Thursday 30 October 2014

Menulis kerana jiwa bukan nama




Assalamualaikum semua
Apa khabar anda hari ini? Saya harap semua di dalam keadaan sihat walafiat dan dapat meneruskan urusan hidup seperti biasa dengan ceria disamping keluarga.  Tamat sudah kisah saya sakit. Jiwa penulis dan wartawan mana boleh berhenti dari menulis dan bercerita. Kalau mulut tak berbunyi, tangan pula ligat menulis. Ada sahaja yang hendak di catatkan. Sama ada suka atau tidak setiap yang berlaku depan mata perlu  diluahkan, jika tidak  kepada pembaca tentunya kepada kawan-kawan dan saudara mara.
Hari ini saya ingin berkongsi cerita tentang dunia penulisan yang saya ceburi ini. Sejak 36 tahun lalu, inilah jiwa saya. Inilah minat saya. Kalau orang kata menulis kerana nama bagi saya tidak, saya menulis kerana jiwa dan minat. Bukan untuk mencari nama. Kerana menulis sama ada sebagai wartawan atau penulis seseorang itu perlu ada jiwa. Mesti ada roh kata orang sekarang supaya apa yang ingin disampaikan akan melekat di hati pembaca dan pengikut kita.
Begitulah dengan dunia kewartawanan yang saya lalui ini.
Dalam banyak- banyak hasil karya saya,  PERMAISURI adalah yang terindah dan  sangat saya sayangi. Pun begitu saya tetap tidak melupakan komitmen saya terhadap perkara lain yang berkaitan dengan tugasan hakiki saya. Namun, peluang untuk menerbitkan  PERMAISURI adalah sartu bonus yang tidak semua orang boleh capai. Sebab itu PERMAISURI sentiasa dalam hati... di mana-mana sahaja.
Sepanjang saya bercuti sakit PERMAISURI tetap dalam ingatan. Kawan-kawan menjadi tempat saya menyambung promosi PERMAISURI. Surat-surat yang dikirim kepada syarikat dan pihak individu turut saya follow up dengan harapan ada yang berhajat mendapatkan PERMAISURI.
Alhamdulillah, ada nampak pergerakannya. .
Alhamdulillah sebaik kembali ke pejabat fokus utama saya adalah untuk buku kesayangan saya itu.
Hari pertama kerja di atas meja sudah ada dua pucuk surat dari hamba Allah yang menempah PERMAISURI. Juga menerusi emel dan wassap. Salah seorang darinya Encik Ramlee dari Alor Setar Kedah yang mengirimkan wang RM250 di dalam sampul surat yang di pos biasa tanpa nombor telefon. Menjadi kemestian setiap pembelian perlu ada nombor untuk dihubungi tetapi Encik Ramlee tidak menyertakannya. Saya meletakkan cerita En Ramlee di status FB saya. Seorang kenalan FB Dini Noor juga ASMARIAN, alumni Sultanah Asma telah membantu saya mengesan en Ramlee di rumahnya. Akhirnya saya dapat menyerahkan sendiri buku PERMAISURI kepada en Ramlee di rumahnya di Taman Pulai Jaya, Jalan Langgar Alor Setar Kedah minggu lalu. Saya kagum dengan hajatnya yang luar biasa itu untuk mendapatkan PERMAISURI.
Seronok En Ramlee mendapat buku itu yang akan dihadiahkan kepada isterinya yang memang suka membaca dan melihat gambar-gambar keluarga diRaja.


PERMAISURI akhirnya saya serahkan sendiri kepada En Ramlee di rumahnya di Taman Pulai Jaya, Jalan Langgar Alor Setar Kedah pada 24 Oktober lalu. Terima kasih

Terima kasih Datuk Suraya.

Cuti Deepavali lalu saya juga mengambil kesempatan balik ke Alor Setar untuk bertemu YB Datuk Suraya Yaacob untuk mempromosi buku berkenaan. Alhamdulillah Datuk Suraya tidak pernah  lupa untuk menyokong saya. Terima kasih atas sokongan Datuk kepada PERMAISURI dan UKSB. 

