Friday 27 December 2013

Kisah benar dalam Saat Izrail Cabut Nyawaku
























Naskhah terkini terbitan Utusan Karya  
Salam
Dalam mencari iktibar tentang kehidupan buku-buku yang bercerita tentang kisah aneh dan benar sering kali menjadi perhatian masyarakat khasnya mereka yang memahami erti kehidupan. Ia menginsaf dan menhedarkan kita tentang hidup dan mati,

Saya ingin berkongsi dengan anda tentang buku baru terbitan syarikat saya, Utusan Karya Sdn Berhad yang menerbitkan sebuah buku berunsur agama SAAT IZRAIL CABUT NYAWAKU - buku ini sangat menarik dan berkisar tentang kejadian kejadian aneh dan iktibar yang berlaku pada saat-saat akhir sebelum kematian seseorang, Semuanya yang benar belaka dan belaku disekeliling kita tetapi belum pernah didedahkan.

Apabila membaca buku ini, anda akan tertanya-tanya, apakah yang akan kita lihat pada saat menjelang kematian? Mengapa ada orang menempah nisan sendiri dan benarkah kematian itu diberitahujmelalui mimpi? Bagaimana boleh arwah menjelma pada saat dia berada diambang maut?

Antara yang berkongsi pengalaman mereka dalam buku ini, pendakwah terkenal Ustaz Dr. mohd Izhar Ariff dan Uztaz Hanafiah Malek serta penyanyi, Aliyah, Ali XPDC dan Siti Nordiana.

Buku ini diterbitkan bagin tujuan iktibar dan segala persediaan kita untuk menghadapi kematian. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Orang mukmin yang paling bijak adalah orang yang paling banyak mengingati kematian dan paling baik amalannya sebagai persiapan selepas mati,'' - Hadis riwayat Ibnu Majah.

Antara topik menarik yang perlu anda baca, Aku Sudah Mati, Melihat mayat Sendiri, Dua kematian, satu Keinsafan, Tempah Nisan Sendiri, Pemabuk Melekat di Atas Sejadah dan banyak lagi. Anda mesti baca
kerana buku ini sesuai dibaca semua peringkat umur dan hanya berharga RM15 senaskhah. Dapatkan segera di pasaran dan dikedai-kedai buku dan majalah berhampiran anda atau hubungi Bahagian Pemasaran Utusan di talian, 03-892438888/3977. Beli jangan tak beli....

Saya cadangkan buku harus di miliki oleh semua keluarga - sebagai panduan menjadi insan lebih bermakna di sisi Allah sw.t. ...

renungan Jumaat


Jangan putus berdoa mohon kesejahteraan dan perlindungan Allah. amin

Salam.
Hari yang tenang dan mendamaikan. Segala perancangan yang diatur  berjalan dengan baik, alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya. Seminggu berjalan sambil bekerja menjadikan saya lebih insaf tentang erti kehidupan  ini yang sebenarnya.

Melihat kehidupan mereka yang di bandar dan di kampung menjadikan saya lebih menghargai baki hidup yang ada. Kesepian, keseorangan, kemiskinan dan kepayahan menjadikan manusia lebih memahami tentang kenapa mereka perlu hidup dan mencari kasih sayang.

Saya melihat banyak orang dalam pelbagai ragam. Yang mewah dengan cara mereka, yang susah dengan kepayahan mereka, namun kedua-duanya mempunyai cara tersendiri berdepan dengan kehidupan mereka seperti mana telah diatur oleh Allah swt. Cuma yang susah lebih gigih berusaha untuk mendapatkan rezeki lebih sementara yang senang lebih santai kerana rezeki memang tersedia walaupun perlu berusaha, namun tidak sepayah yang miskin.

Dalam hidup ini, pada saya ada pelbagai cabaran. Manusia diberi akal untuk berfikir dan mencari jalan keluar daripada kepayahan yang mereka lalui. Sama juga dengan kehidupan yang cantik dan indah seperti sekuntum bunga,  Alam maya yang cantik dan menawan seperti gunung ganang dan pemandangan menarik ciptaan Allah swt.  Kita harus menikmati dan menghargai anugerah Allah itu dengan rasa syukur dan terima kasih, kerana tanpa DIA pasti kita tidak akan ada di sini. Bumi bertuah yang menghadiahkan kita dengan sebuah kehidupan yang pelbagai rona.

Di sini, di bumi ini kita harus mengucap syukur, semoga Allah hadiahkan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua dari hari ke hari, membersihkan jiwa kita, mengisinya dengan ilmu dan ibadah yang besar ganjarannya dan mengeratkan kasih sayang  serta berbaik sangka dengan semua orang. Namun bersederhana dalam semua perkara kerana itu yang terbaik dilakukan manusia.

Mengingatkan diri saya serta anda juga, hidup ini satu perjalanan, jangan berhenti sebelum tiba waktunya kerana setiap langkah adalah penentu bahagianya insan di sisi Allah swt.

Salam Jumaat.    


Laksana sebuah kehidupan - Kebesaran Allah, subahanallah
 Sebuah perjalanan dalam kehidupan, jalan yang lurus, dipayungi pokok-pokok yang cantik dan persekitaran yang menjamin persahabatan dan persaudaraan. 


Ibarat sekuntum bunga ros....berduri, cantik dan harum......ingin disentuh tetapi berduri...itulah kehidupan...











Thursday 26 December 2013

kerja sambil jalan-jalan



waktu pagi di Pendang lake, kedah

Matahari terbenam di Pendang Lake, Kedah

Salam
Leibh seminggu saya tidak menulis di laman ini, terasa lama yang amat sangat. Minggu lalu saya turun ke utara untuk urusan kerja sambil  melihat keindahan alam di negeri kelahiran saya, Kedah Darul Aman. Jumaat saya bertolak dari Kuala Lumpur selepas singgah sebentar di Matrade untuk melihat Karnival Jualan Gudang yang Utusan Karya sertai. Kemudian saya bertolak ke utara, singgah di Ipoh bertemu Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli, isteri Menteri Besar Perak. Lama tak jumpa beliau, banyak yang kami kongsikan walaupun Datin Seri sangat sibuk. Ketika saya datang beliau sedang bersiap untuk turun berlatih badminton besama rakan-rakannya namun keramahan beliau tetap menyerlah.,

Dari situ saya ke Seberang Jaya, dan singgah di Sungai petani menghadiri majlis perkahwinan anak adik angkat saya, Dr Ridzam dan Dr Saadiah yang menerima menantu. Anaknya Dr Syafiq dan Dr. Hazirah disandingkan di kediaman mereka di Cinta Sayang Golf Club. Ramai saudara mara yang ditemui pada majlis itu, meriah sungguh. Keluarga Dr Ridzam seperti keluarga saya sendiri dan tentunya banyak yang kami kongsikan setelah lama tidak berjumpa.

