalam hidup yang Allah kurniakan kepada saya.
Juga terima kasih kepada mak Hajah Ronah yang melahir, mendidik dan membesarkan saya, yang tidak pernah putus berdoa dan berkongsi cerita dengan saya. Pada anak-anak, Mizan, Dafri, Eda, Atteya, Aqila dan permata hati saya, Delisha Hafiya dan arwah Dalila Hayfa, terima kasih kerana memahami kesibukan dan emosi saya serta seluruh keluarga yang berkongsi cerita setiap waktu kita berkumpul.
Kepada sahabat semua dan mereka yang pernah singgah di hati saya, hanya Allah tahu isi hati saya ini terhadap kalian semua.
Mudah-mudahan Allah makbulkan doa saya dan kekalkan ukhwah ini untuk selamanya. Hidup akan saya teruskan bersama rindu yang panjang.

Al-fatihah untuk arwah Haji Hamzah, Salmah dan Dalila Hayfa. Semoga tenang di sana! Amin.

No comments:

Post a Comment