Memang saya sangat teruja dengan buku ini kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia telah lama saya idamkan. Hampir setahun merancang membuag persiapan akhirnya ia menjadi kenyataan. Bukan mudah untuk merealisasikan buku yang bersejarah ini seorang diri... alhamdulillah sokongan boss dan galakan dari kawan-kawan sekerja seperti Ucop, Nisa, Faridah Bursa dan jurugambar UKSB semuanya kini menjadi kenyataan., Ia khazanah istimewa hasil; karya saya setelah 36 tahun dalam indusrtri media... sesuatu yang saya anggap sebagai kemuncak kejayaan dalam hdup saya.
Itulah saya sanggup buat apa sahaja untuk mempromosikannya walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga....
Sebagai penulis ini jiwa mesti kental.,perlu belajar setiap hari walaupun sudah ada pengalaman. Pergaulan mesti luas, jadikan sumber sebagai kawan an saudara agar hubungan tidak tamat setakat kerja tetapi boleh bertahan sampai bila-bila.
Jadi wartawan dan penulis i ni bukan untuk glamor dan cari nama tetapi untuk berkongsi pengalaman dan usaha kita dengan masyarakat tidak kira golongan mana. Yang penting bahan yang diperoleh, sumber dan persembahan kita dalam cerita untuk pembaca, itu yang utama.
Seperkara lagi mesti berani, tidak segan, jangan berat mulut (pendiam) mesti rajin membaca, bertanya dan berkongsi apa yang kita tahu dan tidak dengan orang yang lebih berpengetahuan.
Pendek kata tidak ada batas sempadan dalam berkarya bagi seorang wartawan atau penulis selagi ada idea dan berusaha kerana cerita tentang hidup ini ada pelbagai, boleh dicari, diteroka dan ada kalanya ia datang sendiri...
Dalam hubungan dengan PERMAISURI saya amat bersyukur kerana telah diberi kudrat dan keizinnaNYA untuk menghasilkan khazanah bernilai ini.
Terima kasih saya ucapkan kepada YB Dato Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan kakitangannya  yang sudi bekerjasama dengan Utusan Karya untuk menerbitkan buku yang cukup berharga ini.... kerjasama ini sesuatu yang membangkitkan semangat saya dan UKSB untuk terus menerbitkan buku-buku ilmiah dan bersejarah pada masa depan.
Untuk PERMAISURI apa sahaja.... terima kasih kepada pihak korporat, syarikat, individu, kawan-kawan yang telah membelinya. Jika anda belum memilikinya, jangan segan unuk menghubungi saya di halaman ini atau emel normala.hamzah@utusan.com.my atau telefon 0389262999 untuk tempahan dan pertanyaan.

Saya juga sempat singgah di Perpustakaan Awam Negeri Kedah  berjumpa Pegarahnya Encik Hashimi. ditemani Pengerusi Alumni SAS, Datuk Nasriah Maghribi. (2 dari kanan) 


Encik Kamaruzaman , turut membeli Permaisuri. Terima kasih 


YM Datuk Datin Tengku Shireen Tengku Sulaiman, kerabat Perlis yang juga selalu sokong saya. Terima kasih Datin!


Pohon kelapa di kiri kanan
Pohon meranti di tepi terusan
Belilah  PERMAISURI untuk simpanan
Sebagai kenangan buat warisan

Salam hormat dari saya hingga catatan yang akan datang 



Tuesday 28 October 2014

Kegembiraan dalam kesedihan


Gambar saya adik beradik serta ipar duai dan ibu saudara bersama mak diambil pada hari raya Aidilfitri lalu sehari sebelum saya ditimpa kemalangan., kakak saya, Hayati tidak ada dalam gambar 