Kemudian saya bergerak ke Kedah, bermalam di Pendang Lake di Pendang Kedah. Tak sangka tempat itu sangat cantik dan menjadi tumpuan penduduk sekitar termasuk dari luar Kuala Lumpur.  Asyiknya saya melihat matahari terbenam di Pendang Lake ini, bersaksikan sawah padi yang terbentang cantik dan tasik yang cukup luas. Saya yakin satu hari nanti, kawasan peranginan ini akan menjadi kunjungan ramai. Sempat juga singgah jumpa anak bongsu saya yang akan menduduki peperiksaan akhir minggu ini. Mak doakan Aby berjaya.

Saya juga sempat berjumnpa  beberapa orang kawan lama dan makan ikan bakar yang sangat sedap dan lazat di pekan Pendang. Terima kasih sahabat dan saudara saya Sabariah atas layanan. Juga terima kasih kepada Emah Hatun yang belanja Yong tau foo.

Misi saya bertemu YB Datuk Suraya Yaacob di Sungai Tiang juga berjaya. Sempat jumpa adik angkat baru, Suwarni warga Siam yang membantu mentuanya menjaga setesen minyak dan kedai runcit....ramah dan lemah lembut orangnya...Alhamdulillah, terima kasih atas layanan Dato Suaraya dan kakitangan pusat khidmat masyarakat  semua. Budi baik orang kampung tetap dikenang......kuih muih tradisional, kopi kampung serta laksa memang sedap! seindah negeri ku tercinta Kedah Darul Aman.

Acara tetap saya tentunya balik berjumpa mak...walaupun sekejap tapi cukup menghilangkan rindu dan penat saya....semoga mak sihat  dan gembira selalu. InsyaAllah ada masa saya akan balik lagi jumpa mak.   Dan mudah-mudahan juga  misi saya ini berjaya dan  membawa berkat serta dipermudahkan...Tawakal, sabar dan berdoa, insyaAllah, Allah akan tunjukkan jalannya., Amin..

Misi saya seterusnya:  Menanti cabaran 2014!



sempat jumpa anak bongsu saya, Nur Aqila Dayana di Seberang Jaya
 Pasangan pengantin, sama cantik sama padan, Dr Syafeeq dan Dr. Hazirah
Berbual dengan Ramali, adik angkat dan sahabat baik suami saya dan isterinya, Ana 
Berkenan dengan adik angkat  ini, Suwarni, wanita berketurunan Siam yang cantik dan lemah lembut .
Bawah: bersama Datin Seri Saripah...

Thursday 19 December 2013

Pencpaian anak, kegembiraan ibu bapa




Mereka tiga beradik, Farah, Mimi dan Zara seperti bunga-bunga di atas.....sedang mekar berkembang. Semoga Allah permudahkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat. amin

Salam.
Saya yakin ramai ibu bapa yang gembira dan bangga dengan pencapaian anak-anak mereka yang lulus cemerlang di dalam peperiksaan PMR yang keputusannya di umumkan hari ini. Kepada yang berjaya TAHNIAH dan kepada yang kurang berjaya, jangan putus asa.... perjalanan hidup kalian masih panjang.

Kepada ibu bapa yang anak-anaknya cemerlang tentu kegembiraan yang dirasakan. Macma-macam janji yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa kepada anak-anak hasil kejayaan mereka. Jika mampu tunaikan, jika tidak memadai dengan kemampuan yang ada.

Kepada ibu bapa yang keputusan anak-anaknya kurang menggembirakan, jangan bersedih dan susah hati. Saya pasti mereka telah berusaha. Teruskan berdoa dan memberi galakan  agar kejayaan akan memihak kepada mereka pada masa depan...

Anak saudara saya, Nur Shamimi Najwa Ahmad Zahir juga mendapat kejayaan cemerlang,  8A sekaligus mememecah rekod sepupu perempuannya selama ini. Dia yang terbaik di  kalangan perempuan. Yang lain jangan marah, ini satu kenyataan. Ia juga satu pencapaian yang amat membanggakan keluarga kami.

Adik saya, Ahmad Zahir ketika sekolahnya sangat cerdik. di dalam darjah dan di padang.. dia memegang rekod semua pencapaian dalam keluarga kami... namun hidupnya banyak dugaan.. Saya selalu katakan kepadanya, Allah menguji kita dalam banyak cara. Ia juga berbeza-beza. Yang perlu dilakukan ketika diduga adalah sabar, tawakal dan jangan putus berdoa.

Anak lelakinya Adam mendapat 4A 1B dalam UPSR baru lalu dan kini anak sulungnya pula mendapat 8A..itulah anugerah Allah, hikmah yang Allah pulangkan di atas segala ujian yang diberinya selama ini.
Saya sebak mendengar khabar ini. Mengenangkan adik saya, ipar saya, Roselin dan pengorbanan mereka suami isteri mengharungi hidup untuk membesarkan anak-anak...

Semoga Allah terus melimpahkan rahmat kepada mereka sekeluarga dan diberi hidayah dan taufik ke jalan yang diredhainya didunia dan akhirat. TAHNIAH MIMI!...TERUSKAN USAHA.   Syabas Zahir, Lin.    

Tuesday 17 December 2013

Tolong jaga keselamatan anak



Sekadar hiasan - Tempat begini sesuai untuk membawa anak-anak beriadah...tapi keselamatan mereka perlu diutamakan.


Salam.

Sekadar berkongsi apa yang dilihat!

Minggu lalu semasa sedang makan di sebuah restoran saya melihat sepasang suami isteri muda, dalam lengkungan usia awal 20-an, masuk ke restoran bersama anak kecil mereka berusia dalam setahun lebih.
Si bayi itu diletakkan dalam kereta sorong. Setibanya di sebuah meja yang agak tersorok ke dalam restoran, bayi itu diangkat dan diletakkan dalam kerusi makan menghadap meja makan di tengah-tengah ayah dan ibunya.

Ibu dan bapanya tak lekang tangan bermain telefon. Sekejap ditolaknya kerusi  anak ke tengah, kemudian ke tepi bagi memberi keselasaan agaknya. Saya perhatikan tangan mereka masih tetap di telefon, membelek-belek nya sambil tersenyum sekali sekali. Tak dengar pula suara mereka berbual.

