Monday 9 December 2013

ujian dalam perkahwinan






Air mata bukan lagi penyelesai masalah, sebaliknya hentikan tangisan, bangkit  untuk kelangsungan hidup yang lebih menjanjikan bahagia. 


Dalam melaksanakan tugas, saya selalu berdepan dengan wanita yang bermasalah dalam rumah tangga selain yang mempunyai masalah dengan keluarga dan di tempat kerja. Kebanyakan yang ada masalah rumah tangga adalah mereka yang telah berjaya dalam hidup dan ingin berkongsi masalah dan kejayaan mereka dengan wanita lain di luar sana.

Saya kagum dengan semangat dan komitmen yang mereka lakukan dalam membesarkan anak-anak tanpa lelaki bernama suami. Bukan mudah sebenarnya tetapi itulah hebatnya wanita. Saya angkat tabik dengan sebahagian wanita yang menghadapi situasi tersebut dan kini  sudah mampu ketawa kerana telah berjaya dalam hidup.

Ada rakan-rakan saya yang menderita di usia muda kerana rumah tangga mereka tidak bertahan lama kerana kehadiran orang ketiga. Suami lepas tanggungjawab dan isteri dibiarkan bergantung tidak bertali membesarkan anak-anak, bertahun-tahun naik turun mahkamah akhirnya baru dilepaskan.

Dalam tempoh itu suami tidak ambil tahu tentang anak, nafkah jauh sekali tetapi mereka tetap berusaha membesarkan anak-anak dengan duit hasil titik peluh sendiri. Kini mereka sudah berjaya dan anak-anak semua sampai ke menara gading  bapa tampil menunjuk diri, tapi mereka tidak melarang anak-anak bertemu bapa mereka sebab tidak mahu putuskan hubungan anak dengan bapa.

Itulah hebatnya wanita sekarang. Buang sifat berdendam demi anak-anak. Susah tidak diambil kisah kerana mahu anak-anak juga mendapat jaminan hidup yang cemerlang. Masa depan mereka sangat penting.  Susah macam mana sekalipun mereka tetap berusaha keras untuk memberi pendidikan kepada anak-anak tanpa melupakan ibu dan bapa dikampung, itu juga tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Dugaan dalam rumah tangga ini ada pelbagai, hanya mereka yang tabah dan kuat sahaja boleh melaluinya. Ganjarannya amat indah di penghujung jalan.. Sambil muhasabah diri dan mengingatkan diri saya juga, setiap ujian itu ada hikmahnya. Setiap kepayahan insyaAllah akan berakhir dengan kejayaan di penghujungnya.

Apapun situasinya, alam rumah tangga sedikit sebanyak memberi gambaran indah kepada mereka yang pernah melaluinya. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Namun dugaan dalam era perkahwinan masakini nampaknya semakin hebat selari dengan kematangan manusia mengejar teknoogi dan harta dunia.

Silap langkah, silap mengemudi kapal, pastinya kapal akan hanyut, langkah pula akan tergelincir dan di penghujungnya, hanya kesabaran dan ketabahan yang bakal membawa anda ke destinasi bahagia yang ingin digapai.

Oleh itu, carilah satu respi yang boleh mendamaikan kedua-dua pihak, tolak ansur, saling hormat menghormati dan   lengkap melengkapi agar  kita saling membaiki diri dan memahani kekurangan dan kelebihan pasangan. Jika ada masalah, jangan terus bersedih, kerana jangan dilayan segala kesedihan sebaliknya isikan ruang kesedihan  itu dengan semangat dan tawakal untuk terus menikmati kehidupan yang indah ini.


No comments:

Post a Comment