Assalamualaikum
Tarikh 5 September 2014.
 Saya balik ke rumah saya di Tasik Puteri, Rawang dihantar oleh pandangan mak yang sangat menyedihkan.,. Seronoknya saya hanya Allah yang tahu walau terpaksa tinggalkan mak.. Enam  jam dalam perjalanan tentu menyeksakan. Kaki langsung tidak boleh dibengkuk. Sepanjang masa harus diluruskan.... alahai. Allah sahaja yang tahu bagaimana kesakitannya.
Masalah besar saya adalah untuk ke tandas di R & R..sudahlah jauh..ramai pula orang.  Mujur saya menggunakan tandas untuk orang cacat.. dengan keadaan kaki yang berbalut dan bertongkat tentu tidak siapa menghalang. Kami beli makanan bungkus dan makan di dalam kereta. Sampai di rumah saya ada lagi satu masalah., Saya terpaksa tinggal di tingkat bawah kerana tidak mampu lagi naik tangga.... Aqila dan suami mengemas tempat tidur saya di ruang tamu rumah.... semuanya yang menguji kesabaran bermula untuk saya dalam masa dua bulan akan datang.
Hari-hari yang dilalui  sangat mencabar. Tapi saya boleh bergerak sendiri melakukan semua perkarta termasuk memasak. Saya juga boleh menulis untuk ruangan saya dalam akhbar Utusan Malaysia Sembang-Sembang . Walau dalam sakit saya tetap menjalankan komitmen saya itu.
Anak bongsu saya Aqila  membantu menyediakan apa yang patut untuk saya masak. Setiap hari juga saya wajib menelefon mak memaklumkan keadaan saya. Mak ternyata sangat risau.
Pada 15 September saya balik ke Alor Setar untuk pemeriksaan doktor dan secara kebetulan anak saudara saya Ili Najmiyah bertunang....itupun tidak lama, tiga hari di sana saya kembali ke Tasik Puteri.
Tarikh 18 September  ibu mertua saya sekali lagi dimaskkan ke wad.. Empat hari suami balik Tampin menguruskan ibunya. Anak bongsu saya Aqila juga telah balik  ke kolej untuk meneruskan  pengajiannya. Tinggal saya seorang diri. Walau sedih tapi saya harus cekal dan berdoa banyak banyak agar cepat baik.
Keadaan mentua semakin uzur. Dalam masa yang sama, suami berulang alik antara Tampin dan Rawang untuk menjenguk ibunya dan menjaga saya.... teramat besar pengorbanannya.....!
Tarikh 30 September membawa khabar duka buat kami sekeluarga. Ibu mertua saya yang dikasihi Hajah Safiah Hj Ali telah kembali ke rahmatullah... begitu cepat dia pergi. Tidak sempat saya berjumpa dengannya semasa saya sedang sakit, namun ketentuan Allah tidak siapa dapat menolak. Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dia bersama orang -orang beriman. Amin.
Tarikh 9 Oktober 2014 saya naik kerja. Saat yang sangat saya tunggu-tunggu. Sudah hampir tiga bulan tidak menyentuh komputer saya. Rindu sangat dengan tempat saya mencari rezeki ini. Walaupun agak sukar untuk naik tangga yang bagaikan rumah orang kaya dalam filem hindustan saya gagah juga. Ini yang sangat saya risau apabila naik keja. Alhamdulillah cubaan  saya berjaya. Syukur!
Pada 24 Oktober sekali lagi saya balik ke Alor Setar untuk misi Permaisuri dan meraikan majlis pertunangan  anak saudara saya  Athna Khairani.. Dua majlis dalam setahun. Alhamdulillah, Allah uji saya dan keluarga tetapi dia hadiahkan kebahagiaan untuk kami. Tahniah Ili & Athna.
Kepada Allah saya panjatkan doa untuk memudahkan segala urusan hidup saya dan keluarga selepas ini.,
Syukur kerana saya dapat kembali bertugas dan melaksanakan tanggungjawab yang masih terbengkalai. Fokus saya adalah untuk meneruskan promosi PERMAISURI....Dalam kesakitan yang masih bersisa dan kesedihan kehilangan mertua tercinta, saya masih dikurniakan kebahagiaan, Kepada  ALLAH saya  panjatkan doa semoga  saya  diberikan  kekuatan untuk terus berkarya.  Amin!


 Ili Najmiyah, anak saudara saya (Anak adik lelaki sulung saya, Husni)  selamat bertunang dengan orang Melaka.....Tahniah Ili. (15 September 2014)

Athna Khairani, anak sulung dan perempuan tunggal adik kedua saya, Mokhtar juga betunang dengan orang Kelantan. Ipar saya Khairus (kanan) dan bakal besannya. Tahniah Athna.  
(24 Oktober 2014)


Kami setia bersama..dalam susah atau senang! sepakat membawa berkat.... dalam apa juga acara dan majlis keluarga, inilah wajah-wajah yang bertungkus lumus menjayakannya..... adik-adik ipar saya,  Rahimah (tudung unggu), Wani (duduk tudung hijau), Roselin (tudung kelabu duduk), Khairus (baju hijau)   dan Mak su (Berdiri kiri). Terima kasih semua!   


Tuesday 21 October 2014

Kesakitan & Kasih sayang



Sahabat selamanya..... rakan-rakan sekelas SAS datang menceriakan saya ... Terima kasih Hasni, Wan Zakiah, Fauziah Majid, Wan Zakiah...Zuraina dan adiknya..... 