Kedua-duanya menempah makanan sambil lewa. Si pelayan nampak bosan dengan gelagat mereka. Dia berlalu pergi sambil merungut. Dalam pada  menunggu makanan sampai, bayi mereka merengek-rengek. sebelah tangan ibu memegang kerusi anak sebelah lagi tetap dengan telefon bimbitnya, begitu juga dengan suaminya.

Entah macam mana si bayi tadi bangun dari kerusi, kakinya tersepit di bawah meja menyebabkan kerusi itu terjongket dan terbalik...nasib baik ada dinding di sebelah, Mujur bayi itu tersangkut di tepi dinding, apa lagi menangis la budak itu....

Ingatkan nak dipujuk si budak kecil yang tidak tahu apa-apa tu sebaliknya si ibu berkata,'' cuba dok diam-diam, ini tidak,,,,''

Berderau hati saya, apalah yang budak sebesar itu tahu....sepatutnya ibu bapa yang perlu  duduk diam, fokus kepada apa tujuan masuk ke restoran itu, nak makan atau hendak melayan telefon?  lupakan sementara bab telefon. Kalau sudah masuk ke restoran hendak makan, tumpukan perhatian kepada makanan dan anak yang ada bersama.

Bukan fokus kepada telefon., Ingat, keselamatan anak paling utama di mana pun kita berada....telefon bila-bila boleh main...apatah lagi jika sekadar nak berbalas-balas mesej! banyak masa lagi kan!

Begitu juga apabila melintas jalan, pegang tangan anak, bukan pegang tangan isteri dan anak dibiarkan berjalan di belakang......


Monday 16 December 2013

Tahniah Syirin - Rizal


 Di majlis pernikahan di Masjid Mustaqimah, Cheras Indah pada 14 Disember 2013
 Bergambar kenangan selepas majlis akad nikah bersama keluarga
 Cantik bersanggul lintang  Tradisi Melaka 

Bunga api mengiringi pengantin untuk majlis berinai besar 

Asalamualaikum.
Terasa lama saya tidak menulis di blog yang baru nak mencari tempat in walau-pun baru tiga hari. Banyak kekangan masa yang terpaksa saya lalui. Alhamdulillah...minggu lepas antara waktu yang paling sibuk dalam diari saya. Majlis pernikahan dan perkahwinan anak saudara saya, Nur Asyrin Baharuddin dan pasangannya Mohd Rizal telah sempurnakan di adakan pada 14 dan 15 Disember lalu. Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Mustaqimah  Cheras Indah pada 14 Disember  disusuli dengan majlis persandingan di Taman Bukit Jalil pada 15 Disember.
Ramai saudara mara, sahabat handai jauh dan dekat datang meraikan perkahwinan penutup tirai keluarga kami pada tahun ini. Meriah, syahdu dan mendamaikan!
Asyirin, anak yatim. Papanya, adalah adik kepada suami saya yang telah kembali ke rahmatullah beberapa tahu lalu ketika mereka masih kecil dan berada di bangku sekolah. Syirin dan adik-adiknya, Adila, Anissa, Mohd Syahir dan Amira membesar dengan mama mereka, Zawiyah, biras saya.
Menjadi anak-anak yang mendengar kata, dididik dengan rasa kasih sayang dan ilmu ugama yang cukup, keluarga ini hidup dengan tabah dan penuh kesabaran  tanpa lelaki yang dipanggil papa dan ketua keluarga.
Alhamdulillah, berkat didikan dan kesabaran itu,  mereka semua berjaya ke manara gading dan membahgiakan mama mereka dan menjadi kebangaan keluarga kami.
Menjadi anak sulung dalam keluarga tentunya pernikahan Asyirin menjadi tumpuan seluruh keluarga tambahan pula dibuat mengikut tradisi Melaka yang masih diamalkan oleh keluarga saya di sebelah Melaka sampai ke hari ini.
Percikan bunga api dan perarakan pengantin berpakaian jubah dan songket bersanggul lintang menjadi pilihan Asyirin bagi merakam detik manis hari bahagianya. Walaupun penat dan menahan sakit akibat sanggul lintang yang berat, Asyrin tetap tersenyum kerana itulah hajatnya, memakai sanggul lintang original.
Sudah bertahun-tahun saya tidak menyaksikan perarakan dan permainan bunga api  di kawasan bandar, dan malam berinai besar Asyirin menjadi saksi kemeriahannya. dengan paluan kompang, mengiringi pengantin ke palamin.
Syukur kepada Allah kerana mempermudahkan segala urusan majlis ini.
Kepada Asyirin dan pasangannga Rizal, selamat melayari alam kehidupan berumah tangga. Persefahaman, tolak ansur dan saling menerima kekurangan dan kelemahan diri menjadi pelengkap kepada kebahagiaan abadi.
Buat Zawiyah, TAHNIAH....Moga kebahagiaan keluarga bertambah dengan kehadiran menantu. Kepada semua kaum keluarga dari mana saja datang terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Kepada para tetamu yang hadir, terima kasih.

Khas untuk Syirin dan Suami:

Mencari keserasian bukannya mudah
Tolak ansur sangat berharga 
Majlis nikah dan sanding selesai sudah
Selamat menempuh hidup berumah tangga

 
 Anak saudara saya, Puan Zereen dan Puan Azimah
 Persandingan di Taman Rekreasi Bukit Jalil.
 Suami saya, Hj Osman dan biras saya ibu pengantin Zawiyah menyambut kedatangan kakak ipar kami dari Ipoh yang telah berusia 75 tahun. Alhamdulillah masih sihat. Terima kasih akak datang.

 Anak-anak sedara saya dan cucu sedara...tumpang glamor pengantin
 Cik Nur Atteya dan Cik Ili Najmiyah...sempat juga posing
Majlis berinai besar.,.......TAHNIAH Syirin, Rizal...Moga bahagia hingga ke Jannah

Tuesday 10 December 2013

Gembira bertukar Tragedi


 Kegembiraan kanak-kanak bermain di laut memang tidak boleh dihalang, tetapi mereka perlukan pemantauan orang deawasa. - gambar hiasan
Banana Boat dan bot laju, antara aktiviti laut dan pantai yang mendapat sambutan pengunjung - gambar hiasan 
Salam Selasa.
Terkedu seketika saya apabila membaca berita dalam akhbar hari ini mengenai kegembiraan seorang ayah bersama anak perempuannya berusia dua tahun bertukar dengan tragedi apabila anaknya itu maut di Pantai Purnama, Port Dickson akibat lemas.

