Wednesday 15 October 2014

Ujian di Aidilfitri



Salam sahabat semua
Seperti dijanji saya ingin berkongsi cerita saya dengan anda semua. Kisah yang menimpa saya pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Saya beraya di Alor Setar, Kedah. Aidilfitri tahun ini adalah yang paling sedih dalam hidup saya. Saya hanya menyambut raya di katil hospital dan kemudian menghabiskan Syawal di atas  katil juga... tidak boleh berjalan.
Segala-galanya bermula pada hari raya kedua. Pagi pagi lagi saya sudah bergelut di dapur. Maklumlah walaupun hari raya, makanan tengah hari mesti disediakan juga. Keluarga besar saya yang berhimpun tetap perlu dijamu dengan nasi. Hari raya pun macam hari-hari biasa....dapur tidak pernah tidak berasap.
Tambahan pula ketupat dan nasi himpit yang dibuat sudah kehabisan pada hari raya pertama lagi. Rumah mak di kampung  memang dikunjungi ramai sanak saudara sebab mak anak sulung. Kira-kira pukul 12 tengah hari ketika saya hendak ke ruang tengah rumah melayan saudara mara yang sedang beraya dengan mak,  Kaki saya meluncur laju macam sedang bermain ski... imbangan badan tidak terkawal, tidak ada apa yang hendak saya paut melainkan  mengikut  kaki yang tersangat laju. Kuasa Allah tidak dapat siapa menghalang, saya betul-betul jatuh dengan lutut sebelah kanan terkena anak tangga ke ruang tengah rumah.
Macam bunyi  ranting patah, adik ipar saya yang sedang memasak berpaling, seorang anak saudara yang sedang makan bangun untuk mencapai tangan saya tetapi sudah terlambat. Ketika cuba bangun kaki saya terkulai...lutut saya sudah cedera.
Saya terdiam hampir 15 minit, tidak bersuara tetapi air mata mengalir laju membasahi pipi menahan kesakitan. Saya memberi isyarat kepada ipar dan anak saudara saya supaya jangan bising-bising, bimbang satu rumah yang sedang bergembira di ruang tamu terkejut dan hilang mood untuk beraya.
Tapi keadaan menjadi sebaliknya apabila anak bongsu saya, Nur Aqila muncul.... melihat saya terduduk menyendar di kerusi dengan air mata berlinangan, dia menjerit.... awat mak?
"Tok, mak jatuh...." spontan terkeluar kata-kata dari bibirnya..
Apa lagi serta merta mereka  menerpa ke dapur...masing-masing terpinga-pinga. Wajah wajah simpati dan reaksi mak yang sangat terkejut melihat keadaan saya menjadi kan saya hilang kata-kata.
Saya mencari-cari suami tetapi dia tidak ada kerana dia  ke rumah adik saya berhampiran....
Sehinggalah dia kembali setengah jam kemudian. Sekali lagi air mata saya berlinangan laju....
Menahan sakit, terkejut dan sedih, sejarah berulang lagi dalam hidup saya... kali ini kaki kanan. Saya berdoa semoga tidak ada yang serius perlu saya tanggung....tetapi dalam hati debaran dan rasa takut semakin kencang.
Esok saya akan cerita apa yang berlaku seterusnya.....





No comments:

Post a Comment