As Salam.
Bermula 1 Ogos saya tinggal dalam wad. Hari kedua selepas pembedahan anak kedua saya Dafri terbang balik dari Kuala Lumpur, begitu juga dengan suami muncul menjelang subuh. Mentua saya semakin pulih dan dibenarkan keluar hospital. Pengarang Online Utusan Malaysia Gamal Nasir dan keluarga juga datang setelah saya maklumkan keadaan saya. Terima kasih Gamal, sempat juga datang walaupun sedang bercuti raya di Pulau Pinang.
 Alhamdulillah. Sepanjang  Di wad saya terasa dalam  kepayahan. Tidak boleh bergerak. Enam hari di hospital cukup meletihkan. Pergerakan terbatas, semua perlu dibantu sebab kaki bersimen. Nak ke bilik air satu penyeksaan. Pada masa yang sama perlu menjalani fisioterapi. Anak dan suami mengambil alih tugas menjaga saya... Mereka menemani saya siang dan malam. Mak juga risau dan sempat berbuka puasa di hospital kerana mahu bersama saya. Kalau sihat saya yakin mak akan teman saya di hospital.
Anak ketiga saya Atteya dan suami juga bergegas terbang balik ke Alor setar setelah mendapat khabar sekembalinya dari bercuti....Walaupun semua ada, saya masih rindukan cucu-cucu dan menantu saya yang masih di dalam pantang...   Sedikit sebanyak kesakitan saya beransur hilang apabila dikunjungi  saudara mara, sahabat dan kawan-kawan lama saya dari Sek Men Sultanah Asma yang datang lawat. Walaupun saya tidak beritahu sesiapa tentang keadaan saya,   ramai yang tahu setelah bekas jiran dan ex utusan yang juga adik angkat saya Zaini Nasri datang melawat saya di hospital bersama anak perempuannya dan memaklumkan keadaan saya di dalam status fb nya di. Dia mendapat khabar semasa menziarah arwah Abdullah, kenalan kami sejak kecil  yang meninggal dunia sehari sebelum itu.
Pada 6 Ogos, saya dibenarkan keluar. Nak ke mana saya? Teringatkan rumah mak yang tandasnya mencangkung saya mula risau kerana kaki saya memang tidak boleh dibengkukkan langsung. Adik saya Mokhtar dan Zahir mempelawa ke rumahnya untuk memudahkan pergerakan saya., Akhirnya saya memilih untuk ke rumah adik saya Mokhtar dulu di Taman Suria Jaya. 10 hari saya di situ, Alhamdulillah anak bongsu saya Aqila sedang cuti semester. Dia yang banyak menjaga kebajikan saya semasa sakit. Adik ipar saya Khairus walaupun bekerja bersusah payah menyediakan sarapan dan makan tengah hari untuk saya setiap hari. Tidak terbalas jasanya.  Mak yang juga risau akan keadaan saya yang tidak ada di depan matanya turut datang bermalam di rumah Mokhtar untuk bersama saya.
14 Ogos saya ke hospital untuk membuka jahitan dan fisioterapi lagi... saya mohon doktor membuka simen kerana tidak tahan.. Doktor setuju dan .tetapi lutut dan kaki saya dibalut dan disuruh memakai penampan lutut.....satu lagi seksa yang harus ditanggung tapi ia lebih baik dari kaki disimen. Sekembalinya dari hospital saya balik ke rumah adik bongsu saya Zahir di Taman Sri Derga..... seperti biasa, mak juga ikut saya. malah bersusah payah memasak untuk saya walaupun adik ipar saya, Roselin juga menyediakan sarapan dan memasak untuk saya sebelum pergi kerja. Setelah tiga minggu saya sudah mampu berjalan menggunakan walker.... tapi perlu berwaspada.
Syawal tahun ini saya beraya di hospital dan di rumah sepenuhnya,....kaum keluarga yang datang beraya di rumah mak apabila mendapat tahu saya sakit terus datang ke rumah adik-adik saya... bertukar ganti. Saya sangat terharu dan gembira dengan kehadiran mereka.
Sebulan di Alor Setar, saya teringatkan rumah. Rindu dengan Tasik Puteri... lalu saya ajak suami balik walaupun mak pada mulanya melarang dan mahu saya benar-benar pulih.....Saya bagi alasan baik untuk mak, bimbang rumah tinggal lama. Mak akur.
Terima kasih kepada semua yang membantu saya sepanjang di Alor Setar, adikk-adik, ipar duai, anak saudara, sepupu, ibu dan bapa sedara,  kawan-kawan serta jiran tetangga yang datang melawat dan menggembirakan saya. Maaf jika terlupa menyebut nama.  Budi semua tidak dapat hendak saya balas.
Kata orang dalam kesakitan ini kita akan dapat melihat nilai kasih sayang dan persahabatan serta persaudaraan... Dan ini terbukti sudah. Saya telah merasanya.. Biarpun hanya dengan mesej bertanya khabar dan mengucap simpati saya sangat hargai.. Semoga Allah memberi ganjarannya...
Dalam kesakitan itu juga saya rindukan permata hati saya dan keluarga,  Delisha, Dalila dan Harith!.
Sambungan - Rindu Tasik Puteri