Segalanya sudah tersurat, anak itu lemas apabila terjatuh  ke laut setelah terlepas dripada dakapan ayahnya apabila banana boat  yang mereka naiki berpusing...Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin itu telah meragut nyawa Nur Hannan Humairah yang menaiki bot tersebut bersama ayahnya Mohd Hafrisham Ismail.

Semuanya sudah ditentukan oleh Allah ...takziah kepada keluarga arwah Nur Hannan Humairah, semoga tabah menghadapi ujian Allah ini. Begitulah Qadaq dan Qadar Allah, tiada lewat atau cepat sesaat jua... tragedi yang berlaku ini patut diambil iktibar oleh kita semua. Inilah ingatan yang amat berharga untuk ibu bapa dan masyarakat.

Mudah-mudahan kedua-dua ibu apa arwah adik Nur Hannan Humairah tabah menghadapi ujian ini, Allah lebih menyayanginya. Mengenangkan arwah teringat juga saya kepada arwah cucu saya yang juga kembali ke rahmatullah dalam keadaan tragis.

Semoga kedua-dua bidadari syurga ini bahagia di sana! amin

Kepada ibu bapa yang bercadang membawa keluarga bercuti, beringatlah, berhati-hati ketika berada dik tempat percutian anda. Tidak salah menikmati cuti dengan bersukaria tetapi elok berhati-hati dan beringat agar terhindar dari segala perkara yang tidak diingini.

Di pusat peranginan banyak aktiviti laut yang disediakan untuk pelancung dan tetamu. Selain mandi manda, pengunjung juga tertarik untuk menikmati dan mencuba pelbagai aktiviti yang dijalankan di pantai dan laut. contohnya boad banana, jet ski serta acara memancing.

Ibu bapa harus ingat akan keselamatan keluarga terlebih dahulu apabila ingin mencuba aktiviti yang disediakan. Kanak-kanak biasanya tidak sabar untuk turun ke laut apatah lagi melihat orang lain bersuka ria, maka mereka juga akan mempunyai keinginan yang sama.

Per tama pastikan anda memakai pelampung semasa mmengikuti aktiviti tersebut dan tidak mempunyai sebarang penyakit, kelebihan berenang adalah satu bonus. Kekadang ibu bapa tidak mengambil berat akan perkara ini dan membiarkan anak-anak bersendirian bermain di tepi pantai tanpa pengawasan....perkara lagi, pastikan anak-anak anda bermandi manda jauh dari kawasan aktiviti laut seperti bot laju, jet ski dan lain-lain.

Memang tujuan membawa mereka ke pantai untuk bergembira tetapi jangan sampai kegembiraan itu bertukar menjadi kesedihan. Ibarat pepatah, beringat sebelum kena. Semoga anda semua yang bercadang bercuti, sentiasa di dalam peliharaan Allah SWT.

  

  

Monday 9 December 2013

ujian dalam perkahwinan






Air mata bukan lagi penyelesai masalah, sebaliknya hentikan tangisan, bangkit  untuk kelangsungan hidup yang lebih menjanjikan bahagia. 


Dalam melaksanakan tugas, saya selalu berdepan dengan wanita yang bermasalah dalam rumah tangga selain yang mempunyai masalah dengan keluarga dan di tempat kerja. Kebanyakan yang ada masalah rumah tangga adalah mereka yang telah berjaya dalam hidup dan ingin berkongsi masalah dan kejayaan mereka dengan wanita lain di luar sana.

Saya kagum dengan semangat dan komitmen yang mereka lakukan dalam membesarkan anak-anak tanpa lelaki bernama suami. Bukan mudah sebenarnya tetapi itulah hebatnya wanita. Saya angkat tabik dengan sebahagian wanita yang menghadapi situasi tersebut dan kini  sudah mampu ketawa kerana telah berjaya dalam hidup.

Ada rakan-rakan saya yang menderita di usia muda kerana rumah tangga mereka tidak bertahan lama kerana kehadiran orang ketiga. Suami lepas tanggungjawab dan isteri dibiarkan bergantung tidak bertali membesarkan anak-anak, bertahun-tahun naik turun mahkamah akhirnya baru dilepaskan.

Dalam tempoh itu suami tidak ambil tahu tentang anak, nafkah jauh sekali tetapi mereka tetap berusaha membesarkan anak-anak dengan duit hasil titik peluh sendiri. Kini mereka sudah berjaya dan anak-anak semua sampai ke menara gading  bapa tampil menunjuk diri, tapi mereka tidak melarang anak-anak bertemu bapa mereka sebab tidak mahu putuskan hubungan anak dengan bapa.

Itulah hebatnya wanita sekarang. Buang sifat berdendam demi anak-anak. Susah tidak diambil kisah kerana mahu anak-anak juga mendapat jaminan hidup yang cemerlang. Masa depan mereka sangat penting.  Susah macam mana sekalipun mereka tetap berusaha keras untuk memberi pendidikan kepada anak-anak tanpa melupakan ibu dan bapa dikampung, itu juga tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Dugaan dalam rumah tangga ini ada pelbagai, hanya mereka yang tabah dan kuat sahaja boleh melaluinya. Ganjarannya amat indah di penghujung jalan.. Sambil muhasabah diri dan mengingatkan diri saya juga, setiap ujian itu ada hikmahnya. Setiap kepayahan insyaAllah akan berakhir dengan kejayaan di penghujungnya.

Apapun situasinya, alam rumah tangga sedikit sebanyak memberi gambaran indah kepada mereka yang pernah melaluinya. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Namun dugaan dalam era perkahwinan masakini nampaknya semakin hebat selari dengan kematangan manusia mengejar teknoogi dan harta dunia.

Silap langkah, silap mengemudi kapal, pastinya kapal akan hanyut, langkah pula akan tergelincir dan di penghujungnya, hanya kesabaran dan ketabahan yang bakal membawa anda ke destinasi bahagia yang ingin digapai.

Oleh itu, carilah satu respi yang boleh mendamaikan kedua-dua pihak, tolak ansur, saling hormat menghormati dan   lengkap melengkapi agar  kita saling membaiki diri dan memahani kekurangan dan kelebihan pasangan. Jika ada masalah, jangan terus bersedih, kerana jangan dilayan segala kesedihan sebaliknya isikan ruang kesedihan  itu dengan semangat dan tawakal untuk terus menikmati kehidupan yang indah ini.


Doa untuk mangsa banjir...



Keluarga ini berusaha menyelamatkan diri ....

