Wednesday 4 December 2013

Salam Perkenalan

Asaalamualaikum dan salam sejahtera.
Apa khabr semua? semoga Allah kurniakan yang baik-baik sahaja untuk kita meneruskan kehidupan yang mencabar ini.  Buat mukadimah pertama, saya perkenalkan diri, nama saya normala hamzah, anak jati Kedah Darulaman. Saya dilahirkan pada 25 Januari 1956 kepada pasangan suami isteri, arwah Haji Hamzah Haji Hamid dan Hajah Rona Haji Mohd Noor.
Dilahirkan dalam keluarga seramai  9 orang, kakak sulung saya, Umi Khaltum  meninggal dunia ketika berusia 9 tahun. Tinggal kami lapan beradik, empat lelaki dan empat perempuan.
Ibu suri rumah tangga sepenuh masa sementara bapa bekerja dengan JKR (Jabatan Kerja Raya) sebagai Pencatat Masa...
Alhamdulillah di sebalik kepayahan kami mendapat pendidikan, layanan dan perhatian kasih sayang sama seperti anak-anak lain....dalam serba kekurangan dan sederhana.
Bapa seorang yang tegas tetapi peyayang, sementara mak saya seorang ibu yang penyayang, penyebar dan sangat pandai memasak...
Kakak kedua saya kembali ke rahmatullah empat tahun lalu diikuti dengan bapa pada tiga tahun lepas..kami meneruskan hidup tanpa kedua-dua orang yang kami sayangi itu sehingga kini dengan kasih sayang daripada mak yang tidak pernah luak walau sedikit.
Dengan mak sebagai tempat bergantung hidup, kami tujuh beradik meneruskan hidup. Mak ada 24 cucu dan 14 cicit. Sejak kematian bapak, mak jarang meninggalkan rumah kami., "selesa katanya di rumah sendiri.''
Saya mendapat didikan di sekolah kebangsaan Derga yang kini bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Tunku Rodzoh, hanya lima minit berjalan kaki dari rumah. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultanah Asma sehingga tingkatan 5...
Ketika menunggu keputusan MCE pada 1974, saya membelek-belek akhbar Utusan Malaysia yang sedang mencari wartawan untuk sebuah aikhbar tabloid yang akan diterbitkan di utara tanah air, di Pulau Pinang bernama Bintang Timur.
Saya mencuba nasib. Bertemankan bapak dan mak saya ke Pulau Pinang, diinterbiu oleh Allahyarham Pak Osman Abadi dan akhirnya diterima menjadi wartawan akhbar tersebut. Di situlah bermulanya kerjaya saya sebagai wartawan....
Inilah kerjaya saya yang pertama dan insya-Allah yang terkahir.....
Sejak 1974 saya bertugas di Bintang Timur sehingga saya ditemukaan jodoh dengan orang selatan tanah air., setahun kemudian saya ditukarkan ke Kuala Lumpur dan memulakan kerja di Utusan Melayu di akhbar Utusan Malaysia.
Perkahwinan saya saya dikurniakan dengan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. tiga sudah bekerja dan seorang masih belajar. Anak kedua saya sudah berkahwin. Saya ada menantu yang cantik di mata saya luaran dan dalaman bernama Eda serta dua orang cucu,  seorang  berusia 3 tahun, Delisha Haifa dan arwah Dalila Hayfa yang telah dijemput Ilahi pulang ke rahmatullah pada 2 Nov tahun lalu. Al Fatihah buat Dalila yang hanya dipinjamkan buat sementara untuk kami sekeluarga.  Alhamdulillah, syukur dengan nikmat yang Allah kurniakan., hidup kami bahagia, selesa, sarat dengan kasih sayang dan keluarga yang amat menyayangi dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
di Utusan Melayu saya belajar banyak perkara, tentang menjadi wartawan yang baik, optimis dan tidak pernah kenal erti putus asa dan mengalah. Saya bertugas di semua meja di Utusan melayu... tahun ini genap 35 tahun saya bertugas di Utusan Melayu., Empat tahun terakhir ini saya dipinjamkan di Utusan Karya Sdn Bhd, anak syarikat Utusan Melayu.
Sepanjang tempoh itu saya sangat seronok berkerja. Masa-masa yang dhabiskan dengan tugas menjadikan saya sangat gembira. semuanya kerana minat. Tanpa minat saya tidak akan berada dalam kedudukan sekarang.
Pengalaman menjadi wartawan sangat indah. Banyak ranjau dan duri, kata orang yang berjiwa sentimental. Begitu juga dengan saya.
Air mata, ketawa, kesedihan dan kegembiraan menjadi mainan perasaan kala bertentang mata dengan sumber yang kita hendak interview..terutama wartawan seperti saya yang lebih tertarik kepada hal-hal berkaitan wanita, kanak-kanak, isu human interest dan yang bersangkutan dengan masyarakat.
Kunjungan ke istana, bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, orang perseorangan, golongan korporat  menjadikan saya lebih matang dan menghargai masa dan kerjaya saya serta mengenal ragam manusia.
Inilah kehidupan saya, inilah kebahagiaan saya, rumah tangga,  keluarga dan kerjaya. Tidak pernah sesaat saya alpa akan saat manis ketika menghadapinya. Terima kasih Ya Allah...Semoga bahagia ini berterusan dan sentiasa dalam rahmatMu Ya Allah. amin!

No comments:

Post a Comment