Bersama zahanim.... Geng Golden Girls 74 SAS

Kehadiran Noriza  menghilangkan rindu saya kepadanya setelah bertahun-tahun tak jumpa. Terima kasih Ija

Terima kasih Zuri.....susah payah mai tenguk aku walaupun tak sihat 

Pengerusi Alumni Persatuan  bekas Murid Sek Men. Sultanah Asma , Datuk Nasriah juga singgah bertanya khabar. Terharu saya. Terima kasih Datuk..

Atlet olahraga dan bola jaring zaman kegemiangan Golden Girls 74..jiran sekampung dan sahabat saya Asiah Haji Ismail juga datang....terima kasih Asiah. 

Mak dan rombongan berbuka puasa sunat Syawal di hospital menemani saya.... Kasih mak di mana sahaja... asal dapat tenguk saya depan mata. Terima kasih mak! Sayang mak....



Monday 20 October 2014

Debaran di bilik pembedahan

Wajah saya yang sedih selepas keluar dari bilik pembedahan.
Assalam
31 Julai 2014
Hari yang mendebarkan. Walaupun semalaman tidak tidur saya gagahkan diri untuk bertenang. Awal subuh selesai membersihkan diri dan bersolat saya diminta oleh jururawat supaya jangan makan apa-apa, masih kena puasa.
Kira-kira pukul  6.30 pagi, suami menelefon. Meminta saya bertenang dan positif. "tidak ada apa-apa..semua akan berjal;an lancar, dia doa dari jauh.'' Dalam sebak saya panjatkan apabila suami maklumkan mertua saya semakin beransur sembuh dan berada dalam keadaan tidak membimbangkan dan akan dipindahkan ke wad biasa.
Saya tidak banyak bercakap saat itu.  Anak bongsu yang setia menemani saya menyiapkan apa yang perlu. Jururawat menyerahkan pakaian untuk dipakai ke bilik pembedahan. "Pukul sembilan pagi kami datang bawa kakak ke bilik operation.'' Saya mengangguk.
Pukul 8 lebih adik saya Zahir dan isterinya Roselin yang bertugas di hospital itu datang. Zahir memegang tangan saya dan berkata, okey, takdak apa-apa, sebab dia tahu saya sedih kerana suami tidak ada bersama. Sampai masa, dua orang jururawat sampai... kaki saya ditanda bahagian yang hendak dibedah., Kemudian dibalut kemas. Saya disurung ke bilik pembedahan diiringi Aqila dan adik saya Zahir dan anak-anaknya. Melihat jam didinding pukul 9.10 minit pagi.
Air mata saya begenang. Di pintu bilik operation dua staf menyambut saya. Seorang memeriksa butiran tentang saya, nama dan memastikan tandatangan di borang pengesahan pembedahan adalah tandatangan saya. Dua kali proses itu berjalan. Selepas itu saya terus ditolak masuk,,,, diiringi dengan tangisan anak bongsu saya yang memang sedih sangat dengan keadaan saya itu.
Di dalam bilik pembedahan hanya Allah yang tahut., Takut dan macam-macam lagi datang. Dua jururawat menguruskan saya. Kemudian pakar bius pula datang. Dia memaklumkan procedur yang akan dilakukan. Saya dibius separuh badan..Pakar bius itu bertanya berulang kali mengenai kesihatan saya. Setelah sedia semuanya saya hanya menunggu dan menunggu... dingin bilik pembedahan menyebabkan saya mengigil dan menggeletar. Seorang jururawat berdiri di hujung kepala melayan saya berbual ketika pakar bius melakukan kerjanya. Sekejap saja saya macam mimpi......tak tahu apa yang hendak difikirkan lagi.Wajah, suami, mertua, mak, anak-anak dan cucu juga adik-adik bertukar ganti di depan mata.... Sehinggalah kedengaran suara Dr yang akan menjalankan pembedahan ke atas lutut  saya menyapa.. Kemudian segalanya bermula.
Don't worry, semuanya akan okey! katanya sambil tersenyum. Selepas itu saya terasa kaki macam batu..tidak boleh digerakkan lagi sementara suara doktor dan jururawat silih berganti melakukan sesuatu... saya sedar dan dengar percakapan mereka tetapi tidak langsung merasa kesakitan.... sehinggalah akhirnya sekali lagi Dr itu menyapa dengan kata-kata, "Sudah siap......boleh berehat!''.
Alhamdulillah, terkeluar kata-kata lega dari bibir saya. . Setengah jam dibilik bedah selepas pembedahan baru saya ditolak keluar untuk kembali ke wad. Kira-kirnya pembedahan itu mengambil masa hampir 3 jam juga...Sebaik keluar saya melihat Zahir dan anak-ananya serta Aqila  menyambut saya dengan senyum.
Saya membalas senyuman mereka kerana itu sahaja yang mampu saya lakukan...Di wad saya baru perasan keadaan lutut dan kaki saya berbalut... aduh!
Membelek telefon berbelas-belas missed call saya dapat, kebanyakanya dari suami yang tentunya sangat risau akan hal saya.... Alhamdulillah. Walau sakit saya harus bertahan. Mudah-mudahan Allah permudahkan dan ringankan kesakitan saya.
Esok.... pengalaman selepas pembedahan