Salam.
Dalam pada kita bergembira, jangan lupa kepada mangsa banjir di negeri Pantai Timur yang ditimpa musibah sejak seminggu lalu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul... Semoga mereka semua diberi kekuatan dan  kesabaran serta menerima segala ujian Allah dengan redha. Insya-Allah, setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
Banyak bantuan dan sumbangan telah dihulurkan. Saya kagum dengan semangat prihatinn dan jati diri pelbagai pihak yang  mengambil inisitif untuk membantu tidak kira dengan apa cara sekalipun....terima kasih kepada semua yang terlibatdan  semoga Allah permudahkan segala usaha murni yang diusahakan.
Saya tidak terkecuali daripada bersimpati dengan apa yang berlaku. insyaAllah sedang diusahakan juga apa yang perlu untuk membantu. Kepada keluarga saya di  Kemaman, harap bersabar dan jangan panik. Semoga Allah pelihara kalian semua....
Kepada ibu bapa, jaga keselamatan anak-anak anda....jangan biarkan mereka bermain di tempat yang dikira merbahaya dan boleh mendatangkan mudarat, sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa. Seluruh rakyat Malaysia Malaysia mendoakan kesejahteraan anda semua dan semoga keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala dalam masa terdekat. insyaAllah.
Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan setakat yang terdaya, salurkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab menguruskannya.  Kumpulan Utusan melalui Tabung Malaysia relief Agency, MRA-Utusan juga menyeru orang ramai menderma untuk mangsa banjir. Yang berhajat untuk menyumbang sila salurkan sumbangan anda ke akaun Maybank bernombor 5640-9820-6365 atas nama Malaysian Relief Agency. Sedikit sumbangan anda mampu menyelamatkan beribu-ribu mangsa.
Hari ini hari mereka, hari kita belum tahu lagi macam mana, jadi apa salahnya kita hulurkan sumbangan buat meringankan kepayahan saudara saudara kita yang sedang berdukacita di Pantai Timur.....Mudah-mudahan dibuka pintu hari kita semua, seluruh rakyat Malaysia untuk membantu!

Hujung minggu yang ceria


Bukan mudah untuk mengumpul keluarga yang ramai pada satu masa, namun kami berjaya melakukannya walaupun ramai yang tidak dapat hadir disebabkan komitmen masing-masing terhadap perkara lain yang lebih penting. Apapun, majlis berjalan lancar dan meriah!
Saya, Mak, adik saya Mokhtar dan anak saudara saya Intan Suhara
 Walau tak larat jalan jauh di tepi pantai, syukur mak dapat juga menikmati cantikya laut dari anjung resort...semoga mak gembira.
Inilah sebahagian daripada keluarga besarHaji Hamzah yang hadir...terima kasih semua yang bersusah payah datang. 

Asalamualaikum...
Alhamdulillah, hujung minggu lalu pada 7 dan 8 Disember 2013, merupakan hujung minggu yang menggembirakan saya dan keluarga. Selain mak datang, kami mengadakan Hari Keluarga 2013 seperti mana amalan kami sejak arwah pak dan kakak saya masih ada. Walaupun tidak semua adik beradik dapat hadir majlis sederhana tetapi meriah. Maklumlah, semua orang sudah ada kehidupan sendiri dan urusan dengan keluarga pasangan serta komitmen yang perlu didulukan.

Kami memilih Glory Beach Resort untuk mengadakan pertemuan keluarga kali ini. Majlis dimulakan dengan tahlil dan doa selamat. Kemudian ucapan wakil keluarga terdiri daripada anak, menantu cucu dan cicit untuk mengetahui perkembangan terkini keluarga masing-masing dan program untuk tahun 2014.  Selepas makan-makan kami mengadakan cabutan bertuah. Semua dapat hadiah bertuah dan goodies beg... majlis berakhir dengan geng muda semua berpindah menyambung acara dengan karaoke keluarga....

Seperkara yang kami dapat daripada pertemuan tahunan ini adalah komitmen semua yang hadir. Disiplin, atur cara semuanya berjalan lancar seperti dirancang. Mak saya dalam kata-katanya tidak banyak cakap, sebak dan terharu. Saya faham mak teringatkan arwah pak dan kak  saya, salmah yang selalu ada bersama kami. Mak menguapkan terima kasih kepada kami yang hadir. mak dapat banyak hadiah dari anak-anak, cucu dan cicit. Senyum panjang mak masa nak balik bila saya kata, "mai dua beg, balik bawa 4 beg.''
Itulah mak, tersenyum dan penyabar....

Saya percaya kepada persaudaraan dan kasih sayang, seperti yang pernah saya katakan sebelum ini. Perhimpunan keluarga seperti ini adalah yang terbaik untuk kami. Inilah hari kami dapat bertemu dan bertanya khabar. Anak-anak saudara berkenalan dan bermesra antara satu sama lain. Kenal saudara mara mereka agar tidak lupa kepada pertalian darah dan akar umbi. Yang penting, kasih sayang sesama mereka akan terbina sampai bila-bila.

Kepada semua  yang hadir terima kasih banyak-banyak, jika ada kekurangan dan kesilapan., bagi pihak penganjur  saya minta maaf...panjang umur murah rezeki kita buat lagi!

Dari kecil hingga dewasa
Sarat dengan kasih keluarga
Kasih saudara sepanjang masa
Kasih ibu membawa ke syurga


Friday 6 December 2013

Salam Jumaat kepada semua ....
Hari ini saya sangat gembira kerana mak saya sudah selamat sampai ke Rawang pada jam 12 tengah malam tadi. Pagi ini saya sarapan dengan mak, dah lama tak duduk makan semeja dan sembang-sembang dengan mak. Mak nampak ceria tapi dah warning saya, paling lama nak duduk di KL tiga hari...saya senyum tak kata apa-apa....
Pagi ini saya tunjuk pada mak gambar keluarga besar kami semasa mengadakan Hari Keluarga di Kampar, Perak empat tahun lalu. Ketika itu pak dan kakak saya masih ada. Itulah gambar terakhir yang kami  ada beesama kedua-dua arwah. Seketika mak terdiam tapi matanya tepat memandang ke arah gambar tersebut tetapi tidak berkata apa-apa. Mungkin mak teringat pada arwah . Saya faham dan saya tahu perasaannya. Walaupun dua tahun telah berlalu, ingatan kami kepada kedua-dua arwah masih segar. Semoga mereka aman di sana.
Gambar ini lambang persaudaraan dan ikatan kasih sayang kami sekeluarga.... saya selalu pesan pada adik-adik dan keluarga besar ni, bersatu teguh, bercerai roboh, susah senang kita harus bersama kerana itu yang akan menjadikan kita lebih rapat dan saling menghargai antara satu sama lain. Semoga Allah pelihara kasih sayang kami  hingga ke Jannah. Saya sayang mak! Saya sayang keluarga besar saya!  amin

Foto kenangan

Ini keluarga besar saya, keluarga Arwah Haji Hamzah dan Hajah Ronah. gambar ini diambil pada Hari Keluarga kami yang kedua di Kampar,  Perak. Masa ini arwah pak saya masih ada begitu juga dengan kakak saya arwah Salmah. Inilah gambar terakhir kami bersama pak dan kak long. Anak-anak dan anak sedara pun sekarang dah besar panjang dan ada yang sudah punya kehidupan sendiri. Semoga kami terus bahagia bersama Mak yang sentiasa ada untuk berkongsi suka duka hidup kami. Syukur kepadaMu Ya Allah.  