Friday 17 October 2014

Akhirnya saya ke hospital



Hati seorang ibu.......

30 Julai 2014 - Hari yang tidak dapat saya lupakan dalam hidup.  Semalaman saya tidak lena asyik memikirkan lutut dan keadaan ibu mertua saya di Hospital Tampin....Subuh itu saya mendapat khabar dari suami, mertua saya sudah stabil dan masih lemah....Alhamdulillah.
Apabial suami bertanya keadaan saya, serta merta saya menangis. Pagi ini apa jadi sekalipun saya mesti ke hospital... Saya maklumkan keputusan saya kepada adik bongsu saya Ahmad Zahir yang mana isterinya salah seorang kakitangan di Hospital berkenaan mohon bantuan dipercepatkan proses berjumpa doktor kerana saya sudah tidak tahan sakit.
Jam 9 pagi adik sayang datang ke rumah Mak....ramai yang menunggu untk melihat saya ke hospital. Mak menangis melihat saya dipapah masuk ke kereta dalam kesakitan. Anak bongsu saya menangis.. anak-anak saudara pun sama...Saya cuba kuatkan semangat tak mau semua orang bersedih dengan keadaan saya sedangkan dalam hati, hanya Allah yang tahu...
Sampai di hospital semua sudah siap, adik ipar saya Roselin telah mendaftarkan untuk saya. Saya dibawa untuk diperiksa darah dan gula... alhamdulillah semua okey...
Saat ini saya sudah mendiamkan diri terbayang apa lagi yang saya akan hadapi selepas ini. Di bilik rawatan awal doktor mencadangkan saya berjumpa doktor pakar untuk mendapat pengesahan apa sebenarnya yang perlu dilakukan.
Proses berjalan pantas. Bertemu doktor pakar, Dr. S saya disuruh menjalani x-ray untuk melihat apa sebenarnya berlaku dengan tempurung lutut saya.  Laporan x-ray mengesahkan tempurung lutut saya patah, ligamen kiri kanan terkoyak dan berlaku perdarahan di lutut saya.
Saya mengigil mendengar penjelasan Dr. S dan terkedu melihat x-ray. Apa yang saya takut dan bimbang benar-benar terjadi. Penyelesaiannya kata Dr. Saya kena operate... untuk menyambung semula tempurung lutut yang patah dan ligamen yang terkoyak itu... MaysaAllah!
Yang sedihnya saya perlu serta merta dimasukkan ke wad untuk pengawasan dan diarah berpuasa....Takdir Allah telah tersurat untuk saya. Saya diberi masa oleh Dr. untuk berbincang dengan keluarga. Adik saya Zahir menyuruh saya ikut nasihat Dr... "tidak ada pilihan kakcik!'' katanya.
Air mata bergenang. saya mesti tanya pendapat suami walaupun jawapannya saya sudah tahu. Anak-anak saya Dafri dan  Darmizan  yang tidak ada bersama saya hubungi dan maklumkan. Semua suruh saya operate. Anak ketiga saya Atteya tidak dapat dihubungi kerana berada di luar negara..dan saya tidak mahu menganggu percutiannya bersama keluarga mentua.
Mendengar suara suami saya terus terdiam. Dia minta bercakap dengan Zahir.... minta tolong tenguk-tengukkan saya... jaga saya kerana sudah tentu masa saya dibedah dia tidak dapat bersama saya,
Akhirnya saya katakan ya kepada Dr.....dan saya terus ditolak ke wad...bermulalah episod baru dalam kesedihan saya....Apapun kena redha... begitu kehendak Allah....Bila saya telefon bagi tau mak yang saya kena masuk wad dan operate esoknya, mak terdiam. kemudian terdengar suaranya yang lemah berkata, buatlah apa yang elok, asai boleh berjalan balik... dalam hatinya saya tahu, mak sedih!
Sambung Isnin - hari pembedahan.  
Sekuntum mawar merah buat mak


Thursday 16 October 2014

Terima khabar sedih


  • Hidup ibarat lautan luas, ada kala tenang, ada kala mengganas..... 