Thursday 5 December 2013

memori

Memori indah......semoga Allah permudahkan urusan hidup dan kekalkan persahabatan kita
Memori indah....kenangan bersama Permaisuri Siti Aishah dan krew Wanita dan  mekap artis semasa fotografi di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur.

Pengalaman

Salam.....
Bekas Tengku Permaisuri Selangor dan juga Bekas Raja Permaisuri Agong, YAM Permaisuri Siti Aishah aqdalah di antara kerabat dan orang kenamaan yang saya pernah interview. Malah saya amat bangga kerana menjadi wartawan pertama yang dapat menemuramah beliau dan  bertemu dengannya  ketika dimasyurkan sebagai Tengku Permaisuri Selangor. Syukur,  perkenalan itu kekal hingga ke hari ini walaupun kami jarang berjumpa. Permaisuri Siti Aishah di mata saya seorang wanita yang ramah, mudah mesra dan sentiasa tenang. Beliau seorang yang matang dan  bijak berkata-kata, susun ayatnya kemas dan berhemah...beliau juga seorang yang suka kepada kerja-kerja kebajikan walaupun kini  tidak lagi berada di sebalik tembok istana. Usaha kebajikannya berterusan hingga ke hari ini. Mei lalu, pada pertemuan  dengan majalah WANITA Permaisuri Siti Aishah nampak lebih santai, ceria sambil menjawab setiap soalan yang diajukan kepadanya dengan senyum yang tidak lekang daripada bibirnya.
Beliau kini banyak mendekatkan dirinya dengan Allah dan meneruskan impiannya berbuat kebajikan dan beramal sebaik boleh sehingga ke akhir hayatnya.
Semoga Allah permudahkan segala urusan hidup Permaisuri Siti Aishah dan mengekalkan persahabatan kami. InsyaAllah....

Sepanjang saya berada di luar negara menjalankan tugas, gambar ini adalah yang paling saya suka....gambar ini diambil semasa saya bersama rombongan pembaca WANITA ke Seoul, Korea pada 2010 sempena sambutan Hari Ibu bersama Jamu Mak Dara. Macam-macam program diadakan termasuk makan malam meraikan ibu-ibu yang ikut sama...nyanyian, membaca sajak dan penghargaan buat ibu turut diadakan. Memang happening habis.....  
Kenangan....krew WANITA bersama pengusaha ladang wanita bunga melur di Kampung Sungai Pusu, Raub, Pahang pada 2009.....kami ke sana untuk sesi fotografi pengantin untuk Buku Direktori Pengantin....Puas menikmati hasil kampung dan buah-buahan yang lebat bermusim ketika itu. Terima kasih orang  Raub!
Menjunjung Kasih Tuanku....gambar kenangan bersama DYMM Tuanku Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah semasa menemuramah Baginda untuk majalah WANITA di Istana Mestika, Shah Alam.
Dipuncak Table Mountain, Cape Town......
Sempat singgah di Cape Point , Cape Town semasa bertugas di sana untuk meninjau kehidupan Melayu Cape Town....tempatnya sangat cantik dan menarik... di sini saya merasa kagum dan insaf dengan kebesaran Allah...Pencipta Sekalian Alam...Teringin nak pergi lagi jika diizinkan Allah.....insyaAllah
Kenangan manis bersama Tun Dr. Siti Hasmah semasa menemuramah beliau untuk majalah WANITA pada 2011......Turut sama Nik Hazirah (kiri) dan Siti Hajar (kanan)
Kenangan bersama Krew, Penerbit dan Juri Program Gadis Melayu Musim Pertama TV9......Memori yang  teramat manis dalam kerjaya saya.....
Ini pula keluarga saya sebelah Melaka.....Anak cucu masih kecil tetapi sedang membesar......
Keluarga bahagia saya sebelah Kedah.......gambar diambil pada tahun 2012......
Ini geng student nakal semasa di Sultanah Asma School.....memori indah 1970-an hingga 1974....pertemuan semula pada November  2011 - semasa sambutan 90 Tahun SAS di Hotel PJ Petaling Jaya. Storynya, nanti saya akan ceritakan....
Inilah teman hidup saya.....lelaki yang sentiasa menjadi penyokong setia saya, berkongsi susah senang dan memahami kerjaya isterinya,  seorang wartawan yang sentiasa kalut dengan masa. Terima kasih Haji Osman Omar atas segalanya.

Kasih sayang

Salam Khamis.
Dalam apa sahaja hubungan, kasih sayang menjadi talian penting dalam sebuah perhubungan, tidak kira sama adadi  antara ibu bapa, dalam rumah tangga, persahabatan di tempat kerja dan lain-lain. Kasih sayang ini adalah penghubung kepada satu jalinan yang memerlukan cantuman emosi, kata-kata dan perasaan. Ia terlahir daripada hati yang akan mencetuskan rasa sayang yang hanya boleh dimengertikan oleh mereka yang merasainya sahaja.

Ramai orang bercakap tentang kasih sayang tetapi tidak menghargainya. Saya ingin menarik perhatian dalam tentang kasih sayang ini dari sudut perasaan dan hati manusia. Dalam percintaan, pasti akan ujud perasaan kasih sayang ini antara dua insan yang bercinta, maknanya antara teruna dan dara, lelaki dan perempuan. Perasaan ini berbunga apabila setiap di antara mereka merasa degupa jantung dan hati yang berdebar-debar kala bersua untuk kali pertama.

Ikatan kasih sayang inilah yang akan mengheret pasangan untuk ke fasa seterusnya. Tapi ramai yang tidak faham akan erti kasih sayang yang sebenarnya. Bagaimana perasaan kasih sayang antara suami dan isteri, kekasih kepada kekasih, ibu bapa kepada anak-anak dan sahabat kepada kawan. Kasih dan sayang tidak boleh dilihat tetapi ia boleh  dirasa. 