Sambungan semalam...

Tiga jam setelah berlaku kejadian saya masih tidak banyak bercakap. Terkejut lagi dengan apa yang berlaku.  Suami memujuk minta ke hospital segera. Seorang saudara membantu saya pulih dengan mmemberi minuma air supaya rasa kejutan yang saya alami hilang.  Dapur menjadi tempat saya berbaring sementara menunggu langkah seterusnya.
Dalam air mata yang masih berlinangan tiba-tiba  telefon saya berdering. Di hujung talian, pembantu rumah yang menjaga ibu mertua saya di Tampin memaklumkan ibu mertua saya telah dimasukkan ke hospital dan keadaannya agak kritikal.
Ya Allah dugaan apa yang Allah berikan kepada saya dan keluarga? Sekali lagi saya terdiam., Air mata yang sememangnya mengalir laju terus melimpah tanpa di minta....melihat wajah saya yang semakin berkerut dan sebak, suami bertanya kenapa.
Saya memandang wajahnya...perlahan saya katakan, "Mak masuk hospital, kritikal."
Kami berdua terkedu. Anak-anak saya menangis. Di sana mentua, di sini saya yang cedera. Dalam kesakitan itu juga saya menelefon anak kedua saya Dafrizal yang ada di Kuala Lumpur. Dia tidak balik raya sebab isterinya dalam pantang cucu ketiga saya. Saya ceritakan apa yang berlaku.....dengan esakan dan tangisan yang menyebabkan semua yang ada di keliling saya menangis. Mak, ibu saudara, ipar duai semua minta kami bersabar dan mohon ibu mentua saya tidak apa-apa.
Saya minta anak saya bergegas dulu ke Tampin melihat neneknya sementara suami saya sampai ke sana.
Bayangkan jarak antara Alor Setar dan Tampin paling tidak mengambil masa 10 jam, tambahan pula hari raya....Di wajah suami terbayang resah dan bimbang. Nak tinggalkan saya yang sedang dalam kesakitan dan ibu yang sedang bertarung nyawa.
"Baliklah bang... mak lagi penting, kata saya. Jangan risau, ramai ada untuk jaga saya, anak-anak, menantu, adik-adik ipar duai. Mak pun ada.kata saya untuk menyedapkan hatinya..
Petang itu saya tidak mahu lagi ke hospital kerana terkenangkan mentua saya.... biar satu satu masalah selesai.. fikir saya.. Kesakitan lutut saya masih boleh bertahan. Saya yakin dengan janji Allah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Walau mulut berkata boleh tahan tapi hati berkata lain. Sebenarnya saya takut kena bedah lagi. Pengalaman 10 tahun lalu mengerikan saya.  Tapi saya pasrah.
Saya bertekad jika esok lutut saya terus sakit, saya akan ke hospital. Semua orang tidak berani melawan cakap saya, mereka ikut apa keputusan saya walau suami dan adik-adik mahu segera saya ke hospital.
Setenlah berpesan minta adik-adik saya menjaga dan menguruskan saya , akhirnya suami  berlepas balik ke Tampin menjelang Maghrib ditemani anak saudara saya Zulkamal.
Bohong la kalau saya kata tak sedih, tapi saya lagi sedih dan menyesal jika suami tidak bersama ibunya di saat genting ini...
Malam itu tidur saya tidak lelap... setiap sejam saya menelefon suami bertanya perjalanannya sehingga dia selamat tiba di Tampin kira-kira pukul 3 pagi Hari Raya ketiga.....
Saya pula.,....terus tidak dapat melelapkan mata, mana menahan sakit sedih semuanya bercampur baur....air mata jadi peneman.   Dalam jaga itu saya berpaling dan melihat anak bongsu saya, Aqila dan mak saya, berbaring di sebelah saya....mak atas kerusi panjang sementara  anak bongsu saya berkongsi bantal dan tilam dengan saya sambil menggengam erat tangan saya... air mata saya berjurai lagi. Jika ini ujianMU Ya Allah, hambaMU ini pasrah.
Esok.... di Hospital.
