Saya lebih tertarik untuk berkongsi kasih sayang ini dalam hubungan suami isteri. Memang ya masa bercinta, berkasih bagaikan dalam dunia ini tidak ada orang lain. Apa sahaja yang dilihat dalam diri pasangan kita semuanya indah dan cantik belaka, walaupun sebenarnya ada banyak kekurangan.

Sebabnya dalam pertemuan yang berlangsung sepanjang perkenalan, kita hanya melihat pasangan kita dalam keadaan sempurna, berpakaian kemas, pandai melayan dan sentiasa bersikap positif dan menurut kata. Maka langsung tidak ada perasaan curiga terhadap kesetiaannya yang menjadikan seseorang itu sama ada lelaki atau wanita akan terus tgerpikat kepadanya.

Namun apabila sudah disatukan sebagai suami isteri dan tinggal sebumbung yang indah dan cantik itu tidak selalunya cantik. Segala yang buruk akan menyerlah.. lalu berkatalah hati kita.... ini rupanya perangai dia yang sebenar. Masa bercinta tak nampak pun, macam berdating dulu, tak perasan pun aku....namun semuanya sudah terlambat, sebab, dia yang anda pilih untuk berkongsi hidup itu sebenarnya juga manusia biasa, yang adakekurngan  dan kelebihannya.

Cara pasangan kita apabila berada di rumah berbeza dengan cara dia berjumpa anda semasa bertemu zaman bercinta. Bagaimana dia mjengurus diri, membantu anda di rumah, bercakap dengan anda dan melayan anda sebagai isteri tentunya berbeza daripada menjadi kekasihnya dulu. Namun jodoh anda telah ditentukan dengan dia, maka anda harus hidup dengan keadaan itu sepanjang hidup anda dengan doa moga ada perubahan yang berlaku.

Pun begitu, saya tidak pula berkata semua lelaki atau pasangan bersikap demikian, ramai yang positif dan sama seperti zaman bercinta.  Bagi saya, dalam sebuah perhubungan, cinta sekadar impian dan harapan. Yang kekal menemani anda sehingga ke akhir hayat adalah  KASIH SAYANG yang kekal bersemadi dalam diri.

    

Wednesday 4 December 2013

inilah kehidupan saya

Famili saya...merekalah dunia dan permata hidup saya...semoga kebahagiaan kami berkekalan. amin

cerita tentang hidup

Salam
Seperti orang lain, banyak yang saya nak tulis tentang hidup. Suka dukanya, gelak ketawanya dan yang penting bagaimana kita belajar untuk hidup. Tak semua orang boleh hidup senang sebelum dia senang dan tidak semua orang boleh senang untuk hidup. Semuanya perlukan usaha, sabar, tabah dan yang penting ingat kepada Allah.

Dalam hidup ini banyak perkara yang perlu kita fikirkan. Tentang diri sendiri, keluarga, tempat kerja, saudara mara dan wawasan masa depan. Semuanya perlu ada perancangan, jika tidak  kita akan  hilang fokus dan laluan yang hendak dituju turut terbabas. Sudahnya, matlamat untuk hidup itu akan turut tergugat.

Saya percaya pada usaha itu tangga kejayaan. Jika tidak dimulakan kita tidak akan tahu setakat mana kemampuan dan kebolehan kita. Oleh itu, semua orang mesti ada tekad untuk berjaya.  Mulakan langkah dan fokus pada apa yang hendak dibuat.

Seperkara lagi, jangan peduli apa orang nak kata, kita buat apa yang kita rasakan terbaik untuk dilakukan. Jika hendak dikira apa orang kata, kita tidak akan sampai ke mana dan tidak mencapai impian yang telah dipendam sekian lama. Hidup juga perlu ada tolak ansur... dulukan mana yang perlu, jangan sekali-kali mengalah pada keadaan sebelum mencuba.

Ujian dan cabaran datang dan pergi. Semua orang melalui ujian tetapi cara dan keadaannya yang berbeza. Kepada anda yang yakin dengan kemampuan diri, jangan berhenti di tengah jalan, teruskan langkah, insyaAllah,  ada cahaya yang menanti di penghujung jalan. Pesanan saya, teruskan berusaha, dan  jangan berhenti berdoa.

Dekat di hati pembaca

Menulis ini bukan sahaja kita mendapat kepuasan setelah apa yang ingin dicurahkan sampai kepada pembaca. Itulah nikmat menjadi penulis, lega apabila semua yang ingin ditulis tercurah menjadi sebuah cerita yang menarik dan menjadi tatapan pembaca.
Melalui program, seminar dan aktiviti yang dibuat, seorang penulis boleh dekat dengan pembaca, bertanya khabar dan mendapat maklum balas tentang apa yang mereka mahu daripada kita. Kelebihan dan kekurangan yang ada dan perlu dibaiki dalam menjaga hati pembaca. Menulis juga tak boleh sesuka hati, mesti ada batasnya pula, etika dan tidak menyinggung orang lain. Yang penting menulis dengan akal bukan hati......hati sekadar untuk mewarnai tulisan. selamat mencuba, kalau ingin menulis. 

kegemaran saya

Salam
Kalau ditanya apa  kegamaran saya, tentunya menulis. Selain itu saya suka memasak dan tentunya mengurus rumahg tangga, dari A sampai Z....semua buat sendiri. Memasak menjadi acara wajib saya setiap hari kecuali apabila saya outstation atau ada tugasan di luar.
Dalam banyak perkara menulis menjadi darah daging saya. Memang tidak dapat dipisahkan, macam irama dan lagu.
Ruangan saya dalam Utusan Malaysia, Sembang-Sembang adalah sentuhan saya yang paling saya suka dan mendapat sambutan. Alhamduliullah, walaupun ia sekadar mengisi ruang dengan masalah rumah tangga dan keluarga, pada saya ia satu platform yang amat berguna untuk panduan orang ramai dalam menghadapi rumah tangga yang semakin mencabar.
Ruangan ini dimulakan dalam akhbar Mingguan Malaysia ruangan Pancara indera sekitar 80-an....hampir dua puluh tahun lalu.  Ketika itu ruangan itu dikenali sebagai Asam Garam Rumah Tangga dan pada awal 90-an ditukar kepada Sembang-Sembang kerana ia lebih santai dan ringkas.
Saya turut menulis dalam majalah Wanita di ruangan Gebang pada awal 80-an apabila saya menjadi Pengarang majalah tersebut sehingga awal Mei lalu apabila saya melepaskan jawatan di majalah Wanita.
Kalau orang tanya kenapa suka menulis? jawapannya tidak ada tetapi saya boleh jelaskan ia sebenarnya luahan daripada sanubari kita sebagai manusia., Bukan mudah untuk menulis kerana menulis  perlu dari dalam jiwa, bukan sekadar dari hati. 
Menulis perlukan kesabaran, setakat menunggu ilham juga tidak menjadi kerana menulis perlukan komitmen manusia untuk melihat, mendengar dan berkata-kata. 
Tiga elemen ini perlu berkait rapat untuk satu kesinambungan yang akan diterjemahkan dalam penulisan yang harus mempunyai susunan kata, ayat dan aliran cerita yang mampu menarik perhatian pembaca dan merentap jiwa mereka.
Susah kan? tapi jika diusahakan dan dipelajari secara perlahan-lahan insyaAllah ia akan berhasil. Seperti saya sekarang, sehari jika tidak menulis seperti tidak lengkap hidup. Saya belajar dari suasana keliling, tentang ragam manusia, kerenah mereka dan perbuatan mereka. Positif atau negatif, itulah sumber untuk saya menulis, Saya berharap untuk terus berkarya sampai bila-bila. Menyampai dan memberi input dan berkongsi cerita dengan anda semua.....yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan,    