Wednesday 15 October 2014

Ujian di Aidilfitri



Salam sahabat semua
Seperti dijanji saya ingin berkongsi cerita saya dengan anda semua. Kisah yang menimpa saya pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Saya beraya di Alor Setar, Kedah. Aidilfitri tahun ini adalah yang paling sedih dalam hidup saya. Saya hanya menyambut raya di katil hospital dan kemudian menghabiskan Syawal di atas  katil juga... tidak boleh berjalan.
Segala-galanya bermula pada hari raya kedua. Pagi pagi lagi saya sudah bergelut di dapur. Maklumlah walaupun hari raya, makanan tengah hari mesti disediakan juga. Keluarga besar saya yang berhimpun tetap perlu dijamu dengan nasi. Hari raya pun macam hari-hari biasa....dapur tidak pernah tidak berasap.
Tambahan pula ketupat dan nasi himpit yang dibuat sudah kehabisan pada hari raya pertama lagi. Rumah mak di kampung  memang dikunjungi ramai sanak saudara sebab mak anak sulung. Kira-kira pukul 12 tengah hari ketika saya hendak ke ruang tengah rumah melayan saudara mara yang sedang beraya dengan mak,  Kaki saya meluncur laju macam sedang bermain ski... imbangan badan tidak terkawal, tidak ada apa yang hendak saya paut melainkan  mengikut  kaki yang tersangat laju. Kuasa Allah tidak dapat siapa menghalang, saya betul-betul jatuh dengan lutut sebelah kanan terkena anak tangga ke ruang tengah rumah.
Macam bunyi  ranting patah, adik ipar saya yang sedang memasak berpaling, seorang anak saudara yang sedang makan bangun untuk mencapai tangan saya tetapi sudah terlambat. Ketika cuba bangun kaki saya terkulai...lutut saya sudah cedera.
Saya terdiam hampir 15 minit, tidak bersuara tetapi air mata mengalir laju membasahi pipi menahan kesakitan. Saya memberi isyarat kepada ipar dan anak saudara saya supaya jangan bising-bising, bimbang satu rumah yang sedang bergembira di ruang tamu terkejut dan hilang mood untuk beraya.
Tapi keadaan menjadi sebaliknya apabila anak bongsu saya, Nur Aqila muncul.... melihat saya terduduk menyendar di kerusi dengan air mata berlinangan, dia menjerit.... awat mak?
"Tok, mak jatuh...." spontan terkeluar kata-kata dari bibirnya..
Apa lagi serta merta mereka  menerpa ke dapur...masing-masing terpinga-pinga. Wajah wajah simpati dan reaksi mak yang sangat terkejut melihat keadaan saya menjadi kan saya hilang kata-kata.
Saya mencari-cari suami tetapi dia tidak ada kerana dia  ke rumah adik saya berhampiran....
Sehinggalah dia kembali setengah jam kemudian. Sekali lagi air mata saya berlinangan laju....
Menahan sakit, terkejut dan sedih, sejarah berulang lagi dalam hidup saya... kali ini kaki kanan. Saya berdoa semoga tidak ada yang serius perlu saya tanggung....tetapi dalam hati debaran dan rasa takut semakin kencang.
Esok saya akan cerita apa yang berlaku seterusnya.....





Thursday 9 October 2014

Bersua kembali

Salam semua yang dikasihi.
Cepat sungguh masa berlalu. Sepantas kesakitan yang ditanggung dibawa pergi. Enam puluh sembilan hari saya menyepi diri, tidak menyapa di laman ini. Bukan kerana benci tetapi kerana diuji Allah. Selama itu jugalah saya rindu untuk menulis dan bertanya khabar. Hari ini saya kembali bertugas menyambug kerja yang tidak pernah lari dari minda saya.
Jari jemari juga semakin rindu untuk bermain dan berkata-kata.  Agaknya apa yang boleh saya persembahkan buat anda semua. Banyak yang ingin dikongsi... pelbagai cerita bermula dari hari kejadian saya diuji Allah pada 28 Julai 2014, yang jatuhnya juga pada hari raya kedua. Insya-Allah esok saya akan sambung cerita saya di laman ini.
Sementara itu, doakan saya agar terus sihat dan cergas untuk menyambung kerja ini -  menulis dan menulis untuk kesinambunga sebuah naskhah cetusan minda dan kata hari saya...insya-Allah.
Saya tinggalkan sekuntum mawar merah ini buat tatapan anda.
Jumpa lagi!