Salam Perkenalan

Asaalamualaikum dan salam sejahtera.
Apa khabr semua? semoga Allah kurniakan yang baik-baik sahaja untuk kita meneruskan kehidupan yang mencabar ini.  Buat mukadimah pertama, saya perkenalkan diri, nama saya normala hamzah, anak jati Kedah Darulaman. Saya dilahirkan pada 25 Januari 1956 kepada pasangan suami isteri, arwah Haji Hamzah Haji Hamid dan Hajah Rona Haji Mohd Noor.
Dilahirkan dalam keluarga seramai  9 orang, kakak sulung saya, Umi Khaltum  meninggal dunia ketika berusia 9 tahun. Tinggal kami lapan beradik, empat lelaki dan empat perempuan.
Ibu suri rumah tangga sepenuh masa sementara bapa bekerja dengan JKR (Jabatan Kerja Raya) sebagai Pencatat Masa...
Alhamdulillah di sebalik kepayahan kami mendapat pendidikan, layanan dan perhatian kasih sayang sama seperti anak-anak lain....dalam serba kekurangan dan sederhana.
Bapa seorang yang tegas tetapi peyayang, sementara mak saya seorang ibu yang penyayang, penyebar dan sangat pandai memasak...
Kakak kedua saya kembali ke rahmatullah empat tahun lalu diikuti dengan bapa pada tiga tahun lepas..kami meneruskan hidup tanpa kedua-dua orang yang kami sayangi itu sehingga kini dengan kasih sayang daripada mak yang tidak pernah luak walau sedikit.
Dengan mak sebagai tempat bergantung hidup, kami tujuh beradik meneruskan hidup. Mak ada 24 cucu dan 14 cicit. Sejak kematian bapak, mak jarang meninggalkan rumah kami., "selesa katanya di rumah sendiri.''
Saya mendapat didikan di sekolah kebangsaan Derga yang kini bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Tunku Rodzoh, hanya lima minit berjalan kaki dari rumah. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultanah Asma sehingga tingkatan 5...
Ketika menunggu keputusan MCE pada 1974, saya membelek-belek akhbar Utusan Malaysia yang sedang mencari wartawan untuk sebuah aikhbar tabloid yang akan diterbitkan di utara tanah air, di Pulau Pinang bernama Bintang Timur.
Saya mencuba nasib. Bertemankan bapak dan mak saya ke Pulau Pinang, diinterbiu oleh Allahyarham Pak Osman Abadi dan akhirnya diterima menjadi wartawan akhbar tersebut. Di situlah bermulanya kerjaya saya sebagai wartawan....
Inilah kerjaya saya yang pertama dan insya-Allah yang terkahir.....
Sejak 1974 saya bertugas di Bintang Timur sehingga saya ditemukaan jodoh dengan orang selatan tanah air., setahun kemudian saya ditukarkan ke Kuala Lumpur dan memulakan kerja di Utusan Melayu di akhbar Utusan Malaysia.
Perkahwinan saya saya dikurniakan dengan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. tiga sudah bekerja dan seorang masih belajar. Anak kedua saya sudah berkahwin. Saya ada menantu yang cantik di mata saya luaran dan dalaman bernama Eda serta dua orang cucu,  seorang  berusia 3 tahun, Delisha Haifa dan arwah Dalila Hayfa yang telah dijemput Ilahi pulang ke rahmatullah pada 2 Nov tahun lalu. Al Fatihah buat Dalila yang hanya dipinjamkan buat sementara untuk kami sekeluarga.  Alhamdulillah, syukur dengan nikmat yang Allah kurniakan., hidup kami bahagia, selesa, sarat dengan kasih sayang dan keluarga yang amat menyayangi dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
di Utusan Melayu saya belajar banyak perkara, tentang menjadi wartawan yang baik, optimis dan tidak pernah kenal erti putus asa dan mengalah. Saya bertugas di semua meja di Utusan melayu... tahun ini genap 35 tahun saya bertugas di Utusan Melayu., Empat tahun terakhir ini saya dipinjamkan di Utusan Karya Sdn Bhd, anak syarikat Utusan Melayu.
Sepanjang tempoh itu saya sangat seronok berkerja. Masa-masa yang dhabiskan dengan tugas menjadikan saya sangat gembira. semuanya kerana minat. Tanpa minat saya tidak akan berada dalam kedudukan sekarang.
Pengalaman menjadi wartawan sangat indah. Banyak ranjau dan duri, kata orang yang berjiwa sentimental. Begitu juga dengan saya.
Air mata, ketawa, kesedihan dan kegembiraan menjadi mainan perasaan kala bertentang mata dengan sumber yang kita hendak interview..terutama wartawan seperti saya yang lebih tertarik kepada hal-hal berkaitan wanita, kanak-kanak, isu human interest dan yang bersangkutan dengan masyarakat.
Kunjungan ke istana, bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, orang perseorangan, golongan korporat  menjadikan saya lebih matang dan menghargai masa dan kerjaya saya serta mengenal ragam manusia.
Inilah kehidupan saya, inilah kebahagiaan saya, rumah tangga,  keluarga dan kerjaya. Tidak pernah sesaat saya alpa akan saat manis ketika menghadapinya. Terima kasih Ya Allah...Semoga bahagia ini berterusan dan sentiasa dalam rahmatMu Ya Allah. amin!